Mesir larang doa kehancuran Yahudi dalam khutbah

Tranungkite
KAHERAH: Keputusan Kementerian Wakaf Mesir yang melarang pembacaan doa dalam khutbah agar golongan Yahudi seluruh dunia dihancurkan oleh Allah mendapat bantahan keras khususnya dari para alim ulama.
Menterinya yang masih dikekalkan dalam kalangan penyokong Abdel Fattah as-Sisi mendapat kritikan hebat para ulama.

Mereka berpendapat bahawa berdoa kepada Allah SWT agar orang Yahudi dimusnahkan kerana kejahatan mereka yang ketara dari sehari ke sehari merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu Muslim yang sayangkan agamanya, malah tindakan berdoa itu adalah perkara yang sedia maklum daripada ajaran agama Islam.

Sehubungan itu, para imam di beberapa buah masjid menyelar kenyataan kementerian berkenaan dan menyifatkannya sebagai larangan berpolitik di pentas mimbar yang sepatutnya bebas daripada bau politik sempit dan larangan itu juga tidak menepati uslub dakwah sebenar terutama pada suasana rejim Zionis melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas rakyat Palestin di Gaza hingga menyebabkan banyak jiwa terkorban.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Unit Dakwah dan Penerangan Agama al- Azhar, Syeikh Abdullah Mujawer menyifatkan larangan itu sebagai mengurangkan peranan doa terhadap golongan terkutuk khususnya Yahudi yang telah membunuh ribuan kanak-kanak, kaum wanita serta orang-orang tua di Lubnan, Palestin tanpa belas kasihan, justeru berdoa untuk kehancuran mereka adalah wajib menurut pandangan agama. – Rayig.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan