Tuala terdampar di pantai Australia ada kaitan dengan MH370? (Gambar)


Satu paket sehelai tuala lembap kecil pakai buang dengan logo Malaysia Airlines ditemui di pantai Australia mungkin ada kaitan dengan MH370. – Gambar Channel Nine News, 10 Mac, 2015.

Sehelai tuala lembap kecil pakai buang masih berbungkus dijumpai terdampar di pantai Australia Barat Julai lalu mungkin beri petunjuk di mana keberadaan pesawat MH370, lapor media Australia, Nine News, 2 hari selepas ulang tahun pertama memperingati kehilangan Boeing 777 itu.

Tertera logo Malaysia Airlines (MAS) di paket tuala kecil yang belum terbuka itu dan ia kini dihantar ke Canberra untuk ujian lanjut.

Pasangan yang menemui tuala itu ketika berjalan di sepanjang pantai berkenaan pada 2 Julai tahun lalu berkata ia “tidak terbuka, dan keadaan itu luar kebiasaan”.
“Kami selalu cakap, ‘mari cari barang daripada MH370’,” kata Kingsley Miller, yang menemui tuala itu dengan pasangannya Vicki Miller, dipetik sebagai berkata.

Mereka menyerahkan paket tuala itu kepada polis sebelum menyerahkannya kepada Pusat Agensi Penyelarasan Bersama di Canberra, yang mengetuai misi mencari pesawat itu di Lautan Hindi.

Pusat itu berkata tuala itu tidak mungkin boleh dikaitkan dengan MH370 secara konklusif, menurut Nine News.

Tetapi pakar dilaporkan berkata ada kemungkinan tidak berlaku kerosakan kepada pakej kecil itu walaupun ia menempuh perjalanan yang jauh.

Berita penemuan itu berlaku selepas pasukan siasatan MH370 Malaysia mengeluarkan laporan interim berhubung kehilangan pesawat itu pada 8 Mac, setahun selepas Boeing 777 hilang bersama 239 penumpang di dalamnya.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Koo Soo Chon, yang mengetuai pasukan itu berkata mereka mengumpul maklumat daripada menara kawalan udara dan rekod penyelenggaraan pesawat, mengadakan sesi simulator untuk membina semula sistem operasi dan penerbangan pesawat, serta menemu bual lebih 120 orang.

Mereka juga melawat operator kargo dan penerima konsain bateri litium dan manggis, serta pihak berkuasa menara kawalan udara di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Pasukan itu juga menyediakan prosedur operasi standard dan senarai semak untuk penyiasatan sebagai persediaan mendapatkan pesawat sebaik saja ia dikesan.

Pada Ahad, akhbar British, The Guardian melaporkan keluarga penumpang dan anak kapal menyelar laporan interim itu.

Akhbar berkenaan melaporkan kepentingan penemuan itu dipersoalkan.

Sarah Bajc, yang kehilangan pasangannya Philip Wood di atas kapal terbang itu, mengkritik hakikat yang penyiasat hanya menemu ramah 120 orang, kata akhbar British itu.

"Itu kurang daripada apa yang dilakukan siasatan persendirian kami dengan dana yang kecil," katanya kepada BBC, merujuk kepada siasatan dilancarkan sekumpulan saudara-mara penumpang MH370.
Seorang lagi saudara yang enggan namanya disiarkan juga memberitahu BBC,  laporan itu "tidak berguna".

Intan Maizura Othman, yang suaminya pramugara Hazrin Hasnan terlibat dalam kejadian itu berkata, beliau tidak bercadang membaca laporan itu kerana ia tiada gunanya dalam usaha mencari kebenaran.

Laporan 584 muka surat kumpulan siasatan bebas itu mencatatkan butiran kehidupan anak kapal terbabit, rekod perubatan, kewangan dan latihan mereka, sebelum memperincikan rekod perkhidmatan dan jadual penyelenggaraan pesawat, bersama aspek lain seperti cuaca dan sistem komunikasi, tetapi tidak menemui sebarang perkara yang luar biasa selain daripada tarikh luput bateri itu.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan