Arwah Nursyuhada: Syahid buatmu seperti namamu

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Gadis yang menjadi mangsa kelar di leher dua hari lepas Nursyuhada Johari pernah menyatakan hasrat untuk bersama-sama sekali lagi menyertai misi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Allahyarham merupakan antara individu yang pernah menjadi sukarelawan Muslim Care ke Kelantan dua minggu lepas.

Tulis Muslim Care, Arwah merupakan seorang yang baik dan cemerlang peribadi dan sangat bersemangat sepanjang misi cuci serta serah sumbangan ketika membantu mangsa banjir tempoh hari.

"Allahyarham berharap akan bersama sekali lagi untuk misi-misi akan datang," ujar AJK Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan.

Bahkan, Safuan turut memohon agar masyarakat sentiasa bercakap yang baik walaupun terdapat pelbagai spekulasi melalui media arus perdana atau media baru terhadap Allahyarham.

"Selaku AJK Muslim Care yang mengatur perjalanan sukarelawan daripada utara ke Pantai Timur, saya sangat terkesan dengan pemergian adik Nursyuhada dan berharap agar kita semua mendoakan yang terbaik buat arwah adik Nursyuhada.

"Syurga dan syahid buatmu sepertimana namamu Nursyuhada," ujarnya.

Nursyuhada merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak dua hari lepas. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan