Berakhirkah sudah legasi Tok Guru Nik Aziz?

Dinsman
Betul, dulu saya menyanjung Tok Guru Nik Aziz dan sekarang pun saya masih menyanjungnya, kerana Nik Aziz yang dulu dengan Nik Aziz sekarang adalah orang yang sama; hanya bezanya sekarang dia semakin uzur dan peranannya dalam politik PAS jauh berkurangan dan tidak seefektif dulu.
Itulah jawapan kepada salah seorang pembaca yang bertanya, sebagai respons kepada tulisan saya yang mengkritik ulama dalam PAS, awal Disember 2014. Soalannya – kenapa dulu saya begitu menyanjung Tok Guru Nik Aziz tetapi sekarang mengkritik ulama?

Saya tidak mengkritik ulamanya Nik Aziz, tetapi saya mengkritik segelintir ulama lain yang menduduki beberapa jawatan penting dalam pimpinan atasan PAS dan mempengaruhi perjalanan parti itu, bukan sahaja sebagai natijah keberkesanan kepemimpinannya (seperti yang berlaku pada kepemimpinan Nik Aziz), tetapi juga melalui kempen yang digerakkan dengan sedar bagi menyingkirkan pihak yang dianggap mengancam kedudukan mereka di dalam parti.
Itulah yang saya maksudkan apabila saya kata mereka itu “kehilangan keyakinan diri”. Orang yang mempunyai keyakinan diri yang teguh seperti Nik Aziz dan juga Almarhum Ustaz Fadzil Noor misalnya tidak pernah berasa kedudukan mereka terancam dan tidak pernah berasa perlu menggerakkan kempen bagi menyingkirkan pihak yang dianggap mengancam dan menyaingi kedudukan mereka.
Bahkan mereka menerima dan meraikan kehadiran golongan profesional dan intelektual tersebut (yang dianggap memberi ancaman dan saingan itu) yang mahu berjuang bersama bagi mencapai matlamat parti.

Satu hal yang sangat jelas menjadi asas kepemimpinan Nik Aziz (dan juga Fadzil Noor) ialah penekanan dan fokus yang diberikan kepada dakwah Islamiyah sentiasa berada di atas daripada segala kepentingan dan pertimbangan lain, termasuk kepentingan politik parti.

Perhatikanlah isi ceramah Nik Aziz misalnya, walau di manapun dan dalam situasi apapun dia berucap, termasuk dalam kempen pilihanraya sekalipun, dia sentiasa bercakap mengenai ajaran Islam begitu dan begini dan sentiasa berusaha memberi penerangan dan penjelasan dari pelbagai sudut, menggunakan bahasa dan perbandingan yang paling mudah difahami orang ramai. Mengenai ajaran Islam. Bukan mengenai kebaikan parti PAS.

Dan dia sentiasa menegaskan kerja dakwah yang dilakukan, bersama alim ulama lain termasuk guru-guru pondok adalah sebagai kesinambungan daripada kerja yang dilakukan oleh para ulama dahulu, sejak zaman berzaman, yang dimulai oleh para Rasul. Begitu dia menjelaskan kedudukan para ulama, tanpa ada kecenderungan berpolitik (atau kelihatannya seperti tidak ada kecenderungan berpolitik).

Saya sendiri beberapa kali mendengar Nik Aziz menasihati para pimpinan PAS supaya kurangkan bercakap mengenai PAS dan lebihkan bercakap mengenai Islam kerana tujuan dan matlamat perjuangan PAS ialah Islam. Bahkan beliau juga pernah berkata sekiranya Umno mengubah dasar perjuangannya daripada nasionalisme kepada Islam, PAS akan membubarkan partinya kerana tidak diperlukan lagi, kerana Umno sudah berjuang untuk Islam.

Begitu sekali Nik Aziz menjunjung Islam itu di atas dari segala-galanya, dan menganggap segala gerak kerjanya sebagai ibadat kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan, dan sentiasa mengingatkan orang ramai terhadap kehidupan akhirat – hingga kelihatan seperti dia tidak ada masa memikirkan soal kepentingan diri atau kepentingan untuk mempertahankan kedudukan dirinya di dalam parti.

Sebab itu apabila pihak lawan menuduh PAS memperalatkan Islam untuk mencapai kepentingan politik, tuduhan itu dilihat awam sebagai tidak mempunyai kewajarannya.

Berbeza dengan sekarang. Bukannya orang lain, orang dalam parti sendiripun sudah mula membuat tuduhan yang seperti itu – “mereka itu memperalatkan agama untuk kepentingan diri.” Orang sesama parti yang mengata. Kalau orang sesama parti pun sudah berkata begitu, bagaimanakah pula kita akan berhujah mempertahankan parti sekiranya pihak lawan menuduh demikian kepada kita?

Itulah yang membezakan ulama dulu dengan sekarang. Ulama dulu kurang berpolitik tetapi lebih berdakwah dan bercakap mengenai Islam, bukan mengenai parti. Ulama sekarang terlalu banyak berpolitik dan menjaga kepentingan diri dan puak.

Dan itulah yang membezakan Nik Aziz dengan segelintir individu yang menganggap diri mereka sebagai ulama sekarang, yang menduduki beberapa jawatan penting dalam PAS, termasuk dalam Majlis Syura Ulama – badan tertinggi dalam parti.

Apabila mereka mula berkempen untuk mempertahankan diri atau menjaminkan jawatan tertentu dalam parti untuk mereka dan menyingkirkan golongan profesional dan intelektual yang dianggap menyaingi mereka, saya melihat itu sebagai tanda mereka sudah kehilangan keyakinan diri.

Apatah lagi apabila kempen itu sudah menjadi ala-ala kempen di dalam Umno, akhlak mereka yang terlibat itupun sudah larilah daripada akhlak yang dianjurkan Islam. Di situ imej Islam sudah tercalar.

Selain itu banyaklah lagi tindakan dan gerak kerja mereka yang suka menonjolkan diri sebagai ulama di dalam PAS itu yang menyimpang daripada ‘jalan’ yang dilalui Nik Aziz. Bukan saya mengatakan jalan yang dilalui Nik Aziz itu sahaja satu-satunya jalan yang diiktiraf Islam.

Saya hanya mengatakan Nik Aziz menunjukkan satu jalan Islam yang diterima oleh orang ramai yang pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai agama di negara ini. Suatu pencapaian yang cukup besar bagi parti PAS dan juga bagi Islam kerana bukannya mudah untuk orang ramai yang bukan Islam pada hari ini hendak menerima pimpinan Islam.

Kempen dan dakyah Amerika-Zionis melalui pelbagai media yang nyata dan tak-nyata hari ini mempengaruhi bukan sahaja orang bukan Islam tetapi juga sebahagian orang Islam yang lemah imannya, memandang Islam itu hanya agama untuk ibadat peribadi sahaja, manakala untuk urusan kehidupan mereka lebih percayakan sistem-sistem sekular.

Maka amatlah menghairankan saya kenapakah khazanah pencapaian Nik Aziz yang sangat berharga untuk PAS dan juga untuk Islam tidak dipelihara dan dipertahankan oleh para ulama di dalam PAS hari ini. Malah mereka yang diamanahkan untuk mentadbir negeri Kelantan setelah Nik Aziz melepaskan jawatan menteri besar pun nampaknya tidak begitu bersungguh meneruskan ‘jalan’ yang dilalui dan dibuktikan keberkesanannya oleh Nik Aziz itu.

Bukanlah mereka mengabaikannya langsung. Banyak juga yang mereka hargai dan mereka teruskan. Tetapi banyak pula kecacatan dan kelemahan dalam mereka meneruskan itu. Apakah kerana kurang memahami/menghayatinya atau kerana mencuba membuat pembaikan atau membuat penyesuaian dengan keperluan baru – saya tak tahulah.

Yang jelasnya nampak seperti mereka kurang menghargai dan menghayatinya. Walaupun ada ditubuhkan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) misalnya, tetapi apakah fungsi dan peranan yang dimainkan oleh institut itupun setakat ini tidak jelas.

Misalnya dalam pergolakan yang berlaku di kalangan ulama di dalam PAS mutakhir ini, saya fikir barangkali IPTG boleh melakukan sesuatu, samada reaksi secara langsung ataupun tidak langsung. Tetapi nyatanya tidak.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan