Umno tidak lagi musuhi PAS?

Abd Shukur Harun
TIDAK siapa pun terkejut apabila pemimpin nombor dua Umno berkata bahawa PAS kini bukan lagi ancaman kepada mereka seperti dahulu tetapi sebaliknya liberalisme adalah musuh baharu yang perlu dihadapi.

Kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ini boleh ditafsirkan dengan mudah bahawa PAS bukan lagi musuh Umno.

Katanya, Umno kini bukan lagi berdepan PAS dalam membuktikan siapa lebih Islam, tetapi sebaliknya mereka berdepan landskap ideologi politik baharu liberalisme.
Muhyiddin berkata demikian ketika merasmikan pembukaan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Saya kira, ahli PAS tidak mudah terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana PAS sendiri mempunyai pengalamam lama berdepan dengan Umno, sebab itu sangat mengenali mereka.

Oleh itu, saya kira pendukung PAS sentiasa waspada dan tidak terpesona dengan ‘perubahan sikap’ pemimpin Umno itu.

Bagaimanapun, sangat malanglah jika masih ada segelintir ahli PAS yang yakin dengan kata-kata pemimpin Umno ini. Mudahmudahan tidak ada PAS yang bersikap demikian.

Sepanjang pemerhatian saya, sejak puluhan tahun PAS sentiasa mahukan perpaduan atas nama Islam bukan atas nama Melayu, sedangkan Umno mahukan perpaduan Melau, inilah garis pemisah antara kedua-dua parti tersebut.

Adapun pertentangan PAS-Umno selama ini ialah pertentangan ideologi dan semua ini telah diketahui umum sejak puluhan tahun. Teras perjuangan PAS ialah Islam dengan segala kesyumulannya, sementara perjuangan Umno ialah berdasarkan perjuangan kaum. Nama partinya sendiri mencerminkan parti bertunjangkan kaum, walaupun slogannya menyebutkan agama, iaitu berjuang untuk bangsa, agama dan negara.

Dengan itu Umno tidak berubah hingga saat ini, walaupun pemimpinnya seperti Muhyiddin dan Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin menguar-uarkan perubahan di dalam Umno.

Bagaimanakah Umno hendak berubah, justeru ia di kelilingi oleh golongan perkauman yang tidak habis-habisnya meneriakkan isu perkauman.

Untuk ini saya memetik ulasan Pengarah Jeffrey Cheah Institute, Profesor James Chin dalam sebuah portal berita baru-baru ini yang menyatakan bahawa dalam Umno yang tinggal hanya ekstremis.

Umno, katanya, akan mengikut garis (perjuangan) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu ekstrem. Menurutnya lagi, ahli Umno berfikir tiada alasan bagi mereka mahu meraih sokongan bukan Melayu kerana bukan Melayu tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN).

Seperti yang selalu ditekankan oleh pemimpin PAS selama ini bahawa Umno memisahkan agama dan politik, suatu amalan sekular. Maka tentu aneh pula apabila Muhyiddin kini berucap memberikan gambaran bahawa Umno sebuah parti agama.

Beliau berkata, sebagai pendukung perjuangan suci ini iaitu pejuang Umno bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anakanak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga.

Bagaimanakah Umno hendak mengamalkan konsep wasatiyyah, jika partinya bergelumang dengan pemikiran perkauman, tidak dilihat sederhana dan seimbang, dicengkam masalah rasuah, pembaziran dan sebagainya. Sebab itu berlegar pertanyaan sejak bila Umno mengamalkan sikap sederhana dan tidak perkauman?

Wasatiyyah bermakna pertengahan, sederhana, seimbang, bersifat adil dan melindungi. Adakah sifat ini ada di dalam Umno? Maka itu, pada pendapat saya, kata-kata ini hanya retorik untuk sedap didengar. Sebab itu, pendukung PAS tentunya tidak terpesona dengan apa yang dikatakan oleh pemimpin Umno itu.

Di sini saya terkesan dengan pemikiran Presiden Wadah, Dr Siddiq Fadhil menerusi bukunya ‘Islam dan Melayu’ yang melihat dan menilai Melayu dari perspektif Islam.

Beliau melihat daya maju sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh faktor budaya yang teguh dan kepimpinan yang tangguh. Untuk memacu daya maju bangsa Melayu, budayanya harus diperkasa dengan nilainilai kudus kewahyuan dari al- Qur’n dan al-Sunnah, katanya.

“Dengan demikian bangsa ini akan menjadi umat yang berjaya menepati kata al-falah, kejayaan hakiki duniawi-ukhrawi. Laungan azan hayya `ala ‘l-falah (mari bersama meraih kejayaan) yang berkumandang setiap hari bekalikali itu seharusnya diangkat menjadi salah satu nilai utama pembentuk ‘winning mind-set’ dan seterusnya pembina orientasi kejayaan (success orientation) yang kuat di kalangan umat,” katanya.

Yang kita aspirasikan, kata Dr Siddiq, ialah bangsa berjaya yang benar-benar berjaya, bukan bangsa yang berlagak sebagai bangsa yang berjaya dengan berbelanja besar membeli barang-barang perhiasan mewah bangsa yang telah berjaya, ‘buying the ornaments of success’.

Menurutnya Melayu perlu dibangun dengan nilai-nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit.

Melayu ideal adalah Melayu yang Islami, bukan Melayu yang rasis, katanya.

Melayu yang Islami, menurut intelektual ternama ini, adalah Melayu yang berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih kemanusiaan, setia menjunjung nilai ukhuwwah, persaudaraan dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan agama, ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanah air) dan ukhuwwah insaniyah (persaudaraan kemanusiaan).

“Untuk merealisasikan gagasan Melayu yang menepati ciri ‘khayra ummah’, kita memerlukan pemimpin yang membina bangsa, bukan ‘pemimpin’ yang membesar diri dan memperkaya kroni.

Bangsa Melayu perlu bijak memilih pemimpinnya yang mampu melaksanakan misi pemberdayaan bangsa, pemimpin-pendidik-teladan yang menghayati nilai murni yang diperjuangkannya,” katanya.

Dengan kata lain, tambahnya, kita memerlukan mekanisme pengangkatan pemimpin yang dapat menjamin terangkatnya orang yang terbaik dalam pengertian pemimpin yang berkualiti integriti moral, kekuatan daya fikir, stamina kerja kuat, menyintai ilmu dan menyayangi rakyat, menepati konsep al-Imam al-`adil iaitu pemimpin adil.

Persoalan adil dan sederhana ini hendaknya biarlah rakyat yang menentukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan