Saksikan video ini agar menimbulkan kesedaran kepada kita semua


PETALING JAYA: Kehidupan orang asli, flora dan fauna semakin terjejas saban tahun berikutan pencerobohan hutan oleh golongan yang mementingkan diri ditambah dengan sikap tamak haloba.

Kemusnahan hutan tanpa batasan terus berlaku walaupun di sesetengah tempat ada diletakkan papan tanda 'Hutan Simpanan Kekal', namun malangnya ia dianggap sebagai hiasan semata-mata.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, generasi akan datang tidak akan mengenali hutan jika pencerobohan berterusan dibiarkan berlaku.

Beliau yang memang terkenal dengan usaha melindungi hutan dan alam semula jadi di Malaysia mengakui tanpa kerjasama daripada semua pihak, tugas itu akan gagal.

"Kita tidak menghargai anugerah semulajadi yang ada. Mereka tidak fikir panjang mengenai apa akan terjadi jika hutan-hutan ini terus dipotong.

"Malaysia sebuah negara yang cantik. Saya berpeluang menerokai hutan-hutan di negara lain, namun hutan di negara kita paling cantik.

"Kita hanya tahu menghancurkan hutan sahaja. Kenapa kita tidak cuba untuk 'menjual' khazanah hutan, sungai dan air terjun ini kerana ia boleh menjadikan negara kita sebuah ecotourism yang terbesar.

"Sebabnya kita tidak tahu menilai alam semulajadi ini. Apabila semuanya hilang, hancur, barulah kita menyesal.

"Saya sedih melihat keadaan hutan-hutan ini kerana rakyat kita lebih ramai yang tidak peduli. Asalkan mereka ada elektrik, air dan makanan itu sudah cukup.

"Kalau tak ada pokok, maknanya kita tak ada 'filter'. Sebab itulah di Kuala Lumpur suasana selalu berjerebu," jelasnya ketika ditemui pada sesi lawatan media ke Pusat Percutian Tanah Aina Fahad, Ulu Dong, Raub, Rabu lalu.

Turut disertakan paparan video yang dirakam tahun ini mengenai kemusnahan hutan di Malaysia.

Menurut Shariffa Sabrina, suasana kehijauan di Malaysia semakin hilang sepanjang 13 tahun ini berpunca dengan aktiviti pencerobohan hutan.

"Saya pernah pergi ke sebuah hutan yang ada air terjun di Pahang dan di situ ada aktiviti pembalakan. Saya cuba halang mereka, namun siapalah saya.

"Mereka mengunci kawasan tersebut dan seminggu kemudian, saya dapati semua pokok sudah hilang.

"Malah air terjun yang sebelum ini mengalir laju, kini hanya tinggal sedikit sahaja.

"Beberapa negeri berdepan dengan kemusnahan hutan termasuklah Kelantan, Perak malah Sarawak yang paling serius manakala Sabah perlahan-lahan mengalami situasi yang sama.

"Secara keseluruhannya kita hanya ada hutan sebanyak 30 peratus sahaja, selebihnya sudah musnah. Dan johor sebenarnya sudah tidak ada hutan lagi.

"Kemusnahan hutan itu juga turut menjadikan sungai tercemar dan saya boleh katakan sekarang hanya tinggal 20 peratus sahaja sungai Gred A atau A1 (air yang boleh terus diminum).

"Itupun kita perlu masuk ke dalam hutan," ujarnya yang jelas kecewa dengan keadaan hutan negara sekarang.

Tambahnya, aktiviti ini sangat sukar dibendung kerana ia melibatkan ramai orang yang mempunyai agenda tersendiri.

"Pun begitu saya sedikit lega kerana kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula bertindak membawa pihak-pihak terbabit ke muka pengadilan," katanya.
-mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan