Luahan Hati Pelanggan Berang Dengan Penjawat Awam Keluar Minum Jam 10 Pagi

Tranungkite
Kami percaya, kita semua pernah mengalaminya. Tetapi adalah tidak adil jika kita menuduh majoriti yang bersikap sedemikian. Ada juga penjawat awam yang mematuhi peraturan serta etika sebagai seorang penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat.

Ikuti luahan hati Puan Azrinaz Hashim di bawah:

Baru-baru ini, saya berurusan dengan pejabat kerajaan. Namun urusan tidak dapat diselesaikan. Kerani di pejabat itu menyuruh saya datang semula pada pukul 10.30 pagi kerana orang yang dipertanggunjawabkan pergi minum dan akan balik sekitar waktu itu. Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Inilah antara masalah yang telah menjadi wabak dalam pejabat kerajaan.

Sejak bila ada tercatat di papan tanda pejabat pukul 10 adalah waktu minum? Ini waktu pejabat bukannya kursus anjuran agensi kerajaan yang memang mewah dengan jadual makan minum sebanyak enam kali sehari.

Namun inilah yang berlaku di kebanyakan pejabat kerajaan hari ini. Jika ditinjau di kedai makan sekitar waktu ini, kita boleh lihat ramai yang berpakaian pejabat minum dan berbual di situ.

Tidak bolehkah bersarapan sebelum masuk waktu pejabat? Kami pelanggan yang hanya mempunya masa yang suntuk untuk keluar menyelesaikan beberapa urusan dengan sektor kerajaan dan memerlukan perkhidmatan. Malangnya, ada kakitangan awam yang tidak memikul amanah yang telah diberikan sebagai kakitangan kerajaan apabila tiada di tempat dan masa yang diperlukan oleh rakyat Malaysia seperti kami. Sedangkan anda sudah tentunya dapat gaji di hujung bulan. CUEPACS jangan asyik minta bonus. Cuba atasi masalah pekerja yang keluar minum sesuka hati dan di waktu kerja sedangkan waktu rehat hanya sejam di tengah hari.

Puan Azrinaz Hashim,
Petaling Jaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan