Suasana pilu, akhirnya Sirul dalam dakapan ibu

MUHAMMAD FAIZAL 
KUALA LUMPUR: Penantian sejak sekian lama Piah Samad, 74, yang ingin bertemu dengan anaknya Koperal Sirul Azhar Umar akhirnya tercapai.

Piah bersama rombongan misi 'See For (C4) Yourself' tiba di Pusat Tahanan Imigresen (IDC), Villawood, Sydney kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan.

Pegawai yang mengiringi misi tersebut memberitahu Harakahdaily melalui WhatsApp hanya suasana sayu dan hiba itu yang boleh digambarkan ketika melihat pertemuan antara Sirul dan ibunya termasuk adik perempuan beliau, Noriatin Umar, 37.

"Gembira itu yang digambarkan oleh Piah, pertemuan hampir 2 jam itu digunakan sepenuh masa oleh Sirul sekeluarga untuk melepaskan rindu.

"Kami yang melihat turut sebak ketika seorang anak berada dalam dakapan ibu yang terpisah beribu kilometer dari tanah kelahirannya.

"Misi pertemuan lebih kepada misi kemanusiaan, pertemuan seorang anak dengan ahli keluarga dan tiada maksud lain," katanya.

Sementara itu, Piah ketika ditanya berasa gembira dan lega setelah hasrat untuk bertemu dengan anaknya akhirnya tertunai.

"Lega dan gembira dapat bertemu Sirul, kalau sebelum ini makcik tak tahu keadaan dia di sini.

"Tetapi setelah lihat dia dalam keadaan sihat hilang kerisauan makcik, harap beliau dapat jaga diri baik-baik.

"Makcik tetap risaukan masa depan dia, sebagai ibu makcik hanya mampu berdoa agar Sirul dilindungi selalu," katanya.

Piah turut memberitahu, beliau akan menyediakan makanan kegemaran anaknya bagi pertemuan hari esok.

Dalam pada itu, Sirul turut mengucapkan terima kasih kepada rombongan misi kerana menemukan beliau dengan ibunya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus dan berusaha membawa ibu saya datang berjumpa dengan saya.

"Syukur saya di sini sihat dan segala kemudahan amat baik termasuk tempat tinggal dan makan, ia dijaga rapi," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata misi kemanusiaan ini telah mencapai matlamat.

"Apa yang kami inginkan telah tercapai, ibu Sirul telah dapat bertemu anaknya dan kami lihat tadi masing-masing melepaskan kerinduan.

"Ibu adik dan Sirul mereka berbual tanpa gangguan dari kami, kerana itu yang kami harapkan.

"Pertemuan ini akan diadakan setiap hari sehingga kami pulang ke Malaysia nanti," jelas beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berharap kerjasama baik diberikan pihak berkuasa di IDC bagi melancarkan pertemuan akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan