Hafizi mengharapkan isterinya kembali pulang ke pangkuan keluarganya. Hafizi mengharapkan isterinya kembali pulang ke pangkuan keluarganya.
KOTA BHARU: “Saya tidak tahan melihat sudah dua bulan anak menangis dan terjaga lewat malam kerana terlalu rindukan uminya,” kata seorang buruh, Hafizi Mat Hassan.
Itulah luahan bapa kepada tiga anak kepada Sinar Harian yang mendakwa isterinya, Nor Hidayah Abdullah, 30, menghilangkan diri sejak lebih dua bulan lalu kerana terpedaya dengan kenalan baharu dikenali menerusi Facebook.
Hafizi berkata, pada 2 Disember lalu, isterinya keluar rumah di Kampung Sungai Keladi kira-kira jam 8.30 pagi untuk membeli sarapan namun tidak pulang-pulang sehingga sekarang.
“Saya menyedari dia melarikan diri apabila, Hidayah hantar khidmat pesanan ringkas menyuruh saya mengambil motosikal yang ditinggalkan di pasar dan tidak mahu pulang ke rumah,” katanya.
Dakwa Hafizi, isterinya itu menunjukkan perubahan sejak pandai gunakan Facebook dan pada awalnya tidak menjangkakan dia akan bertindak sejauh ini dengan sanggup meninggalkan keluarga.
Hafizi mendakwa, sebelum ini isterinya itu pernah merajuk kerana menegur sikapnya yang “tergila-gilakan” Facebook menyebabkan dia pulang ke rumah orang tuanya tetapi balik semula setelah hatinya sejuk.
Namun sekarang dia pergi dan tidak balik-balik sehingga sekarang yang menyebabkan anak-anak sering tertanya-tanya ibunya, kadang-kadang tidak bersekolah.
“Sejak isteri saya hilang, anak saya sering bangun lewat malam untuk menatap gambar ibunya sambil menangis dan kadang-kadang demam. Saya sudah tidak sanggup lihat keadaan mereka berada dalam kesedihan sebegini,” katanya.
Naluri kebapaan Hafizi yang sayangkan anak-anak dan isterinya itu beri kekuatan kepadanya untuk mengesan kedudukan isterinya sehingga ke Terengganu walaupun pencariannya tidak berhasil.
“Dalam tempoh dia menghilangkan diri saya cuba menghubungi telefon isteri saya dan terkejut apabila orang lain menjawabnya dan memberitahu sekarang berada di Terengganu.
“Saya mengambil keputusan terus ke Terengganu tetapi saya tidak berjaya mengesannya kerana saya sendiri tidak tahu di mana sebenar lokasi dia berada,” katanya.
Tidak terus patah semangat, Hafizi berkata, dia juga mengedarkan dan menampal gambar isteri yang dicarinya supaya ada pihak yang tampil memberikan maklumat untuk mempercepatkan lagi pencariannya kerana kasihankan anak-anak.
Katanya, sesiapa yang mengetahui kedudukan isterinya boleh hubungi di talian 017-9060739.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan