Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak bersetuju penceramah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias menjadi panel dalam Forum Perdana Ehwal Islam sempena hari keputeraan Raja Perlis yang berlangsung tidak lama lagi.
Asri mengesahkan surat rasmi yang kini tersebar luas di laman sosial menyatakan beliau tidak bersetuju Kazim menjadi panel dalam forum berkenaan.
Asri bagaimanapun berkata tidak pernah menghalang penceramah bebas kontroversi itu untuk berceramah di Perlis.
"Surat itu tidak menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di Perlis tetapi menyatakan tidak bersetuju untuk menjadi panel forum berkenaan yang diadakan bersempena keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DMMM) Raja Perlis," katanya di laman Facebooknya.
Surat rasmi Jabatan Mufti Perlis kepada Pejabat Menteri Besar yang tidak bersetuju dengan pemilihan Kazim sebagai ahli panel kerana dikatakan sering menggunakan riwayat palsu dalam ceramahnya itu kini mula tersebar di laman sosial.
Dalam kenyataannya, Asri yang baru dilantik semula sebagai mufti Perlis awal Februari lalu, turut memuat naik dalam Facebooknya teks ceramah Kazim yang didakwa menggunakan riwayat palsu.
"Maka kenduri Rasullah SAW yang paling mahal pula ialah roti jala yang dicelup dengan kuah kari. Maka bandingkanlah dengan kita," demikian petikan ucapan Kazim.
Mengulas mengenai alasan sekatan itu kerana dakwaan riwayat palsu yang disampaikan Kazim dalam ceramahnya, Asri berkata ia selaras dengan kehendak dan keilmuan masyarakat sendiri untuk memastikan kesahihan tersebut.
Antara lain, Asri kesal dengan penyebaran surat berikut dan berkata ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan Jabatan Mufti merupakan jawatankuasa penganjur.
Kazim pernah mencetuskan kontroversi awal Februari lalu apabila laporan polis mendakwa penceramah bebas itu bersifat perkauman dalam ceramahnya.
Lelaki Cina yang membuat laporan itu mendakwa, ceramah Kazim selama 10 minit mengandungi antara lain perkataan menghina kaum Cina seperti menyifatkan mereka hanya tahu melepak di kedai "minum" dan mabuk secara terbuka tanpa menghiraukan orang ramai, selain tidak banyak berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.
Katanya, ceramah Kazim seolah-olah mahu mengaibkan masyarakat Cina.
Bagaimanapun, Kazim dalam laman Facebooknya menafikan tuduhan beliau seorang rasis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan