Ahmad (kanan) dan Muhammad mahu lakukan yang terbaik dalam SPM untuk membalas jasa ayah mereka.
PUCHONG: Walaupun pergerakan mereka terbatas kerana ditakdirkan untuk meneruskan kehidupan dengan hanya satu kaki, kekurangan itu tidak mematahkan semangat pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad Rosli untuk menimba ilmu seperti remaja seusia.
Begitu pantas masa berlalu, tanpa disedari dua beradik yang suatu ketika dahulu menggemparkan negara dan dunia ini bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, Subang Jaya dalam aliran Sains Tulen ini juga teruja untuk memulakan sesi persekolahan 2015, sama seperti ratusan ribu pelajar di seluruh negara.
Mereka kembali ke rutin biasa iaitu dikejutkan dari tidur seawal pukul 6 pagi, kemudian mandi, bersiap-siap memakai pakaian sekolah dan bersarapan pagi.
"Macam biasa ayah akan kejutkan along (Ahmad) dan angah (Muhammad). Kami tiada masalah untuk bangun tidur sebab sudah biasa bangun awal sejak arwah ibu masih ada lagi.
"Hari ini (Isnin) adalah hari pertama kami ke sekolah, jadi kami berkobar-kobar mahu pergi ke sekolah kerana mahu jumpa kawan-kawan," katanya ketika ditemui mStar Online di kediaman mereka di Kampung Tengah di sini.
Pasangan ini menjadi tumpuan seluruh dunia kerana dilahirkan bercantum pada bahagian dada dan punggung pada 1998, sebelum menjalani pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi pada September 2002.
Pembedahan pemisahan yang memakan masa selama 22 jam 45 minit itu dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz yang melibatkan kos RM1.7 juta.
Proses pembedahan itu turut disiarkan secara langsung melalui skrin besar di hospital dan disaksikan masyarakat dunia melalui laman web khas.
Meskipun pergerakan mereka agak terhad, Ahmad dan Muhammad tidak pernah malu untuk ke sekolah yang majoritinya terdiri daripada remaja normal.
Malah mereka kini dilihat lebih matang dan mampu berdikari hasil asuhan arwah ibu mereka, Asiah Kanda. Bagaimanapun, ditakdirkan Asiah meninggal dunia akibat kanser payu dara pada November 2011.
"Sejak dari awal lagi ibu mendisiplinkan kami supaya berdikari kerana tiada siapa yang akan bantu melainkan dengan usaha kami sendiri.
"Sekarang kami boleh buat kerja rumah seperti lipat kain, basuh pinggan mangkuk dan jaga adik-beradik yang lain," kata Muhammad.
Menurut Ahmad, sebaik sampai di sekolah, ayah mereka, Rosli Abdul Rahim, 44, akan mendukung kedua-duanya untuk naik ke bilik darjah yang terletak di tingkat satu.
"Setiap hari ayah akan mendukung kami sampai ke kelas. Mujurlah kelas kami di tingkat satu jadi ayah taklah penat sangat," katanya.
Tambah Ahmad, mereka cukup bertuah kerana memiliki ramai kawan di sekolah yang ringan tulang membantu pergerakan mereka ke makmal.
"Kawan-kawan akan bantu bawa ke makmal. Mereka juga tidak pernah ejek sebab semuanya memahami keadaan kami. Ada juga yang bantu beli makanan di kantin pada waktu rehat," katanya.
Malah, Muhammad berkata, mereka lebih selesa bergerak dengan sebelah kaki daripada menggunakan kaki palsu yang didermakan Putera Abdullah pada 2007.
"Kami pakai kaki palsu itu selama tiga tahun sahaja. Kami tidak gunakannya lagi ketika di darjah 6 sebab dah tak muat," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kaki palsu tersebut, Muhammad yang terkenal dengan sikap peramahnya berkata, proses pemakaian kaki itu rumit dan mengambil masa sebelum dapat digunakan.
"Nak pakai kaki palsu itu pun ambil masa, kalau nak kena tukar pampers kena buka semula kaki tersebut, sebab itu kami lebih suka berjalan macam sekarang (tanpa kaki palsu). Kami boleh bergerak dengan bebas ke mana sahaja," katanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPM, Ahmad yang gemar bermain komputer berkata, mereka tidak meletakkan sasaran tertentu tetapi akan cuba melakukan yang terbaik.
"Kami tak nak letak sasaran, nanti apa yang kami nak tak dapat takut kecewa pula. Tapi kami akan lakukan yang terbaik ikut kemampuan," katanya.
Bagaimanapun, Muhammad yang meminati subjek matematik berkata, kesungguhan ayah mendidik mereka selepas pemergian arwah ibu membuatkan mereka menanam azam untuk menghadiahkan keputusan cemerlang sebagai membalas jasanya.
Rosli dan Asiah ketika menemani Ahmad (kanan) dan Muhammad di Bilik Khas Unit Rawatan Kanak-Kanak Hospital King Fahad Nastional Guard, Riyadh pada Oktober 2002.
"Kami mahu balas jasa ayah yang banyak bersusah payah selama ini. Malah kami tetap ingat pesan arwah ibu supaya berdikari dan jaga adik-beradik lain," katanya.
Ahmad dan Muhammad mempunyai tiga adik-beradik kandung iaitu Muhammad Iman, 13, Ammar Safiy, 10, dan Nur Badrisia, 7.
Selain itu, mereka turut mempunyai seorang adik lelaki, hasil perkahwinan baharu ayahnya bersama ibu tiri mereka, Junaidah Awang, 39.
-mstar-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan