AZAMIN AMIN
SALAM diberi beberapa kali, lalu suara halus menyapa antara dengar dan tidak. Pintu kayu sudah terbuka namun jeriji besi itu masih bermangga. Seorang lelaki muncul dengan pergerakan yang sangat perlahan.Di sisinya tongkat, penguat tubuhnya yang tidak terdaya. Dia yang berbaju kuning lusuh dan mengenakan seluar hitam terlanggar sisi meja kaca yang terletak di ruang tamu.
Saya hanya memerhati saat itu dengan penuh tekun dan menahan perasaan yang amat dalam. Menahan dan terus menahan biarpun sayu sudah mula menyapu kalbu.
Kemudian tangannya mengapai-gapai dan jari jemari meraba-raba permukaan meja yang dilanggarnya tadi. Dia mencari, tetapi gagal. Dia berusaha lagi, gagal dan setelah beberapa kali mencuba, akhirnya anak kunci berjaya ditemui.
Detik pilu itu membuatkan mata saya sudah mula berkaca.
Lalu, dia mengadap ke pintu sambil menyuakannya untuk saya membuka sendiri mangga itu. Saya renung-renung dalam-dalam wajahnya dan pilunya, kelopak matanya sudah tidak terbuka.
Pejam rapat, tanpa cahaya.
Takala dia menghulur tangannya yang sedikit membengkak lalu memeluk tubuh saya, saya sudah tidak dapat menahan air mata dari tumpah. Ya, Allah...
Perlahan-lahan dia memujuk lalu menepuk belakang saya sambil berbisik:”Tak pa..tak pa.”
Insan ini, sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Biarlah fakta dan sejarah berkata-kata. Bukan kemampuan saya untuk menyingkap jasa apatah lagi pengorbanannya yang sungguh, tidak terakam.
Di hadapan saya ini, susuk tubuh yang sering menggegarkan negara dengan tulisan penanya setajam pedang. Libasannya, pedih sepanjang zaman.
Asakan pemerintah, ancaman serta ugutan yang mempunyai kuasa sedikit pun tidak menjadi kudis malah semakin lantang penanya melawan. Dan keberaniannya itu, dihadiahkan dengan urusan turun naik mahkamah, dan pernah menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak bermata.
Berundur? Berhenti? Sesekali tidak. Demi memerdekakan minda rakyat dan melaungkan hak, sekali gus mengecam salah guna kuasa dan kepincangan sehingga rakyat tertindas, sentiasa dia jadikan azimat.
Tidak mungkin dilupakan, dialah juga yang ‘mengutip’ saya, lalu membersih dan membasuh tanpa jemu, sehingga saya berupaya mencebis dan menulis ayat penuh makna walaupun tidak menggigit dan sebisa penanya. Ketika itu, 2005 matanya masih terang mengesan bakat saya dan lain-lain pemuda.
Dia gigih, sehingga merimaskan saya dan rakan-rakan waktu itu. Seperti tiada rehat dan tanpa penghujungnya kerja yang dilakukan. Tanpa henti dan tiada istilah cuti. Deringan telefon darinya, sesuatu yang cukup mendebarkan.
Ada sahaja idea yang terlintas dan menimbun tugas yang perlu digalas.
Sedang saya lena di rumah, suatu malam dia menghubungi untuk mengajak ke selatan negara. Tiga hari lagi nak menyambut syawal. Sepatutnya, masingmasing sedang membuat persiapan untuk pulang ke kampung dan berhari raya.
Dan kami, ketika itu, dia, saya dan rakan setugas Wan Nordin, ke ceruk kampung hulu, menjejaki keluarga mangsa akta kejam ISA. Di hatinya, tidak tergamak meninggalkan mangsa tanpa sedikit bantuan sumbangan, sedang orang lain keriangan, mereka dibalut kedukaan lebih-lebih lagi tanpa insan tersayang.
Saya rasa amat marah bila dia mengajak untuk menyantuni mangsa ISA itu. Bukan sebab kerana hampir detik Aidilfitri, bukan sebab mereka miskin, bukan juga sebab mereka tiada nama atau kuasa tetapi kenangan yang ditinggalkan sangat membekas sehingga saat saya menulis ini.
Mana mungkin, saya dapat melupakan si Fathur Rahman Al-Ghazi, berusia 4 tahun, anak mangsa ISA di Kampung Simpang Pertang, Negeri Sembilan memegang bucu seluar kaki saya.
Fathur berkata dengan nada perlahan menyentap perasaan :”Pakcik....jangan lupa, bawa balik ayah ya...”
Marah saya pada dia, kerana dia ‘mengajar’ dengan cara yang cukup menghayat hati erti kemanusiaan dan merasai denyut nadi kepayahan manusia sehingga terbawa-bawa dan menjadikan siapa saya sekarang.
Peristiwa yang satu ini sama juga. Hari itu, dalam keadaan yang tidak sihat dan demam, dia mengajak saya memandu ke satu daerah untuk mendengar ceramah.
Tiba-tiba dia menyuruh saya berhenti serta-merta di tepi kaki jalan. Sebaik pintu di buka, dia lalu muntah-muntah. Bukan sedikit. Patah balik? Oh tidak. Dengan badan yang menggigil dan suara yang sedikit ketar, terus berada bersama lautan manusia mendengar ceramah sehingga tamat.
Membelah malam dan menelusuri jalan kampung, yang sejamnya daripada Kuala Lumpur membuatkan saya tertanya dari mana datang kekuatan semangatnya.
Barangkali semangat mengenang anaknya keduanya, Nurul Syafiqah, yang meninggal dunia pada 1 Ramadan 2005 ketika berusia 11 tahun, masih mencetus bara di dada. Sejak itu, dia terus bangkit berjuang tanpa menoleh dan bergelinang duka yang panjang.
Dia mengajar kami para wartawan, untuk berada di lapangan, tidak mudah menelan cerita di telinga tetapi melihat dengan saksi mata. Selagi hayat, terus menyusun ayat agar yang zalim dicantas rapat.
“Tidurlah dan rehat, setelah nyawa berpisah dengan hayat.”
Kini uzurnya, memamah usia. Dengan tenang dia menceritakan satu persatu masalah kesihatan dan rawatan tanpa ada sedikit raut wajah yang bimbang. Dan masih lagi bertanya khabar rakan-rakan dan hal ehwal tugasan serta perjuangan... ya tuhan.
“ Azamin...saya sudah tidak boleh membaca...apatah lagi menulis...”
Dia kemudian diam dan tidak memandang ke arah saya. Dia pegun di kerusinya mengadap ke hadapan, sedangkan saya sudah pun di pintu untuk pulang.Dia tidak lagi mengiringi saya atau tetamu seperti selalunya.
Kali ini, dia menjawab salam tanpa menoleh, dan sedikit menunduk. Petang itu, hujan gerimis turun tanpa henti, sama lajunya dengan air mata saya yang berdosa dan kami, rakan taulan sentiasa mendoakan buat Ahmad Lutfi Othman Ketua Pengarang Harakah, moga kembali membuka mata.
Bertaubatlah. Mungkin banyak dosa yang dilakukan tanpa sedar. Kadang kala kita rasa kita betul sedangkan Allah yang maha mengetahui.
BalasPadam