Mejar Zaidi akan menyertai PAS sebaik mendapat kad pengenalan biasa

Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia Zaidi Ahmad (tengah) bersama 50 orang berdemonstrasi untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Zaidi akan menyertai PAS selepas menerima MyKad sebagai rakyat biasa. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 14 Februari, 2015.
Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia Zaidi Ahmad (tengah) bersama 50 orang berdemonstrasi untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad, yang mula menimbulkan isu mengenai dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan menyertai PAS sebaik memperolehi kad pengenalan baru sebagai rakyat biasa.

Bercakap kepada The Malaysian Insider pada majlis pelancaran buku terbaru kartunis Zunar di Petaling Jaya hari ini, beliau mengakui berminat dengan PAS kerana parti itu menegakkan Islam.

"Saya akan menjadi ahli PAS. Saya sedang menunggu MyKad saya sebagai rakyat biasa," katanya yang ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari lalu selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.

"Saya lebih (cenderung) kepada Islam, sebab itu saya pilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya mahu menyumbang dengan cara ini," katanya merujuk kepada nama penuh parti pembangkang yang merupakan sebahagian Pakatan Rakyat (PR) itu.

Zaidi dipecat dari TUDM kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.

Beliau didapati bersalah melanggar protokol dengan membuat pengumuman terbuka mengenai dakwat kekal yang digunakan semasa PRU13 tetapi boleh dibasuh dengan mudah, menimbulkan persoalan mengenai integriti PRU.

Selepas dibebaskan, Zaidi menyuarakan hasratnya memberi ceramah dan meningkatkan kesedaran politik di kalangan orang ramai.

Hari ini beliau menyatakan harapan memainkan peranan menyatukan PR yang ketika ini dilihat seperti berada di ambang perpecahan kerana beberapa isu dan konflik dalaman sesama tiga ahlinya – PAS, PKR dan DAP.

"Saya ni 'middle ground' (pertengahan)... Saya bukan ustaz, insyaAllah saya cuba main peranan untuk satukan PR untuk menghadapi PRU14.

"Cabaran itu memang besar, terutamanya dengan ketiadaan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), kita terpaksa menghadapinya, harap-harap pemimpin baru akan muncul," katanya.

Katanya, rakyat memerhatikan tindakan Putrajaya dan dasarnya, dan ini akan menentukan bagaimana mereka akan mengundi dalam PRU berikutnya.

"Apa saja yang mereka lakukan diawasi rakyat. Rakyat tahu siapa benar, siapa salah.

"Apa saja yang kerajaan mahu lakukan, biarkan mereka lakukan. Di pihak kami, kami akan terus berjuang. Kita mohon pertolongan Allah. InsyaAllah, pada PRU14, akan ada perubahan."

Zaidi juga mengulas mengenai pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkannya satu kehilangan besar.

Beliau yang sepatutnya melancarkan buku Zunar bertajuk "ROS in Kangkongland" yang menampilkan kartun isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata, kartunis satira itu tidak sepatutnya dihukum kerana hasil karyanya.

Sejumlah 200 naskhah buku itu dirampas polis ketika ia sedang dalam perjalanan di bawa ke lokasi majlis pelancaran.

"Zunar seorang yang unik, kerana beliau berjuang melalui kartun. Secara tidak langsung beliau membantu perjuangan kami menegakkan keadilan," katanya.  
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan