Saifuddin tolong lebih bertanggungjawab buat kenyataan - Azmin

Saifuddin tolong lebih bertanggungjawab buat kenyataan - Azmin
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail didesak lebih bertanggungjawab dan cermat dalam membuat kenyataan.

Desakan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menerusi laman mikro twitternya petang tadi berhubung kenyataan yang dibuat Saifuddin dalam sidang media hari ini.

"@saifnasution tolong lebih bertanggungjawab dan cermat dalam membuat kenyataan. Wajar rujuk saya terlebih dahulu." tulis Azmin.

Namun Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Bukit Antarabangsa) itu tidak menyatakan kenyataan Saifuddin yang mana dirujuk beliau.

Usaha Astro AWANI untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari Timbalan Presiden PKR itu gagal.

Namun sumber dalaman PKR memberitahu, Azmin mungkin merujuk kenyataan mesyuarat biro politik PKR malam tadi yang bersetuju hanya nama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kemungkinan Azmin merujuk kenyataan Saifuddin yang mengatakan mesyuarat biro politik PKR malam tadi yang dihadiri presiden dan timbalan telah bersetuju bahawa Wan Azizah satu-satunya nama yang dicalonkan.

"Kenyataan Saifuddin itu tidak cermat, sebagai Setiausaha Agung beliau membuat kenyataan seolah-olah tidak faham antara mesyuarat Biro Politik Khas dan mesyuarat Biro Politik Mingguan.

"Sebagai Setiausaha Agung, sepatutnya Saifuddin faham malam tadi (Isnin malam) adalah mesyuarat Biro Pilitik Khas iaitu mesyuarat yang membincangkan satu agenda sahaja dan agenda yang dibincangkan ialah dari segi perundangannya bagaimana mahu memastikan Tan Sri Khalid mengosongkan kerusi menteri besar.

"Kalau mesyuarat Biro Politik Mingguan dibuat setiap Selasa dan banyak agenda tapi malam tadi hanya satu agenda, tidak dibincangkan tentang nama calon," kata sumber PKR itu kepada Astro AWANI.

Kata sumber itu lagi, Azmin mungkin kecewa dengan sikap Saifuddin yang tiba-tiba mengheret beliau dalam isu nama pengganti Abdul Khalid.

"Sekarang nampaknya Saifuddin cuba heret Azmin tapi sebelum ini ketepikan Azmin," kata sumber itu lagi.

Dalam sidang media awal hari ini, Saifuddin berkata PKR tidak ada calon lain menggantikan Abdul Khalid kecuali presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Khabar angin itu lemah, keputusan yang kita capai masih mengekalkan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR.

"Mesyuarat semalam dihadiri presiden dan timbalan. Semuanya sudah dipersetujui. Keputusan yang dicapai adalah kekal seperti yang diputuskan pada mesyuarat lalu," Saifuddin dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.
.....
http://www.astroawani.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan