MSO: Ada perundingan antara Dr M dengan Anwar?

Mohd Sayuti Omar

Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke rumah bapa Datuk Seri Anwar Ibrahim, (Pak Brahim) untuk menziarahi jenazah Pak Brahim tidak ramai diperkatakan orang. Mungkin orang menganggap pemergian itu biasa sahaja, dan satu kebetulan.

Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi alasan kedatangan Mahathir itu kerana bekas PM itu kenalan lama bapa mertuanya. Tidak ada keterangan lanjut dari itu. Apakah sebelum ini Mahathir ada menziarahi Pak Brahim atas hubungan disebut Wan Azizah itu?

Di rumah Pak Brahim itu, Mahathir hanya berada sekejap sahaja, tetapi isterinya mengambil sedikit masa untuk berbicara dengan Wan Azizah. Apakah Siti Hasmah ada membawa mesej atau pesan tertentu daripada suaminya untuk suami Wan Azizah?

Manakala Zahid pula sempat khatam surah Yassin untuk disedekahkan kepada roh Pak Brahim. Body language yang ditunjukkan Zahid menerusi foto yang diambil menampak akan ketidakselesaan menteri KDN itu.

Kedatangan Mahathir dan Zahid lebih awal daripada ketibaan Anwar dari penjara Sungai Buloh. Mungkin sudah dirancang demikian rupa untuk tidak bertembung dan berlaku insiden dramatik. Mahathir sejak memecat Anwar pada 3 September 1998 tidak pernah bertemu dengan Anwar dari dekat.

Mustahil kedua mereka tidak tahu jam berapa Anwar akan tiba di rumah bapanya. Setiap pergerakan Anwar sudah pasti dimaklumkan kepada pihak berkuasa khasnya menteri. Zahid selaku menteri KDN mesti mendapat maklumat jelas dari Sungai Buloh. Dan sudah pasti juga Zahid akan memberi tahu Mahathir. Ertinya mereka sengaja untuk tidak bertemu Anwar agar tidak menjadi bahan berita sensasi.

Bagi saya kedatangan kedua mereka, terutamanya Mahathir dan isteri ada cerita yang tidak terungkap. Mahathir tidak sengaja datang sesuka hati begitu sahaja. Dia boleh mencari alasan untuk tidak menziarahi jenazah Pak Brahim. Dia boleh mengirimkan al Fatihah di angin lalu atau membuat belesungkawa dalam blog. Tetapi kenapa beliau hadir secara fizikal. Apa yang hendak dipamerkan?

Apakah ada perkembangan terbaru dalam hubungan beliau dengan Anwar. Ada cerita baru yang hendak dibuka. Sejarah lama menyebut, Anwar pernah membantu Mahathir memperkukuhkan Umno. Apakah bantuan itu diperlukan Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak? Dalam berhadapan dengan Najib, Mahathir nampak kesukaran sedikit sedangkan nafsunya membuak-buak.

Anwar dan Mahathir ada maksud sama mengenai Najib. Jatuh dan singkirkan anak Tun Razak Hussein itu. Jangan kita berfikir Mahathir pernah menganiaya Awnar maka mereka tidak boleh kembali bersama. Kita kena terima dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Tidak ada apa-apa yang mustahil dalam politik.

Begitu juga dengan Zahidi, dia tidak sengaja datang kalau tidak membawa apa-apa motif. Atau beliau sudah tentu tahu akan ada persepsi dengan kehadiran itu. Zahid boleh beri alasan Pak Brahim adalah jiran setamannya dengannya. Kehadiran itu tidak penting baginya kerana ia boleh memusnahakan kepercayaan Najib kepadanya. Tetapi kenapa beliau hadir? Persoalan matemetik ini belum dijawab.

Apakah dia sudah memaklumkan kepada Najib akan kehadiran itu. Report kepada Datin Seri Rosmah Mansor sepertimana dia memberi tahu Najib yang dia berjumpa dengan Anwar di luar negara? Atau pun bercakap dengan Anwar menggunakan perantaraan?

Dalam melihat kedatangan Mahathir dan Zahid ke rumah bapa Anwar itu bagi saya ia ada cerita tersendiri. Kejadian itu bukan secara sengaja, tetapi disengajakan. Ketepatan sangkaan saya ini benar, apabila malam kelmarin seorang pemimpin tertinggi sebuah parti Pakatan Rakyat membisik kepada saya; ada perundingan antara Mahathir dengan Anwar. Oh stop dulu. [wm.kl. 8:37 14/04/15] Bersambung... 
msomelayu.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan