Geng Ulama PAS sembang kuat, tapi takut cabar Mat Sabu

Dipetik dari MYKMU.net
“Drama” PAS banyak episod
Bermula 1 Mac yang lalu hingga kini, sudah lebih 10 hari PAS sedang hangat membicarakan tentang isu pemilihan pucuk pimpinan yang baru bagi penggal 2015/2017. Pemilihan PAS kali ini sememangnya awal-awal lagi dijangka hangat oleh para pemerhati politik tanah air.

Malah sebelum tarikh 1 Mac lagi, PAS sudah mula panas dengan pertelagahan di antara golongan pro-ulama parti itu dan pro-Pakatan Rakyat yang majoritinya terdiri dari kalangan golongan profesional. Mereka bukan gaduh main-main, malah secara terbuka di media arus perdana, kecuali Harakah.

Hingga kini, “drama” PAS itu sudah melalui banyak episod. Ada yang berdemo di depan ibu pejabat PAS Pusat, ada yang mengecam di Multaqa’, ada yang kena tumbuk ketika pulang dari masjid dan ada pula khabarnya “terbang” hingga ke United Kingdom.

Pada penelitian saya, kali ini golongan pro-ulama PAS sangat aggresif. Maksud saya, secara verbal atau tulisan di laman-laman sosial, golongan ini boleh dikatakan setiap hari menghentam kumpulan yang digelar “jebon”, “Hawai Five O”, “Anwarinas”, “syaitan dalam jemaah” dan sebagainya.

Bukan saja di kalangan akar umbi PAS yang pro-ulama berbuat begitu, malah para pemimpin PAS yang mahu meneruskan tradisi kepimpinan ulama juga turut vokal menghentam pihak yang dikatakan mahu menjatuhkan Abdul Hadi dan ulama lain di dalam PAS.

Antara nama yang sering dikatakan memimpin golongan yang mahu merosakkan PAS dari dalam itu adalah Mat Sabu, Dr Hatta Ramli, Datuk Phahrolrazi Zawawi, Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Suhaizan Kayat dan ramai lagi.

Abuk pun “tarak”

Peliknya, meskipun berdegar-degar mengecam pemimpin-pemimpin “jebon” itu, saya masih belum lagi mendengar sebarang pencalonan yang mencabar kedudukan Mat Sabu serta konco-konconya itu.

Soalnya, apakah ia bersifat seperti kata di kawasan orang utara, “Sembang saja deraih, tapi abuk pun tarak!”?

Setiausaha Majlis Syura PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dilaporkan berkata…

“Kita sudah buat keputusan, kita (PAS) dengan cara kita dan PasMa dengan cara mereka. Kalau mereka nak juga sertai kita (PAS), mereka kena bubar PasMa dan duduk bersama kita dalam PAS, selesai masalah dan bukan susah pun”.

Keras dan tegas bunyinya kata-kata dari salah seorang pemimpin terpenting Majlis Syura Ulama PAS, bukan?

Namun, adakah dalam kenyataan yang ditegaskan pada 4 Mac itu menimbulkan sebarang kesan pada PasMa? Ada ahli PasMa yang keluar dari NGO pimpinan Phahrolrazi itu? Ada Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu bertindak bubarkan PasMa? Tidak.

Puak “Hawaii Five O”

Jadi, di mana tahap serius golongan pro-ulama ini? Malah jawatankuasa khas yang ditubuhkan PAS untuk menyiasat gerakan dalaman parti itu yang mahu menjatuhkan Abdul Hadi juga turut dipertikai tahap ketelusannya.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kuantan, jawatankuasa khas penyiasat itu diserap puak-puak “Hawai Five O” dan Dr Hatta sendiri menganggotai jawatankuasa berkenaan. Katanya, ada AJK PAS yang pro-“jebon” turut dilantik dalam jawatankuasa itu. Dakwanya, anggota “penyiasat” di dalam jawatankuasa tersebut sangat meragukan!

Saya agak hairan, mengapa itu berlaku di dalam PAS. Parti itu mahu menyiasat mengenai sebahagian pemimpin parti mereka yang mahu menjatuhkan Presiden. Golongan “Hawai Five O” dan Dr Hatta dikatakan terlibat dalam gerakan kotor itu. Jadi, mengapa mereka dilantik?

Apakah PAS mahu Orang Kena Tuduh (OKT) menyiasat diri sendiri dan geng-geng sendiri? Seumpama Anwar Ibrahim siasat Azmin Ali dan Rafizi? Bagai Lim Guan Eng siasat tentang Lim Kit Siang dan Betty Chew? Tidakkah wujud “conflict of interest” di situ?

Lebih pelik lagi, Fadhli Ibrahim mendakwa Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali yang merupakan pengerusi jawatankuasa khas itu “terbang” ke UK bersama “suspek utama”, Mat Sabu baru-baru ini. Agaknya, apa keputusan jawatankuasa khas itu nanti? Boleh diagak, bukan?

Simpan “telur” dalam peti sejuk

Sehingga kini, belum ada lagi kedengaran mana-mana PAS Kawasan yang mencalonkan seseorang dari golongan ulama parti itu untuk mencabar jawatan Timbalan Presiden yang disandang Mat Sabu. Apakah geng ulama ini masih menyimpan “telur” mereka di dalam peti sejuk?

Malah di Kuala Kedah, belum lagi kedengaran dari kalangan ahli cawangan parti di PAS Kawasan itu yang mencabar kedudukan Phahrolrazi sebagai Yang DiPertua PAS Kawasan tersebut walaupun katanya wujud gerakan di situ yang mahu Presiden PasMa itu “jatuh tergolek”.

Maka sebab itu dari awal lagi saya katakan bahawa jika tiada tindakan dan hanya “sembang di kedai kopi” saja yang berdegar-degar, bubarkan saja Dewan Ulama dan Majlis Syura PAS. Gantikan saja dua Dewan itu dengan Dewan PasMa dan Dewan “Jebon” atau Dewan “Hawai Five O”.

Jangan sampai golongan akar umbi PAS di bawah rasa bosan dengan kalam-kalam kempen golongan pro-ulama PAS ini. Buruk padahnya nanti.

Saya dimaklumkan tentang ligatnya kegiatan kempen kumpulan “jebon” itu yang disifatkan lebih sistematik, berstrategi dan realistik memancing undi di seluruh cawangan PAS kini. Apa geng ulama PAS buat? Sekadar sembang saja yang kuat?
-fmt-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan