Jangan Risau, Anwar Tak Mungkin Melarikan Diri!!

Shahbudin Husin
Menjelang tarikh penghakiman kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim pada 10 Februari depan, sudah mulai kedengaran cakap-cakap mengenai kemungkinan beliau turut melarikan diri ke luar negara sebagaimana yang dilakukan oleh Sirul Azhar Umar, pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang tiba-tiba menghilangkan diri ke Australia.

Mereka yang berandaian demikian yakin bahawa Anwar akan didapati bersalah pada 10 Februari nanti dan satu-satunya cara untuk mengelak daripada dipenjarakan ialah dengan melarikan diri ke luar negara.

Kata mereka yang arif lagi bijaksana itu, dalam usianya sekarang, Anwar tidak sanggup menghuni penjara sekali lagi dan melarikan diri ke luar negara adalah pilihan terbaik baginya.

Lagi pula, tambah mereka, banyak negara sedia menerima dan memberi perlindungan politik kepadanya.

Di luar negara nanti, kata mereka, Anwar secara perlahan-lahan akan memohon perlindungan politik serta terus melakukan serangan politiknya daripada jauh.

Sehubungan itu, sebagai langkah awal mengelakkan ianya berlaku, adalah dijangka beberapa NGO pro UMNO akan tampil bersuara dalam beberapa hari ini untuk mendesak polis dan Imigresen melakukan pemantauan yang lebih ketat terhadap Anwar.

Desakan yang sama juga dijangka akan dilakukah keatas Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi agar melakukan sesuatu yang lebih proaktif bagi memastikan Anwar tidak meninggalkan negara sebelum 10 Februari dan seterusnya berada di mahkamah pada tarikh tersebut.

Soalnya, benarkah Anwar akan melarikan diri sebagaimana Sirul?

Mengikuti perjalanan politik Anwar sejak zaman mahasiswa sehinggalah sekarang, beliau bukanlah seorang yang penakut. Selain pernah dipenjara kerana ISA ketika berusia awal dua puluhan, Anwar juga dipenjarakan sekali lagi sebaik dipecat daripada kerajaan pada 1998.

Beliau juga pernah diaibkan dengan pelbagai dakwaan yang kemudian tidak dapat disahkan, menjalani proses mahkamah yang panjang lagi memalukan, tetapi semangat "lawan tetap lawan" kekal menjadi pegangannya sehingga ke hari ini.

Jika ingin melarikan diri dan meninggalkan perjuangannya, Anwar sebenarnya lebih berpeluang melakukannya sebelum ini lagi tetapi tidak tercuit sedikit pun untuk melakukannya kerana ia bukanlah darah sejatinya sebagai pemimpin dan ahli politik.

Anwar bukan saja mempamerkan jiwa berani dan cekalnya selama ini, bahkan dalam ucapannya juga kerapkali mengingatkan bahawa menjadi pemimpin mestilah disertai dengan keberanian.

Lebih dari itu, dalam kes liwat ini pula, selain dibarisi peguam-peguam yang handal, Anwar juga tidak pernah luntur dengan keyakinah bahawa beliau akan dibebaskan pada 10 Februari nanti.

Dengan keyakinan tersebut, tentulah tidak mungkin beliau melarikan diri semata-mata untuk mengelak daripada hukuman penjara terhadapnya. Kebimbangan bahawa Anwar akan melarikan diri sebenarnya hanyalah igauan semata-mata jika dilihat berdasarkan sejarah panjang perjuangannya selama ini.

Anwar akan terus melawan, sama ada dibebas atau dipenjarakan. Jika dibebaskan, beliau akan melawan sebagai pemimpin yang bebas dan merdeka dan jika dipenjarakan pula, beliau tetap ada cara meneruskan perjuangannya dari celah-celah tiang besi yang memenjarakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan