Kalau Khalid Ibrahim Terkejut Dengan Pampasan RM2.5 Juta, Rakyat Selangor Lagilah Terkejut!!
Cabaran baru kini menanti Menteri Besar Selangor, Azmin Ali. Setelah berjaya dengan beberapa program terjah untuk menjadikan kepimpinannya lebih dekat dengan rakyat dan penyelesaian secara harmoni isu kitab Bible yang dirampas Jais, rakyat Selangor kini menanti ketegasan serta kebijaksanaannya menyelesaikan isu pampasan RM2.5 yang dibayar oleh Perbadanan Menteri Besar Selangor atau MBI.
Mengikut laporan pampasan itu dibayar kepada lapan kakitangan kerajaan negeri yang berhenti secara sukarela berikutan pertukaran Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.
Terdapat laporan yang mengatakan ada di antaranya menerima sehingga RM700 ribu dan ada pula laporan lain mengatakan antara penerima pampasan itu termasuk bekas Menteri Besar, Khalid Khalid Ibrahim sendiri, bekas CEO MBI yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya, Faekah Husin serta bekas Setiausaha Akhbarnya, Arfa'ezaa Abdul Aziz.
Azmin dalam reaksi awalnya menyatakan, siasatan Jabatan Audit Negeri mendapati wujudnya unsur salah guna peruntukan dalam pemberian pampasan sejumlah RM2.5 juta itu kerana beberapa perkara telah tidak dipatuhi.
Hasil siasatan yang dijalankan memang ada beberapa perkara tidak dipatuhi dalam pemberian ganjaran tersebut dan sudah tentu jumlah ganjaran begitu besar jumlahnya perlu disemak semula, demikian kata Azmin lagi.
Walaupun beliau belum memutuskan bentuk tindakan yang bakal diambilnya selaku ketua kerajaan negeri, rakyat Selangor amat mengharap tindakan paling tegas, termasuk pemulangan wang tersebut ke dalam akuan MBI serta membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat jika benar terdapat unsur salah guna dalam proses meluluskannya.
Jika benar, terutamanya Khalid dan Faekah tidak wajar sama-sekali menerima pampasan itu kerana mereka adalah kakitangan kerajaan negeri yang layak menerima pencen berikutan telah berkhidmat melebihi 36 bulan perkhidmatan.
Dengan adanya pencen bulanan yang bakal diterima, apakah wajarnya lagi diberi pampasan dengan jumlah yang besar itu?
Tidak pernah bagi pemimpin atau kakitangan kerajaan mana-mana negeri atau pusat sebelum ini yang diberikan ganjaran wang tunai sebaik bersara dan menamatkan perkhidmatan mereka dan apa yang dilakukan oleh MBI ini memang pelik dan mengejutkan.
Bagi kakitangan yang lain pula, penghargaan atas jasa berkhidmat dengan kerajaan negeri, mungkin masih boleh diberikan tetapi tentulah bukan dalam bentuk wang tunai yang begitu besar jumlahnya.
Penghargaan yang sesuai mungkin seperti tajaan menunaikan haji atau umrah untuk sekeluarga, percutian ke luar negara atau dalam bentuk barangan yang boleh disimpan sebagai kenang-kenangan.
Dalam hal ini, kalau Khalid Ibrahim sebelum ini menunjukkan beliau seorang yang pandai menyimpan duit untuk kerajaan negeri, Azmin pula haruslah membuktikan dirinya pemimpin yang berhemah dalam menjaga setiap sen dengan sebaik-baiknya.
Jika benar ada salah guna peruntukan dan beberapa perkara pula tidak dipatuhi, wang itu harus didapatkan kembali dengan apa cara sekali pun. Azmin tidak harus berlengah menyelesaikan isu ini dan ia harus menjadi keutamaannya kini.
Jika isu Bible yang lebih rumit dan melibatkan banyak pihak boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 100 hari menjadi Menteri Besar Selangor, harapan rakyat Selangor tentulah mengharapkan hal wang ganjaran ini mampu diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat lagi.
Bagaimanapun, apa yang menarik ialah apabila Khalid Ibrahim yang ditanya mengenai perkara ini, dilaporkan terkejut dengan pemberian wang ganjaran itu.
Beliau bukan saja tidak mengetahui jumlah wang yang dibayar kepada lapan kakitangan yang berhenti itu, bahkan juga tidak pasti sama ada bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin turut menerimanya.
Tetapi, sebagaimana yang dilaporkan oleh Mstar, Khalid turut memberitahui bahawa Ahli Lembaga Pengarah MBI hanya terdiri daripada tiga individu iaitu beliau sendiri, setiausaha kerajaan dan pegawai kewangan negeri.
Jadi, bagaimana Khalid boleh terkejut dan tidak mengetahui siapa penerimanya dan berapa jumlah setiap orang menerima pampasan itu?
Apa yang dibuatnya dalam mesyuarat dan ketika keputusan itu dipersetujui sedangkan beliau merupakan Menteri Besar waktu itu? Kalau Khalid boleh terkejut, rakyat Selangor tentulah berkali-kali lebih terkejut lagi, bahkan kera dan beruk di hutan juga mungkin terkejut sama!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan