Gaduh macam orang lain saya tak pandai - Husam

Husam Musa
SERI ISKANDAR: Pas memerlukan lebih masa untuk memberikan kefahaman mengenai hudud supaya ia boleh diterima bukan Islam.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, masa yang tidak mencukupi juga diakui menjadi punca parti itu menerima tentangan terutama dalam kalangan parti bukan Islam termasuk DAP sendiri.

Menurutnya, Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) bakal dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah pindaan yang baik mengenai hudud untuk lebih mudah difahami.

“Pindaan yang sangat cantik, tetapi masa tidak mengizinkan (untuk terangkan).

“Sesuatu yang baik belum tentu dapat dilakukan, jadi kalau kita berjaya beri kefahaman (menggunakan tempoh tertentu), bukan sahaja PR, tetapi parti komponen lain daripada BN juga pasti akan menerima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 29, Pas Kawasan Batu Gajah, di sini, semalam.

Husam berkata, pihaknya sedar, proses kelulusan pindaan dalam Parlimen memerlukan sokongan daripada Ahli Parlimen bukan Islam, justeru kefahaman yang jelas diperlukan untuk menerima sokongan.

“Jadi saya fikir jalan beri penjelasan adalah lebih baik untuk kejayaan pindaan dicadangkan itu,” katanya.

Husam memberi jaminan akan memberikan penjelasan berhubung RUU itu mengikut pendekatannya sendiri.

“Gaduh macam orang lain saya tak pandai, lagipun saya hanya juruteknik kecil, kalau ada skru tanggal, saya cuma pasang balik,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan DAP Sarawak menghentikan semua komunikasi dengan Pas dan PKR berikutan pelaksanaan hudud, beliau berkata, tindakan itu boleh dianggap satu strategi untuk mempertahankan sokongan ahli masing-masing.

“Pas boleh diterima Pas, begitu juga DAP ada penyokong DAP, mereka tentang kerana masih tidak faham.

“Tapi saya percaya, kalau dipujuk elok-elok, pasti mereka terima, ini melibatkan satu proses. Inilah strategi PR yang tak difahami BN,” katanya.
-sinarharian-

1 ulasan:

  1. 56 tahun BN perintah malaysia, Pas perintah kelantan dari 1990, 25 tahun pas kelantan bg penerangan pasal hukum hudud kat kelantan masih x cukup lagi ke? Atau ko nak tunggu PR kuasai putrajaya baru nak explain? Masa tu ko perlukan 56 tahun lagi utk explain pd DAP & PKR pulak.. Cakap aje la ko ni sekadar berlapik dgn parti sendiri. Bg aku, penerangan dah dibuat sekian lama walaupun dgn rakan PR. Ko pernah tanya diorg ke, ape pasal yg bukan Islam tentang hukum Islam? Pada hal depa x kena pun???

    BalasPadam