Perdana Menteri Dan Menteri Yang Melayan Orang Gila

Zainudin maidin
Pak Chat Gila seorang yang mempunyai nama besar di Kedah dan Seberang Perai di awal tahun 60an. Sama ada dia tiga suku atau gila sepenohnya saya tidak tahu tetapi orang panggilnya Pak Chat gila. Saya adalah diantara ramai orang yang pernah dihalaunya balik sembahyang Magrib ketika menunggu untuk masuk ke panggung wayang tayangan jam tujuh petang.

Pak Chat biasanya berada di panggung Empire Alor Setar dan berteriak : Lembu! kerbau! balik! balik sembahyang! tetapi dia sendiri berada di depan panggung wayang ketika waktu sembahyang.
Identiti Pak Chat tak pernah bertukar, Dia memakai seluar pendek labuh dan kain pelekat yang disintingnya keatas separuh paha,berbaju kemeja dan mengepit payung. Kawasan operasinya dari Stesen Keretapi Bukit Mertajam hingga ke Stesen Keretapi Alor Setar.
Dia tunggu keretapi dari Kuala Lumpur yang singgah awal pagi di Stesen Bukit Mertajam dan menjadi penumpang percuma hampir setiap hari ke Alor Setar. Konduktor tidak pernah mempedulikannya.

Dia tidak sahaja di kenali oleh rakyat biasa tetapi juga pembesar-pembesar negara termasuk Menteri Pelajaran Mohd Khir Johari dan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman dan dia juga mengenali mereka.

Menteri Pelajaran Mohd Khir Johari (Pak Khir) suka melayannya. Abang Ipar saya seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani menceritakan ketika Pak Khir sedang berucap di upacara anugerah liga bola sepak antara sekolah -sekolah Kuala Muda, tiba tiba Pak Chat muncul didepan pentas dengan mengepit payungnya.

Beberapa orang guru cuba menariknya ketepi tetapi Pak Khir dengan segera memanggil Pak Chat naik ke pentas dan menyuruhnya duduk di kerusinya yang kosong menyebabkan orang ramai ketawa gembira.

Hingga hari ini saya tidak dapat melupakan sekeping gambar di muka depan Straits Times yang menunjukan Pak Chat berada dalam suatu barisan tetamu kehormat yang hendak menziarahi kemangkatan Sulan Perak Sultan Izzuddin Shah pada Januari 1963. Pak Chat berada betul -betul di belakang Tunku Perdana Menteri dengan sebelah tangannya memegang kasut seliparnya dan sebelah tangan lagi mengepit payungnya

Barangkali pihak keselamatan tidak berani menariknya keluar kerana mengetahui Tunku juga mengenalinya dan melayannnya. Saya ingin membeli gambar ini jika masih ada dalam simpanan NST( dulu Straits Times).

Tunku dan Pak Khir mempunyai hubungan yang baik hingga ke akhir hayat kerana mempunyai minat yang sama dalam kehidupan riang ria,suka berjenaka dan pandai membuat jenaka.

Tunku dan Pak Khir amat mesra dengan para wartawan. Apabila melihat ramai pemberita menunggunya, Tunku akan berkata lalat-lalat dah nak hurung atau apabila melihat wartawan yang lama tidak ditemuinya akan berkata" Oh awak masih hidup" dan Pak Khir pula akan berkata" beruk beruk dah mai"tetapi para pemberita tidak pernah marah dengannya.

Saya difahamkan Pak Khir tidak mahu menerima anugerah Tan Sri sehingga Dr Mahathir sendiri sebagai Perdana Menteri menalifonnya.

Semuga cerita- cerita ini akan dapat mengurangkan ketegangan politik yang sedang berlaku sekarang yang mungkin akan mendatangkan perpecahan yang lebih besar di kalangan orang Melayu.
-http://zamkata.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan