Dinsman
BANYAK yang kita boleh perhatikan perangai dan tingkah laku manusia, dan banyak yang kita boleh pelajari darinya, sewaktu berlakunya krisis dan kemelut perebutan dan permainan kuasa untuk menjadi Menteri Besar Selangor, yang masih belum berakhir hingga ke hari ini.
Sultan sudahpun bertitah pada 26 Ogos, mahu setiap parti dalam Pakatan Rakyat hantar dua nama sebagai calon masing-masing untuk memudahkan dia membuat pilihan siapa yang paling layak. Tak tahulah selepas ini bagaimanakah pula selanjutnya perkembangan kemelut tersebut.
Yang pastinya, seperti saya kata di atas, banyak perkara menarik mengenai perangai dan tingkah laku manusia boleh kita perhatikan dan ambil pelajaran. Yang selama ini tersembunyi pun kini jadi terserlah dan terdedah. Yang selama ini kabur dan kelabu pun kini jadi jelas dan terang.
Dari sudut itu, ada kebaikan jugalah krisis dan kemelut tersebut.
Orang yang selama ini kita anggap kita sudah kenal dia rupa-rupanya tidak demikian. Rupa-rupanya dia tidaklah seperti yang kita anggap kita kenal itu. Rupa-rupanya watak dan peribadi dia berbeza sama sekali. Tak disangka-sangka pula.
Demikianlah, bukan sahaja di kalangan tokoh-tokoh pemimpin yang terlibat dalam kemelut itu, tetapi di kalangan yang bukan pemimpin juga, khasnya penyokongpenyokong pihak-pihak yang terlibat itu.
Dan entah macam mana PAS pula yang menjadi sasaran kepada agak ramai juga orang. Dituduh nak mengkhianati kawanlah, dituduh berfikiran mundur dan ketinggalan zamanlah, dituduh sanggup membelakangi nilai-nilai mulia agama kerana inginkan nikmat kuasalah, dan macam-macam.
Dalam PAS pun tak terkecuali juga apa yang saya sebut di atas itu.
Ada perangai-perangai dan sikapsikap yang tak elok pun sudah jadi terdedah, itu memang ada. Alhamdulillah, dapatlah kita cepat mengenali wajah dan hati mereka yang sebenar. Bolehlah kita perbaiki keadaan.
Tetapi selain itu saya melihat PAS tiba-tiba macam menjadi kambing hitam tempat orang mencampakkan kesalahan. Dan orang seperti terlupa bagaimana boleh terjadinya krisis dan kemelut itu. Apakah ia suatu proses biasa dari dinamika politik baru yang tak dapat dielakkan, ataupun ia sesuatu yang terjadi secara sengaja hasil suatu perancangan pihak tertentu yang kemudiannya tidak dapat mengawal keadaan seperti yang sepatutnya?
Yang jelasnya PAS tidak terlibat pun di peringkat awalnya. Ia adalah masalah dalaman pihak Parti Keadilan Rakyat. Mereka mencipta apa yang mereka namakan “Langkah KajangĂ® itu untuk mengatasi masalah tersebut. Mereka libatkan rakyat pengundi di kawasan Kajang dan beberapa pihak lagi, yang mahu tak mahu terpaksa terlibat apabila Adun Kajang yang dulu itu meletak jawatan dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.
Maka PAS pun mula terlibat, tak dapat tidak, kerana menjadi rakan kongsi dalam suatu pakatan politik.
Hingga ke suatu peringkat ia seperti dipaksa supaya menyokong, dan tidak diberi pilihan, malah tidak diberi ruang untuk pertimbangan apakah ia selaras dengan prinsip dan batas-batas perjuangan parti ataupun tidak.
Keadaan itu meletakkan PAS dalam suatu dilema yang memang rumit untuk mereka membuat pilihan.
Ia suatu cabaran dan ujian buat para pemimpinnya, terutama di peringkat atas. Ada yang berjaya melepasi ujian itu dan ada yang tidak berjaya. Wujud suatu kemelut tersendiri pula di kalangan pimpinan PAS, dan sempat jugalah terserlah beberapa wajah yang hodoh dan tidak menyenangkan.
Selain itu, baik di kalangan pimpinan politik mahupun di kalangan orang awam saya perhatikan satu perkara. Dalam keghairahan untuk menyatakan pendapat atau sokongan atau bantahan atau perasaan terhadap kemelut tersebut, bukan sahaja PAS dijadikan tempat longgokan kesalahan tetapi yang lebih parah daripada itu ialah menghina agama pun sudah menjadi suatu sikap yang dianggap rasional, wajar dan munasabah.
Menyalahkan orang agama bukanlah suatu kesalahan atau taboo.
Islam tidak melarangnya. Saya pun beberapa kali mengkritik para mufti dan pendakwah kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi menghina para agamawan secara umum (ekoran daripada kemelut MB itu) hingga kehinaan itu pun terkena juga kepada agama itu sendiri, dan itu dianggap wajar, itu adalah sesuatu yang berbeza.
Sama ada perkara ini disedari oleh orang ramai atau tidak, saya tak pasti. Namun saya menyedarinya dengan sangat jelas, terutamanya dalam media sosial dan internet. Ia sangat berleluasa. Cabarannya hadir serentak dengan cabaran dari golongan yang cuba membawa nilai baru melalui aksi bogel beramai-ramai di tempat terbuka (Pulau Pinang) dan beraksi separa bogel di khalayak umum (di Ipoh) itu.
Apa yang ingin saya katakan ialah – PAS perlu berhati-hati.
Eloklah perbanyakkan dialog dalaman secara tertutup di kalangan ahli dan juga penyokong. Dan elakkanlah para ahli daripada membuat kenyataan-kenyataan umum yang bercanggah.
Dan apabila timbul sesuatu isu yang boleh mengelirukan fahaman orang ramai, pihak pimpinan PAS hendaklah berani dan rajin membuat penjelasannya secara jelas dan terang. Jangan biarkan orang ramai tertanya-tanya dan tidak faham dengan apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Saya teringat sewaktu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dahulu, terjadi beberapa kali perkara yang agak mengelirukan orang ramai atau yang orang ramai kurang faham dengan tindakannya. Beliau secara tegas dan berani menjelaskannya melalui siri ceramahnya, sehinggalah para ahli peringkat akar umbi dan juga penyokong-penyokong PAS mendapat kefahaman yang jelas.
Hal seperti itu nampaknya seperti diabaikan atau tidak begitu diberi perhatian sekarang. Akibatnya itulah – seperti apa yang telah saya nyatakan di atas tadi. Telah timbul semacam penghinaan ke atas agama Islam, dan itu dianggap sebagai perkara yang wajar.
Itulah sebahagian implikasi daripada apa yang dikatakan kemelut MB Selangor itu. Atau apakah itu juga sebahagian implikasi daripada apa yang dikatakan Langkah Kajang itu? Jangan kita mengambil mudah implikasi tersebut. Bahayanya mungkin belum terserlah sekarang.