WAN NORDIN WAN YAACOB
UMUM sebenarnya masih kabur lagi dengan isuisu yang membelenggu pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan menjelang April ini.GST adalah satu bentuk cukai yang dikenakan ke atas setiap barang dan perkhidmatan yang dibeli.
Dalam Belanjawan 2014, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan melaksanakan GST pada kadar antara 4 hingga 6 peratus bermula 2015.Ia juga telah dibentang di Parlimen dan diluluskan di Dewan Rakyat bagi dilaksanakan April ini.
Hari demi hari, selepas GST hangat dibicarakan rakyat yang secara besarnya menolak rejim baharu percukaian ini, kerajaan pula menggunakan pelbagai medium untuk memperbodohkan rakyat kononnya GST baik kepada ekonomi negara dan rakyat.
Tindakan kerajaan memutar belitkan fakta berhubung GST melalui pelbagai medium termasuk di papan iklan dan pengangkutan awam, melalui iklan di televisyen serta lakonan beberapa figur artis negara nampaknya seakan membayangkan keterdesakan kerajaan untuk mempromosi cukai zalim ini.
Kerajaan barangkali tertekan dengan kempen membantah GST yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat di mana ia salah satu kaedah bagi memastikan rakyat tidak dikelirukan mengenai cukai itu.
Bagi Pakatan Rakyat, kempen menerangkan semula bahana GST harus dijalankan kerana masih ramai orang yang belum faham bagaimana GST akan menaikkan kos beban hidup mereka.
Paling asas adalah bagaimana kerajaan menetapkan enam peratus cukai bagi peringkat permulaan pelaksanaan GST ini.
Angka ini disifatkan pelbagai pihak sebagai suatu angka permulaan yang sangat tidak sihat kepada ekonomi rakyat, walaupun ianya baik kepada kerajaan memerintah dari segi pungutan cukai dan menambah pendapatan negara.
Adapun di Singapura, negara yang berjiran dengan Malaysia telah melaksanakannya dengan permulaan hanya tiga peratus, dalam masa yang sama rakyatnya rata-rata bergaji tinggi.
Benar pelaksanaan GST adalah baik sekiranya ia benar- benar dilaksanakan atas dasar mahu menyeragamkan semua cukai pembelian barangan dan perkhidmatan.
Cukai sebaik GST dilaksanakan di negara-negara maju seperti UK dan Amerika Syarikat, namun ianya juga tetap memberi kesan (walaupun sedikit) kepada masyarakat miskin.
GST di negara maju
Begitu pun rakyat di negara maju dapat menikmati perkhidmatan yang disediakan kerajaan dengan baik, sistem jalan raya yang baik, pengangkutan awam yang efisyen dan ilkim ekonomi yang baik untuk peningkatan taraf hidup selain gaji yang tinggi.
Ia tidak berlaku di Malaysia, jurang pendapatan antara kaya dan miskin terlalu jauh, malah jurang pendapatan antara kaum juga amat memilukan di mana kaum Melayu yang menjadi tunjang majoriti masih lagi menjadi kaum yang paling ramai jumlah miskin tegar.
Sukar untuk mengukur sejauh mana pelaksanaan GST ini boleh memberi kebaikan kepada rakyat pada asasnya kerana harus juga difikirkan soal ketirisan yang telah lama berlaku dalam pengurusan dan pentadbiran negara.
Ketirisan dan penyelewengan yang berulang sejak sekian lama menyebabkan negara kini berhutang hingga lebih 500 bilion, dan kemudiannya dilaporkan juga pada setiap Laporan Ketua Audit Negara tentang kelemahan pengurusan kerajaan.
Maka gambaran awal pelaksanaan GST merupakan suatu ‘mimpi ngeri’ kepada rakyat khasnya kepada golongan berpendapatan rendah yang hidup di kota-kota besar, sementara kini mereka juga tertekan dengan peningkatan kos hidup akibat kenaikan harga barangan, tarif elektrik dan perkhidmatan.
Ia belum lagi dilihat dalam aspek hutang isi rumah yang kini mencecah antara 70 hingga 80 peratus daripada pendapatan bulanan isi rumah.
Suatu yang sangat membebankan.GST bukan satu perkara baru sebenarnya, andai diperhatikan sebaiknya pelaksanaannya telah berjalan namun dalam kaedah yang sedikit mengelirukan.
Ia digelar sebagai cukai jualan dan cukai perkhidmatan, yang boleh dilihat melalui pembelian di kedai-kedai makanan segera seperti KFC, McDonalds, Kenny Rogers, Nandos, Starbucks dan sebagainya.
Benar pada asasnya GST adalah untuk menyusun semula semua cukai yang tidak seragam, namun amalan yang sentiasa berjalan di negara ini apabila sesuatu dasar hendak dilaksanakan, pastinya kerajaan mengambil perkiraan kos itu akan dikembalikan kepada rakyat untuk menanggungnya.
Apabila GST dilaksanakan nanti pastinya semua pihak akan terpaksa membayar untuk membeli barangan yang bakal dikenakan GST. Walaupun kerajaan memberi jaminan dalam kempen-kempennya bahawa barangan keperluan harian, makanan, pengangkutan awam tidak akan dikenakan GST, namun sejauh mana jaminan ini boleh diterima pakai.
Lihat sahaja janji Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) oleh BN kononnya tidak akan menaikkan harga minyak, tidak akan menarik subsidi, namun selepas empat bulan PRU13 berlalu (September 2013) kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak pada kadar 20 sen.
Kemudian, dalam pembentangan Belanjawan 2014, subsidi gula pula ditarik kembali atas alasan kononnya untuk memastikan rakyat tidak kena dibetik (kencing manis), suatu alasan yang sangat melucukan.
Tekan rakyat, kayakan kroni
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakaria Abdul Rashid ada menyebut bahawa pihaknya tidak menolak dengan inflasi yang meningkat secara konsisten sejak beberapa bulan lalu, pengenalan GST akan menekan rakyat.
Menurutnya Indeks harga pengguna (CPI) ketika ini pada kadar 1.9 peratus dan dapat dilihat sejak beberapa bulan ia naik secara konsisten.
Tidak dapat dinafikan melalui pengamatan MIER andai peningkatan ini berterusan sehinggalah pengenalan GST pada tahun 2015 nanti, ia mungkin menambah tekanan kepada orang ramai.
Indeks CPI bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada 106.5 dibandingkan dengan 104.7 pada tempoh yang sama tahun 2012 (setahun sebelum pilihan raya umum).
Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2012, CPI Ogos 2013 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.9 peratus daripada 105.0 kepada 107.0 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, CPI merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus.
Meskipun kerajaan menyatakan bahawa akan dilaksanakan pemantauan dalam pelaksanaan GST di bawah Jawatankuasa Pemantauan GST, namun ramai meragui akan kemampuan Putrajaya untuk menunaikan janji-janji tersebut berdasarkan kegagalan dalam pelaksanaannya sebelum ini.
Seperti kata bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakob bahawa sukar dipastikan sama ada jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut mempunyai kemampuan untuk menguatkuasa GST ke atas peniaga, pengeluar serta menangani inflasi.
Sejak dahulu lagi tren penguatkuasaan di Malaysia adalah lemah, dan terbukti terdapat kebocoran, rasuah dan penyelewengan di kalangan agensi penguatkuasaan.
Terbaharu, sebelum pelaksanaan GST, kerajaan juga dikatakan sudah mula mengutip keuntungan bermotif ‘serampang dua mata’ dalam menjual perisian MyGST yang sedang dibangunkan kerajaan kepada para peniaga.
Sementara Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli sendiri mendedahkan bahawa kerajaan mensasarkan penjualan perisian MyGST kepada 300,000 peniaga dan mungkin ia akan diwajibkan pada akan datang.
Pendedahan itu selari dengan kenyataan Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Seri Khazali Ahmad baru-baru ini yang mengumumkan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM100 juta untuk membangunkan satu sistem perisian perakaunan khusus untuk melaksanakan GST.
Perisian perakaunan yang dikenali sebagai MyGST itu kemudiannya akan dijual kepada peniaga-peniaga menjelang Mac 2015.
Apa yang pastinya, rakyat akan dibebankan pula selepas ini dengan kos perbelanjaan yang besar untuk membangunkan perisian perakaunan tersebut pada pelaksanaan GST tahun 2015 nanti.
Sedangkan kerajaan hanya perlu menambah modul ke dalam perisian perakaunan sedia ada tanpa perlu membangunkan perisian baharu yang jauh lebih tinggi kosnya.
Bak kata Rafizi lagi, perbelanjaan sehingga RM100 juta untuk sebahagian daripada pelaksanaan GST adalah satu belanja yang besar dalam keadaan BN mahu mencukai rakyat untuk menampung defisit negara.
Malah pastinya peruntukan RM100 juta bagi tujuan menjalankan kempen dan latihan GST itu menjadi ‘lubuk’ kepada syarikat kroni BN untuk mengaut keuntungan lumayan.
Apa sahaja alasan kerajaan mengenai GST, kebaikan atau keburukan pastinya rakyatlah pihak yang akan menghadapinya sementara pemimpin negara akan terus berteori dengan rakyat bagi menyatakan alasan andai suatu hari nanti pelaksanaannya benar-benar memudharatkan rakyat terbanyak.
Usahlah digunakan sewenangnya pelakon atau pelawak negara untuk berkempen bagi memastikan rakyat akur dengan pelaksanaan GST, sedangkan hakikatnya pelaksanaannya nanti akan tetap membebankan rakyat.
Rakyat bukan lagi mudah untuk diperbodohkan begitu sahaja, kesan berantai yang bakal dihadapi rakyat pastinya akan membuatkan rakyat akan terus membenci kerajaan yang menerajui negara hari ini..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan