Mahathir cabar polis untuk menangkapnya?

Tangkap saya? Teruskan, kata Mahathir

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia ditahan oleh pihak polis ekoran laporan terhadapnya yang dibuat oleh seorang anggota parlimen DAP hari ini.

“Saya cuma rakyat biasa sekarang, jika saya sepatutnya ditahan mengikut undang-undang, teruskan,” katanya ketika ditanya kemungkinan polis akan menyiasatnya.

Beliau juga berkata, sebagai ahli politik, beliau tidak menjangkakan layanan baik orang ramai terhadapnya pada setiap masa.

“Saya boleh petik kenyataan lebih ekstrem oleh sesiapa pun, tetapi saya tidak mahu lakukannya, sebagai ahli politik saya tidak harap dilayan baik setiap masa,” katanya.

Beliau diminta mengulas berhubung laporan Lim Lip Eng (Segambut) berhubung kenyataan sebelum ini dan gesaan supaya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi melayan sama rata laporan polis yang dibuat.

Berikutan ikrar Zahid bahawa laporan polis mengenai hasutan akan disiasat dalam tempoh 24 jam, Lip Eng hari ini membuat laporan terhadap Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Lip Eng (kanan) membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul pada tengah hari berkaitan dakwaan Mahathir terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang semasa kempen pilihan raya umum lepas.

Lip Eng juga mendakwa Najib mengucapkan kenyataan yang berunsur hasutan semasa Perhimpunan Agung Umno 2010.

Desakan supaya tokoh BN itu disiasat turut dibuat Kit Siang hari ini yang tidak puas hati terhadap kenyataannya Mahathir ketika beliau bertanding di Gelang Patah dalam pilihan raya umum lalu.

Kit Siang mendakwa Mahthir berkata, beliau bertanding kerusi itu keana mahu orang Cina di Gelang Patah dan Johor “menolak bekerjasama dan berkongsi dengan orang Melayu” selain “membenci orang Melayu”.

'Pemimpin mesti tegas'
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahathir sebagai berkata, seorang pemimpin mesti tegas, berani dan beriltizam dalam mengambil tindakan untuk menangani krisis sekalipun keputusan
yang dibuat tidak popular.

"Dalam krisis kewangan, sesetengah orang memanipulasi wang dan ini boleh mencetuskan krisis," beliau dipetik sebagai berkata dalam ucap utama bertemakan “Kepimpinan dan Pengurusan Krisis” pada Forum CEO 2014 keenam anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Kuala Lumpur.

Beliau berkata sistem perbankan sangat penting kerana ia membekalkan modal yang diperlukan oleh perniagaan untuk pertumbuhan ekonomi.

"Jika sistem ini disalah guna, maka ini akan membawa masalah seperti yang dihadapi oleh dunia semasa krisis kewangan ini," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional.

Dr Mahathir berkata kerajaan harus bersedia campur tangan dan menghapuskan amalan buruk dan ia menuntut kepimpinan kuat bagi mengekang penyelewengan sistem perbankan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan