Impian Tok Guru terus dilaksanakan: 10,000 banjiri kuliah maghrib UAI di Masjid Tok Guru

Impian Tok Guru terus dilaksanakan
KOTA BHARU: Kebanjiran lebih 10,000 orang pada Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus (UAI) malam kelmarin di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka mengotakan impian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya program keilmuan sentiasa dihidupkan biarpun beliau sudah tiada.

Sebelum sesi ceramah dimulakan, hadirin membacakan al-Fatihah dan disedekahkan kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat kanser prostat.

Anak Allahyarham, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, program keagamaan tersebut telah dirancang awal dan ia mendapat keizinan ayahnya sebelum ini.
“Kita rancang kuliah ini semasa ayah masih ada lagi, namun kita redha dengan ketentuan ALLAH SWT apabila ayah menghadap Ilahi. Kita yang masih ada inilah akan teruskan kesinambungan legasi keilmuan yang ayah lakukan selama ini.

“Saya masih ingat, arwah Tok (bapa kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz) pesan, ayah mesti mengajar (sampaikan kuliah) sampai bila-bila. Sehingga akhir hayatnya, itulah amanatnya kepada kami supaya imarahkan masjid dengan kuliah setiap masa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Nik Omar juga berhasrat menjadikan penganjuran kuliah agama itu sebagai program bulanan dan berbesar hati sekiranya UAI dapat memenuhinya mengikut masa yang bersesuaian.

“Kita akan jemput ustaz lain juga untuk mengajar kerana dengan cara beginilah, kita dapat memakmurkan Masjid Tok Guru sama seperti ketika zaman ayah masih ada lagi. Ini semua untuk kita sentiasa mendekatkan diri kepada pencipta-Nya.
“Dengan izin ALLAH SWT, malam tadi (kelmarin) ramai datang, bersesuaian dengan cuti Tahun Baharu Cina dan juga kerana orang ramai masih mengingati pemergian Tok Guru,” katanya.

Ceramah selama dua jam di Masjid Tok Guru bersama penceramah bebas itu menyentuh mengenai istinjak dan merungkaikan pelbagai kekeliruan menerusi sesi soal jawab yang dijelaskan secara santai serta menepati syariat.

Selain masjid dipenuhi orang ramai, kawasan sekitar kediaman Allahyarham termasuk bangunan belum siap juga dijadikan tempat mendengar ceramah, sehingga menyebabkan lalu-lintas sesak sejauh kira-kira dua kilometer.

Sementara itu, UAI dalam ceramahnya juga melahirkan rasa bersyukur dengan kedatangan orang ramai untuk bersama-sama berkongsi ilmu agama sebagaimana hasrat Allahyarham supaya menghidupkan kuliah keagamaan.

Dalam masa sama, beliau kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan kenyataan tidak benar mengaitkan pemergian Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Sementara itu, sebagaimana tersebar menerusi laman sosial, penceramah bebas itu juga mengharapkan ‘pusaka’ Tok Guru iaitu bantal, kain penutup keranda dan selimut yang hilang ketika pengebumian Jumaat lalu dapat dikembalikan semula kepada ahli keluarga Allahyarham.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan