Guru hasut supaya pelajar dibakar

Zefry Dahalan
PETALING JAYA: Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah kebangsaan di Pulau Pinang takut untuk ke sekolah sejak 10 Ogos 2014 lepas berikutan tindakan sekumpulan guru sekolah itu yang menghasut para guru lain dan pelajar sekolah itu, memboikot dan membakar pelajar itu.

Pemilik tunggal syarikat ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’; Uthaya Sankar SB, mendedahkan kandungan laporan polis, yang dibuat oleh seorang pelajar lelaki kaum India, berusia 17 tahun seperti berikut:

“Pada 10 Ogos 2014, jam lebih kurang 10.00 malam, semasa saya berada di rumah saya menerima satu mesej melalui Facebook daripada seorang kawan perempuan Melayu iaitu rakan sekolah saya yang memberitahu bahawa akaun Facebook milik saya ada tertera tentang halaman (page) “I Love Israel sedangkan saya tidak menekan “like” dan tidak tahu-menahu tentang hal itu.

“Selepas itu, saya dapati paparan pada Facebook saya telah diambil gambar (screenshot) dan dimuat naik (uploaded) oleh seorang guru sekolah saya di akaun Facebook miliknya.

“Apabila saya membaca komen yang tertera pada paparan screenshot itu, saya dapati beberapa lagi guru dan pelajar sekolah saya memaki serta mahu membakar saya kerana dituduh menyokong Israel.

“Saya takut terjadi apa-apa dan mungkin memberi kesan buruk pada diri saya.
“Saya datang ke balai polis untuk membuat laporan.

Komen Facebook mengecam pelajar terbabit

Uthaya Sankar yang juga merupakan seorang sasterawan popular (Sastera Melayu) berkata, guru yang mula-mula sekali membuat ‘screenshot’ tanpa pengetahuan pelajar itu dan memaparkan pada Facebook menulis “Anak muridku suka Israel? Buat malu cikgu saja.”

“Guru berkenaan yang tinggal di Simpang Ampat, Pulau Pinang mencatatkan pekerjaannya sebagai “cekgi” (cikgu) di Facebook dan merupakan lepasan pengajian Matematik dari Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang.

“Selepas “cekgi” memaparkan ‘screenshot’ itu, beberapa guru dan pelajar mula memberikan komen.

“Seorang guru lepasan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Universiti Sains Malaysia (USM, yang tinggal di Simpang Ampat menulis komen berikut:

“Sedangkan sekutunya kita boikot, ini apakan lagi, budak ni. Boikot saja.

“Aku sebagai guru tidak pernah kenal pelajar ini. Mulai hari ini dan seterusnya, boikot, jangan berkawan atau berkomunikasi dengannya. Kenyataan yang dibuat menyakitkan hati masyarakat lain.”

“Seorang lagi guru menulis komen berbentuk hasutan:

“Kita bakor je hahaha” (Kita bakar sahaja).

“Selepas tiga guru ini melakukan penghinaan, hasutan dan ugutan, beberapa pelajar yang juga merupakan rakan kepada individu terbabit turut menulis komen yang berbentuk negatif.

“Misalnya, seorang rakan/pelajar sekolah sama menulis: “Sialah kau****! Puihh!!!”

Pelajar takut dan enggan ke sekolah

Uthaya berkata pelajar tersebut mengalami trauma dan sangat takut.

“Dia enggan ke sekolah kerana takut dibuli, dipukul, dihina, malah dibakar oleh guru dan pelajar (seperti yang disebut menerusi komen Facebook).

“Pada pagi 12 Ogos 2014, ibu bapa dan seorang saudara kepada mangsa pergi ke sekolah untuk bertemu pengetua. Tetapi pengetua tiada.

“Mereka tidak diberikan kebenaran untuk bertemu guru-guru terbabit untuk mendapatkan penjelasan serta menyelesaikan masalah secara baik.

“Pihak sekolah ternyata sedar mengenai hal yang berlaku tetapi memutuskan untuk menyerahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menangani isu ini.

“Apa yang diharapkan oleh ibu bapa mengsa adalah permohonan maaf secara terbuka (public apology) oleh guru-guru terbabit di perhimpunan sekolah, menerusi laman Facebook, menerusi Twitter dan semua tempat/media di mana hasutan, kecaman, penghinaan dan ancaman mereka terhadap mangsa (pelajar) ini tersebar.

“Sekiranya tidak dilakukan sehingga Rabu (13 Ogos 2014), maka maklumat peribadi semua guru terbabit, pelajar terbabit, sekolah terbabit, ‘screenshot’ komen guru dan murid serta segala yang berkaitan akan diedarkan kepada wakil media, selain disebarkan tanpa sekatan menerusi pelbagai laman rangkaian sosial.

“Tindakan yang mahu diambil bukan bertujuan memberi kesan negatif kepada guru-guru terbabit, tetapi sebagai pengajaran dan amaran kepada semua lapisan masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya melakukan hasutan, penghinaan dan amaran mahu membakar pelajar,” kata Uthaya Sankar.

Guru tak patut masuk campur urusan peribadi pelajar

Uthaya Sankar menambah beliau memandang serius perkara ini kerana ia mencemarkan kerjaya perguruan yang dipandang mulia. Golongan guru sepatutnya menumpukan pada tugas hakiki dan bukannya masuk campur dalam urusan (kehidupan) peribadi pelajar.

“Tindakan guru-guru berkenaan menghina, mengancam nyawa dan menjatuhkan maruah pelajar berkenaan dengan menyalahgunakan kemudahan Facebook dan internet amat memalukan.

“Guru-guru itu juga secara jelas dan penuh sedar telah menghasut guru-guru dan para pelajar sekolah supaya memboikot pelajar itu malah hingga ke tahap menghasut supaya pelajar/mangsa yang tidak bersalah itu dibakar hidup-hidup.
“Kempen boikot Israel yang berlaku di beberapa tempat pada 8 Ogos 2014 menunjukkan secara jelas pelbagai kejadian yang tidak diingini, mengundang keganasan, emosi tidak terkawal serta perbuatan melampau.

“Saya bimbang bahawa hasutan guru-guru dalam kes ini akan membahayakan nyawa dan keselamatan pelajar terbabit,” kata Uthaya yang merupakan penulis dan perunding media sepenuh masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan