Apabila Atuk 71 tahun bercinta dengan gadis bawah umur

Sepatutnya pada usia begitu, dia perlu lebih mendekatkan diri dengan Allah, bukannya melakukan perbuatan yang boleh merosakkan masa depan remaja berkenaan yang masih mentah untuk membuat penilaian hidup.

“Jika mereka dikahwinkan pun, ia bukan jalan penyelesaian dan belum tentu kedua-duanya bahagia kerana perbezaan umur yang terlalu jauh boleh menyebabkan berlakunya konflik sosial yang mungkin menyebabkan mereka bercerai.”

Demikian reaksi pakar sosiologi, Prof Dr Mohammad Shatar Sabran mengenai laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai warga emas lelaki berusia 71 tahun ditangkap khalwat bersama remaja berusia 14 tahun.

Laporan itu menyebut remaja berkenaan datang ke rumah kekasihnya yang layak digelar datuk untuk memadu kasih selepas menjalinkan hubungan sejak beberapa bulan lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Shatar yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, perbezaan umur 57 tahun adalah terlalu jauh untuk mereka mencapai keharmonian hidup bersama kerana jangkaan mereka saling berbeza.

“Kedua-duanya lahir pada zaman yang terlalu jauh, ibarat mengambil orang yang lahir pada zaman sebelum merdeka untuk hidup di zaman ini tanpa melalui peringkat kehidupan.

“Sepatutnya lelaki warga emas itu menjadi pelindung kepada remaja berkenaan bukannya mengambil kesempatan, sekalipun mungkin remaja terbabit memberi alasan sunyi dan mahu disayangi,” katanya semalam.

Katanya, kes itu mungkin dipengaruhi trend remaja hari ini yang lebih gemar memilih lelaki berusia sebagai pasangan kekasih.

“Berdasarkan kajian membuktikan, kebanyakan remaja perempuan memilih lelaki lebih 40 tahun atas tiga sebab utama iaitu lebih romantik, bertanggungjawab dan kukuh dari sudut ekonomi.

“Malah, faktor paling utama ialah romantik kerana lelaki berusia lebih menonjolkan kasih sayang sepanjang proses perkenalan walaupun sudah mendapat apa yang dihajati berbanding lelaki muda yang gelojoh untuk sampai ke kemuncak hubungan,” katanya. 
- HM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan