Shahbudin Husin
Semua orang tahu bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak lagi menyokong kepimpinan Najib Razak dan bertekad untuk terus memberi teguran terhadap apa-apa dasar serta polisi kerajaan yang merugikan rakyat demi rasa sayangnya kepada negara ini.
Dalam hal ini, Mahathir telah menyatakan bahawa beliau sanggup jika akhirnya hanya tinggal keseorangan dalam memberi teguran kepada Najib yang banyak diwarnai dengan budaya ampu dan bodek yang begitu berleluasa.
Tetapi apabila semalam kerajaan sekali lagi mengumumkan pemotongan subsidi minyak yang menyaksikan harganya naik 20 sen seliter, reaksi Mahathir tidak seperti yang diharapkan oleh ramai orang.
Di ketika banyak pihak pihak, termasuk ada di kalangan ahli MT UMNO, pemimpin agama, NGO, penggiat media sosial dan sebagainya yang sebelum ini pro kerajaan turut mempertikaikan tindakan Najib ini, lebih-lebih lagi ia dibuat menjelang sambutan Aidil Adha, pendirian Mahathir pula seolah-olah bersetuju dengan tindakan Najib itu.
Bercakap di Kota Bharu, Mahathir berkata, kenaikan yang dilakukan kerajaan itu dapat mengatasi masalah ketirisan, manipulasi subsidi dan penyeludupan minyak yang banyak berlaku di kawasan sempadan.
Selain itu, katanya lagi, negara-negara Arab yang menjadi pengeluar minyak juga menjual minyak di pasaran dengan harga yang lebih tinggi, jadi bagaimanakah kita mahu menjualnya dengan harga yang rendah?
Hujah-hujah yang dilontarkan oleh Mahathir seolah-olah beliau bersetuju dengan kenaikan harga minyak yang menyusahkan rakyat itu. Penyokong tegar Najib jelas gembira dengan komen Mahathir itu kerana dianggap sudah membuat U Turn dalam pendiriannya.
Dengan perkembangan terbaru ini, ada juga yang menyifatkan Mahathir sudah mirip seperti Presiden Pas, Haji Hadi Awang yang kerap membuat U Turn dalam isu Menteri Besar Selangor sebelum ini.
Benarkah Mahathir sudah buat U Turn?
Jika diamati, kenyataan Mahathir mengenai alasan ketirisan dan penyeludupan itu sebenarnya adalah alasan yang biasa digunapakai oleh kerajaan setiap kali memotong subsidi rakyat sebelum ini, sama ada melibatkan minyak, gula dan sebagainya.
Itulah hujah kerajaan untuk mewajarkan kenaikan yang dilakukan agar rakyat memberi sokongan terhadap apa yang dilakukannya. Namun, setelah beberapa kali kenaikan harga minyak dan gula dilakukan oleh sejak Najib memimpin kerajaan pada 2009, ketirisan, manipulasi subsidi dan penyeludupan terus juga berlaku.
Maknanya, hujah kerajaan itu tidak berkesan sama-sekali. Dalam erti kata lain, pemotongan subsidi bukanlah sangat kerana nak mengatasi masalah penyeludupan, ketirisan atau manipulasi subsidi tetapi kerana kerajaan sudah kekeringan sumber kewangan.
Jadi, apabila Mahathir melontarkan balik hujah itu seolah-olah menyokong tindakan kerajaan, ia adalah sindiran paling halus yang ditujukannya untuk menggambarkan kegagalan Najib dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negara.
Lebih dari itu, Mahathir juga menyatakan, negara Arab yang menjadi pengeluar minyak juga menjual minyak dengan harga yang tinggi? Soalnya, negara Arab yang menjadi pengeluar minyak manakah yang menjual minyak dengan harga yang tinggi sedangkan kita semua tahu harganya adalah begitu murah di negara-negara tersebut?
Sekali lagi sebenarnya Mahathir menyindir Najib dan kerajaan dengan kenaikan berterusan harga minyak ini sedangkan negara kita juga merupakan pengeluar minyak.
Mahathir tidak nyanyuk atau lupa apabila memberi contoh minyak dijual dengan harga mahal di negara-negara Arab, tetapi itulah caranya menyindir harga minyak yang sering meningkat baik di negara ini. Beliau tentulah lebih maklum bahawa harga minyak di negara Arab atau negara pengeluar minyak jauh lebih rendah daripada negara kita.
Walaupun dalam isu kenaikan harga minyak yang dipertikaikan oleh banyak pihak ini, Mahathir kelihatan seolah-olah bersetuju dengan tindakan kerajaan itu, beliau sekali lagi menunjukkan dirinya mempunyai cara tersendiri yang berbeza dengan orang lain dalam mengkritik dan menyatakan rasa tidak setujunya terhadap dasar dan polisi Najib.
Tidak bersetuju tidak semestinya dengan menentang atau mengatakan "tidak" secara lantang tetapi boleh juga dibuat dengan menyindir, memerli dan menyiku dan kadangkala cara itu lebih terasa bisanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan