'Mereka kata saya wanita paling hodoh dalam dunia'

Lizzie Velasquez
Lizzie Velasquez 
KETIKA Lizzie Velasquez ingin mencari muzik di atas talian, beliau terjumpa sebuah video bertajuk, 'Wanita paling hodoh dalam dunia.'.

Velasquez tidak sangka dirinya adalah wanita hodoh tersebut.

Menurut BBC, video tersebut yang sudah ditonton lebih 4 juta pelayar di laman Youtube, Velasquez yang ketika itu berusia 17 tahun berasa sangat sedih apabila membaca komen-komen video berkenaan.

"Kenapa ibu bapanya menyimpan dia?!", "Bunuh dia dengan api" antara komen yang membuat Velasquez menangis.

"Saya menangis banyak kali. Sebagai remaja (ketika itu) saya fikir hidup saya sudah berakhir," kata Velasquez.

"Saya dibuli semenjak tadika," tambah beliau.

Wanita malang berkenaan lahir dengan dua penyakit, Marfan dan Lipodystrophy.

Kini, Velasquez, 26 mempunyai berat hanya 26 kilogram dan buta sebelah mata. Beliau sudah menjalani pelbagai pembedahan namun doktor masih tidak tahu bagaimana untuk mengubatinya.

Ibu bapa Velasquez, Rita dan Lupe tidak pernah mempersoalkan keadaan anak mereka. Rita dan lupe cuma anaknya mahu menjadi sihat.

Velasquez kemudian membuat keputusan untuk merekod videonya sendiri, memberitahu dunia siapakah perempuan disebalik video 'Wanita paling hodoh dalam dunia' tersebut dan memberi nasihat kepada mangsa buli yang lain.

Usaha Velasquez membuahkan hasil apabila hampir 240,000 pelayar melanggan videonya dan beliau sering dijemput untuk memberi ceramah berkenaan kejadian buli.

Tina Meier, seorang ibu yang anak perempuannya membunuh diri kerana dibuli, bergabung tenaga dengan Velasquez dan memulakan kempen anti buli di Amerika Syarikat (AS).

Tahun ini, kisah Velasquez dan kempen anti bulinya akan menjadi fokus kepada sebuah dokumentari.

Sara Hirsch Bordo, pengarah dokumentari berkenaan berkata, dokumentari tersebut merangkumi hidup Velasquez dan mangsa buli di seluruh dunia.

"Pengalaman lampau dan perjuangan Velasquez dalam kempen anti buli adalah menakjubkan.

"Orang ramai mahukan cerita dan pengalaman dari mangsa sebenar (Velasquez) dan mereka tidak mahu menjadi mangsa (buli), mereka mahukan perubahan," kata Bordo, lagi.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan