Ahmad Lutfi Othman
Mungkin saya terlalu memikirkannya, hingga terasa konflik dalaman PAS ekoran kontroversi jawatan Menteri Besar Selangor begitu kritikal dan merasakan ia boleh membawa perpecahan serius dalam parti, namun keresahan itu rupanya turut dikongsi oleh lebih ramai khalayak dan aktivis.
Pastinya saya tidak keseorangan dikepung kebimbangan. Berjumpa rakan-rakan, hal sama yang disoal, malah ada kawan lama yang jarang bertanya khabar, tiba-tiba saja menghantar SMS: "Hang sebelah mana Lutfi, Anwar atau Haji Hadi?" Lama juga saya garu kepala yang tidak gatal ...
Tidak kurang pembaca yang menegur Harakah kerana memilih tajuk muka depan, PAS Hadapi Ujian Getir. Kata mereka, saya tidak bijaksana kerana seolah-olah mendedahkan masalah dalaman parti kepada masyarakat umum.
"Mungkin kerana salah urus, hal ini sudah menjadi serius dan tidak mustahil menjadi lebih parah. Jadi, semua pihak dalam parti mesti tulus mencari jalan keluar," saya membalas. "Orang ramai sedang memerhati kita, dan kebanyakan mereka agak pelik dengan isu ini," tambah saya.
Ya, ketika negara dikejutkan dengan pelbagai insiden dan tragedi -- misalnya amukan tanpa henti penangkapan di bawah Akta Hasutan 1948 (yang sudahpun diumumkan pemansuhannya oleh Perdana Menteri dua tahun lalu), juga kebocoran tiga kertas peperiksaan UPSR yang memaksa ia ditangguh dan diadakan semula -- tinjauan rambang di media sosial masih menunjukkan "pertelagahan sesama sendiri" penyokong Pakatan Rakyat belum berakhir.
Akta Hasutan bukan lagi memburu tokoh-tokoh politik oposisi, malah mencengkam aktivis mahasiswa, para pensyarah, peguam, pendakwah dan juga khatib Jumaat. Nama-nama terbaru yang masuk dalam senarai adalah Ustaz Wan Ji Wan Husin, Hassan Karim (Naib Pengerusi KeADILan Johor), Edmund Bon (Majlis Peguam) dan Ustaz Abu Bakar Kaikalani Abu Hassan.
Peguam terkemuka Hanipa Maidin memberi respons: "Saya tidak fikir penggubal undang-undang ini (Akta Hasutan) boleh terfikir tangan undang-undang ini terlalu panjang sehingga seorang khatib yang berkhutbah Jumaat juga akan disiasat di bawah akta ini. Sejak bila pula bidangkuasa polis dilebarkan hingga ke urusan dalam masjid?"
Perbahasan tentang isu-isu kenaikan harga barang, kerugian MAS, impak GST, demonstrasi peneroka Felda, juga kenyataan menteri bahawa pendapatan isi rumah di negara kita melepasi RM5,900 sebulan (ketika 70 peratus orang Melayu menerima BR1M, yakni berpendapatan di bawah RM3,000), seperti tidak dipedulikan.
Ya, 472,853 pelajar Tahun Enam, yang sepatutnya sudah lega dengan selesainya UPSR dan menikmati percutian bersama keluarga terpaksa menunggu tiga minggu lagi, selain menanggung tekanan mental. Sebenarnya ini bukan kali pertama kertas peperiksaan UPSR bocor, tetapi sebelum ini ia tidak sampai dipaparkan secara meluas melalui online, malah dengan bukti kukuh. Irinonya, Muhyiddin Yassin terselamat ...
Tepat sekali ungkapan rakan saya, kolumnis Zulkifli Yahaya, bahawa Malaysia seolah-olah hilang pembangkang untuk tempoh yang agak lama, sehinggakan kerajaan BN pimpinan Najib Razak kelihatan sangat selesa, disebabkan masa dibazirkan dengan begitu banyak untuk isu MB Selangor.
Bukan itu sahaja, tiba-tiba sesama aktivis jamaah yang juga sahabat seperjuangan, begitu mudah sekali prasangka menguasai. Segalanya -- termasuk komen dalam FB, SMS, Whatsapp, hatta tanda "like" ataupun "share" -- ditafsirkan daripada sudut yang boleh mencetuskan "perbalahan".
Sehingga saya termenung sendiri: "Petaka dan kegilaan apakah ini? Di mana hilangnya adab dan akhlak?" Perbahasan dan diskusi sepatutnya berjalan secara matang dan terbuka. Perbedaan pendapat dan percanggahan idea adalah lumrah, namun hadapilah dengan kepala dingin. Sesungguhnya masyarakat sedang menilai dan menghakimi kedewasaan kita melalui krisis ini.
Pada petang Khamis, 11 September lalu, semasa menziarahi bekas Naib Presiden PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok, di kediamannya, Sungai Merab, Bangi, beliau kelihatan teragak-agak untuk berbicara "masalah dalaman yang serius itu", bimbang kesan lebih buruk timbul.
"Saya teringat pepatah Arab, kalau bercakap itu ibarat suasa atau perak, maka berdiam diri itu umpama emas. Kita juga disaran agama agar tidak bercakap sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan kita," Pak Daeng menuturkan dengan berhati-hati sekali, sambil mengakui apa yang berlaku dalam parti tidak boleh dipandang ringan.
"Kita sudah merasai bagaimana pedihnya berdepan kekalahan di Kelantan pada 1978, hanya tinggal dua kerusi. Ada yang malu nak berjumpa dengan orang dan ada yang tidak bersedia mengaku sebagai ahli PAS pun. Ambillah itu sebagai pengajaran," tambahnya.
Mengimbau kembali era 70-an, Pak Daeng mahu hubungan erat sesama pimpinan di kala itu, meskipun mereka berbeda pandangan, dapat dikembalikan. Beliau dipilih pertama kali sebagai Naib Presiden di bawah kepemimpinan Dato' Asri Muda pada 1975. "Jangan hanya bertemu di waktu mesyuarat, harus ada pertemuan santai yang sebenarnya lebih mengeratkan kita, masa kami dulu ada juga main terup keling dan domino," tambahnya sambil ketawa panjang.
"Pimpinan PAS dulu, apabila keluar daripada mesyuarat dan sesuatu perkara itu sudah menjadi keputusan walaupun dia tidak bersetuju, dia masih akur, pikul sama. Tidaklah keluar dari mesyuarat jaja, "Oh, itu saya tak setuju. Itu tak betul". Tidak ada. Orang PAS dulu tidak begitu. Malangnya sekarang semacam ada riak-riak sedikit sebanyak yang tidak beramal, tidak menghormati pendirian bersama sesama jemaah. Suka bercakap, suka membuat kenyataan. Aduh," ujar Pak Daeng.
Pandangan dan nasihat Pak Daeng, yang juga bekas Pengarah Urusan Harakah, akan dimuatkan dalam Harakah keluaran khas sempena muktamar, edisi Jumaat depan.
Selepas lebih dua jam, kami terpaksa menamatkan sesi sembang-sembang bersama bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang (1990-99) itu, untuk bergerak ke rumah Dr Redzuan Othman, profesor sejarah Universiti Malaya, di Sungai Ramal, Kajang. Saya kerap menemuinya apabila timbul isu-isu besar dalam dunia politik dan alam akademik negara ini.
Ternyata dia juga cukup prihatin dan bimbang dengan masa depan Pakatan. Beliau yang mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim dan pimpinan tertinggi PAS, termasuk Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mahu segala yang keruh dapat dijernihkan, agar kekusutan dapat dilerai dan salahfaham mampu dibetulkan.
Dr Redzuan menjelaskan, sejarah politik Malaysia menyaksikan BN akan menang dengan kedudukan selesa apabila parti pembangkang tidak bersatu.
"Barisan Alternatif pada PRU 2004 pecah bila PAS dan DAP buat cara masing-masing selain faktor persempadanan 2003 dan imej bersih Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Dalam PRU13 pula, calon BN menang mudah di kawasan pertembungan tiga penjuru. Itu yang berlaku seperti di Kota Damansara dan Semenyih tahun lepas. Bayangkan kalau ada pilihan raya di Selangor ketika Pakatan dalam keadaan sekarang, saya jangka BN boleh dengan mudah dapat dua pertiga majoriti," ujarnya, sambil mengharapkan penyelesaian terbaik dapat dicapai.
"Saya yakin masih ada ruang dan keadaan sekarang tidaklah sampai tahap menang jadi arang, kalah jadi abu," katanya sambil ketawa kecil. Baginya, tiga pimpinan utama Pakatan, Anwar, Ustaz Hadi dan Lim Kit Siang, masih diperlukan barisan oposisi.
"Pandangan yang minta supaya Tuan Guru Hadi, Anwar dan Kit Siang letak jawatan untuk beri laluan kepada pimpinan lebih muda akan hanya mempercepat kemusnahan Pakatan Rakyat," kata Dr Redzuan.
Mendengar cerita Dr Redzuan, saya dapat menangkap mesej bahawa persefahaman di kalangan ketua-ketua parti dalam Pakatan perlu dipertingkatkan. Kadang kala ada jurang komunukasi yang nyata. Ada kalanya sensitiviti PAS berbeda dengan sensitiviti KeADILan dan DAP. Tindakan dan aksi harus disepakati, atau sekurang-kurangnya dapat dimengerti.
Tiada sesiapa harus berlagak bagai "big brother" yang mungkin menyakitkan perasaan teman-teman lain. Dan seperti ingatan Pak Daeng untuk pimpinan PAS, "pegang betul-betul keputusan yang dirumuskan bersama, walaupun secara peribadi ada yang tidak bersetuju, dan lebih penting jaga akhlak berjemaah".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan