A Kadir Jasin
DALAM beberapa posting terbaru, kita berbincang dan berbahas isu-isu serius. Kali ini marilah kita bercerita mengenai sesuatu yang lebih ringan dan mungkin menghiburkan. Orang putih kata, comic relief.
Kita mulakan dengan menonton klip filem berikut oleh Allahyarham Seniman Negara, (Tan Sri) P Ramlee dari Youtube.
Daripada klip di atas, kita memperoleh ilmu dan panduan untuk mencari persamaan, teladan dan kesimpulan. Antaranya:-
1. Betapa asli (original) dan dalamnya pemikiran P Ramlee. Filem beliau dapat dengan kiasan dan sindiran membina. Dalam adegan di atas beliau menggantikan permaidani terbang dengan tikar mengkuang terbang.
2. Naik tikar dan permaidani ajaib lebih pantas daripada menunggang unta. Tetapi tikar dan permaidani ajaib hanya ada dan relevan dalam cerita P Ramlee dan hikayat Seribu Satu Malam saja. Dalam realiti, kita kena naik kapal terbang untuk perjalanan jauh dan pantas.
3. Arab berkhayal dan bersengketa. Barat mencipta dan membolot kuasa. Dunia Arab porak-peranda. Malang seribu kali malang, banyak orang kita sangat taasub kepada Arab sampai sanggup jadi pengebom bunuh diri dan berbunuh-bunuhan sesama Muslim.
4. Ada seorang bekas profesor memberitahu saya, dalam sebuah kitab agama lama Johor disebutkan iaitu kalau masih dalam keraguan setelah membaca kitab itu, pergilah bertanya kepada Arab yang terdekat.
5. Selain menghias, permaidani ada banyak kegunaan luar jangkaan. Dalam hikayat Seribu Satu Malam (The Arabian Nights), permaidani ajaib boleh terbang.
6. Bila ada permaidani, ada pulalah pengguna, pengeluar, pengedar dan peniaga permaidani (carpet traders). Carpet traders pula ada perbagai jenis. Ada yang membekalkan permaidani kepada masjid dan surau. Cukup makan, jarang kaya dan sana sini buat pahala. Lazimnya Melayulah. Ada carpet traders kelas eksklusif. Mereka bekalkan permaidani kepada istana dan rumah orang ternama. Mereka berjaya dan kaya. Bank bagi pinjaman mudah puluhan juta. Kalau pintar atau putar-belit mereka turut mendapat pengaruh dan kuasa. Jadilah mereka carpet teaders with power.
7. Selain menjadi hiasan dan simbol status kepada pemiliknya, permaidani juga boleh dijadikan tempat menyembunyikan sampah dan debu seperti dalam pepatah Inggeris “sweeping under the carpet”.
8. Menggulung manusia dalam permaidani pun boleh seperti dalam legenda Cleopatra. Dia telah disembunyikan diri dalam gulungan permaidani untuk dibawa bertemu kekasihnya, Julius Caesar. Cleopatra berbuat begitu demi mengelak daripada dikesan dan dibunuh oleh musuh ketatnya iaitu abangnya Ptolemy.
9. Apabila Caesar pulang ke Rom dan dinobatkan sebagai maharaja (emperor), Cleopatra mengikutinya. Tetapi apabila Caeser dibubuh oleh Brutus and Cassius, Cleopatra cepat-cepat lari dari Rom dan kembali ke Mesir. Natijahnya, dalam politik dua beradik pun boleh jadi musuh ketat dan dalam cinta berahi, macam-macam tipu helah digunakan. Pastinya orang yang menolong menyeludup Cleopatra dalam gulungan permaidani dianugerahkan duit dan pangkat.
Elizabeth Taylor Sebagai Cleopatra
10. Kemudian cerita mengenai kematian Khalifah Baghdad, al-Musta’sim pada tahun 1258. Apabila panglima tentera Mongol, Hulagu Khan, menawan Bahgdad dia dikisahkan telah membalut al-Musta’sim dalam permaidani dan mengarahkan kuda memijaknya sampai mati. Diriwayatkan yang Hulagu percaya kepada nujum. Nujum memberitahu beliau memancung al-Musta’sim boleh mencetuskan malapetaka seperti gempa bumi.
Lukisan Mongol Mengepung Baghdad 1258M
11. Al-Musta’sim pula digambarkan sebagai seorang pemerintah yang lemah, berbolak-balik (vicillating), malas, suka meminum serbat dan di kelilingi pemuzik serta badut.
12. Akhir kalam, panduan berbomoh daripada seorang bekas setiausaha bahagian Umno dari Pantai Timur. Katanya banyak orang politik suka berbomoh. Ingat lagi cerita Mona Fandey-Mazlan Idris? Mazlan adalah ADUN BN Pahang.
13. Pesan beliau, sebelum meminta bomoh “mengunci” seseorang, pastikan bomoh itu tahu membukanya. Katanya, pernah berlaku si mangsa terkunci mati kerana si bomoh hanya belajar mengunci tetapi terlupa belajar membuka kunci.
Nota kaki: Blog ini tidak menggalakkan perbomohan dan sebarang kerja yang menyekutukan Allah.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan