Dr Mohammad Agus terkejut dengan pemikiran serta sikap politik anak muda sekarang

Dr Mohammad Agus SHAH ALAM: Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat, pemikiran serta sikap politik anak muda sekarang sudah jauh berubah jika dibandingkan dengan anak muda zamannya.
Agus berkata, pengalamannya ketika di London baru-baru ini bersama anak muda benar-benar mengejutkannya kerana pertanyaan mereka mengenai suasana politik tanah air begitu kritikal dan analitikal.

“Tadi , semasa saya sedang bersarapan di Malaysian Hall, sekumpulan anak Malaysia bertanyakan saya tentang suasana politik negara. Mereka tidak lagi bercakap tentang dasar-dasar kerajaan sepertimana yang saya dan kawan-kawan lakukan dulu, tetapi terus bertanyakan saya soalan-soalan yang mengejutkan: Apakah DSAI akan dipenjarakan?

Apakah faktor nilai ringgit jatuh? Bagaimana dengan 1MDB?.

“Tidak cukup dengan itu, mereka juga bertanyakan tentang kedudukan BN dan PR? Parti mana yang akan menang dalam PRU akan datang? Mengapa bukan Melayu tidak lagi menyokong kerajaan,” katanya dalam Facebook beliau.

Walau bagaimanapun, katanya, beliau hanya memberi respons secara umum sahaja dalam menjawab pertanyaan anak muda tersebut.

“Saya santuni pertanyaan anak-anak ini dengan sekadar memberi pandangan umum sahaja supaya anak-anak ini bebas membuat pentafsiran politik mereka sendiri. Di akhir perbincangan, anak muda ini mengejutkan saya. Kata mereka, kabinet perlu dirombak. Beberapa menteri perlu ditukar.

“Saya tanya mereka siapa yang perlu ditukar? Kata mereka, menteri yang berkaitan dengan urusan perancangan ekonomi dan integriti,” katanya.

Mengulas lanjut, Agus berharap pemimpin negara turut ‘seiring serta sejalan’ dengan pemikiran kritikal anak-anak muda tersebut.

“Selepas mereka beredar, saya terfikir panjang. Hati saya berkata, kritikal pemikiran anak-anak sekarang. Ada logiknya juga pandangan mereka.

“Membandingkan masa saya pada tahun 1985 dahulu, sikap politik anak muda sekarang sudah terlalu jauh berbeza. Anak-anak muda sudah berubah. Apakah pemimpin kita juga sudah berubah?Semoganya,” katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan