Hadiah paling bermakna selepas bersara jadi tetamu Allah

HAFIZAH KAMARUDDIN 
MAKKAH: Bagi Abu Bakar Mohd Yusoff, hadiah paling bermakna selepas bersara dua tahun lepas ialah menerima khabar gembira menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
Abu Bakar, 59, bersama isteri Kalsom Ibrahim, 56, dua anak perempuan - anak sulung Khairunnisa, 27, dan anak kedua, I'ffah, 26, gembira kerana dapat bersama-sama keluarga mengerjakan haji pada tahun ini.

Kalsom, pesara pembantu tadbir Jabatan Agama Islam Melaka berkata ketika suaminya bekerja di Jabatan Kerja Raya mereka tidak pernah merasai pengalaman bercuti bersama keluarga tetapi sebaik suaminya bersara, mereka enam beranak memilih mengerjakan umrah pada tahun lepas.

"Seminggu sebelum mengerjakan umrah pada 30 Dis tahun lepas, kami mendapat tawaran untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Kami bersyukur kerana ikut giliran sepatutnya pada 2017," katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun beliau terkilan kerana terpaksa meninggalkan dua lagi anaknya, iaitu anak tunggal lelaki berusia 25 dan anak bongsu berusia 20 tahun kerana tidak mendaftar sekali kedua-dua anaknya untuk haji pada masa itu.

Namun Kalsom tetap bersyukur kerana Khairunnisa, penolong tadbir Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu dan I'ffah, juru ukur bahan syarikat swasta, dapat mengerjakan haji kerana sejak kecil anaknya mengimpikan untuk menjejak kaki di Tanah Suci apabila melihat nenek mereka mengerjakan haji pada 1996.

"Saya telah membuka akaun Tabung Haji untuk anak-anak secara potongan gaji sejak mereka di tadika lagi," katanya.

Sementara itu, Hanif Mohd Nosruddin, 23, yang mengiringi ibunya Solhah Mat Sarin, 52, jururawat yang bertugas di Hospital Teluk Intan melahirkan rasa bertuah kerana pada usia muda dijemput sebagai tetamu Allah.

Anak tunggal lelaki daripada tiga beradik, Hanif yang kematian bapanya sejak berusia tujuh tahun, merasakan generasi muda perlu menjadikan ibadah haji sebagai prioriti yang perlu dilakukan ketika usia muda kerana ibadah haji memerlukan tenaga dan kekuatan.

Lulusan ijazah sarjana muda dalam bidang pengangkutan dan kini bekerja sebagai penyelia khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta itu, melahirkan rasa seronok dapat beribadah di Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Hanif yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Nornazatul Shima Halili, 23, pada Julai lepas menganggap tahun ini tahun yang amat bertuah baginya.

"Saya amat berharap dapat kembali lagi menjadi tetamu Allah dengan membawa isteri dan adik-beradik perempuan saya," katanya.

Bagi Tokimin Karso, 68, dari Sepang, Selangor berkata hatinya tiba-tiba menjadi sebak dan airmatanya terus mengalir dengan deras apabila pertama kali terpandang Kaabah yang selama ini dilihatnya melalui kaca televisyen.

"Sebaik melihat Kaabah, pak cik terus menitiskan airmata semasa mengerjakan tawaf dan saie awal pagi semalam," katanya.

Warga emas itu yang ditemani isteri Siti Rahmah Musdi bersyukur kerana dapat mengerjakan haji tahun ini memandangkan giliran mereka sepatutnya pada 2016 selepas mendaftar pada 2006.

Tokimin amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sejak menjejak kaki di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, di Petaling Jaya pada 27 Ogos sehingga melakukan ibadah umrah.

Malah, ibadah tawaf dan saie pagi semalam, turut berjalan lancar dengan Mutawif, atau orang yang membawa tawaf di Masjidil Haram, telah membawa mereka mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, dan bersaie dari Bukit Safa dan Marwah tujuh kali dengan teratur serta turut membaca doa untuk mereka ikuti, katanya.

"Pak cik bersyukur di bawah pimpinan mutawif Masjidilharam dapat bersolat di belakang Makam Nabi Ibrahim berhadapan pintu Kaabah," katanya yang mempunyai penyakit lelah dan gout.

Kesemua 412 jemaah haji kumpulan pertama yang tiba dari Madinah pada Khamis malam, melakukan umrah pada pagi Jumaat dengan dibawa berjalan dari maktab penginapan mereka di Abraj Al Janadiriyyah kira-kira 750 meter oleh petugas Muassasah Asia Tenggara ke Masjidilharam.

Sementara itu, jemaah haji kumpulan kedua (KT2) sebanyak 254 orang dari Madinah tiba di Makkah pada 2 petang Jumaat (7 malam waktu Malaysia), dan KT3 sebanyak 266 jemaah tiba pada 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

KT4 pula dengan 433 jemaah haji tiba pada 7.50 malam waktu tempatan (12.50 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Dengan ini, jumlah jemaah haji Malaysia yang berada di Makkah adalah 1,365 orang.

Tiga lagi kapal terbang iaitu KT20, KT21 dan KT22 yang membawa 1,000 penumpang tiba di Madinah pada Jumaat.

KT20 yang membawa 450 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 5.34 pagi Jumaat, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 9 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia).

Sementara K21 yang membawa 279 penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 1.20 tengah hari Jumaat, tiba 4.50 petang waktu tempatan (8.50 malam waktu Malaysia) dan KT22 yang membawa 271 penumpang berlepas dari KLIA pada 4.50 petang tiba di Madinah pada 8.35 malam waktu tempatan (12.35 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Dengan ini, jumlah jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci, iaitu di Makkah dan Madinah, adalah seramai 7,010 orang. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan