Tikam leher anak perempuan 13 kali kerana kurang ajar

LONDON: Seorang bapa menikam mati anak perempuan yang berusia 24 tahun sebanyak 13 kali pada bahagian leher selepas remaja itu dikatakan tidak menghormatinya, lapor MailOnline semalam.
Lelaki yang berasal dari Kuwait itu, Faleh Ghazi Albasman (gambar), 59, membawa anaknya, Mashael Albasman ke London pada tahun 2013 untuk menyambung pelajaran dalam bidang bahasa Inggeris. Mereka berdua tinggal di sebuah flat di Bournemouth.

Albasman mengaku dia berada dalam keadaan marah semasa dia menyerang anaknya itu.

“Dia tidak hormat saya dan meminta saya supaya pulang ke negara asal. Kemarahan saya memuncak apabila dia berkata demikian sambil berbual di te­lefon bimbit.

“Sikapnya itu dianggap tidak sopan dalam budaya saya... lalu saya menikamnya pada bahagian leher,” katanya ketika sesi pendengaran kes di Mahkamah Winchester Crown baru-baru ini.

Mahkamah turut diberitahu, dia ada menyatakan kepada seorang doktor yang merawat anaknya bahawa tindakan tersebut kerana mempertahankan ma­ruahnya.

Sementara itu, pakar psikiatri forensik, Dr. El-Khayad yang memberi kenyataan dalam kes itu berkata, Albasman pernah terlibat di dalam kemalangan jalan raya ketika dia berusia 20 tahun.

Kejadian itu menyebabkan dia berada di dalam keadaan koma kerana cedera pada bahagian otak dan mungkin memberi kesan ketika membuat sesuatu pertimbangan.

Sehubungan itu, Hakim Nigel Teare tidak menjatuhkan hukuman penjara sebaliknya mengarahkan lelaki itu menjalani rawatan mental di sebuah hospital. –Agensi/kosmo-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan