AHMAD AWANG
Pada 16 Mei 2015 yang lepas, saya telah menghadiri satu program 'Global Convention Of Scholars For Palestine' yang berlangsung di Beirut selama seminggu.
Saya diundang kerana saya merupakan salah seorang daripada kepimpinan Persatuan Ulama Sedunia cawangan Malaysia yang telah menganjurkan satu konferen antarabangsa pada bulan Mei tahun lalu, bersempena Nakbah Palestin yang bertempat di Shah Alam.
Selain saya, ada 2 lagi wakil yang dijemput untuk mewakili Malaysia iaitu, Al Fadhil Ustaz Ghani Sahamsuddin dan Cikgu Azmi Hamid. Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak dapat hadir bersama ke program kali ini.
Dengar bicara mufti Palestin
Multaqa kali ini disertai 35 buah Negara termasuklah wakil Amerika Latin, Eropah, Turki, United Kingdom dan Afrika. Manakala Ismail Haniyeh yang sepatutnya mewakili Palestin tidak dapat hadir dan hanya menyampaikan ucapan secara langsung melalui pancaran satelit.
Oleh itu secara rasminya, lebih kurang 80 orang tokoh-tokoh ulamak telah menghadiri Multaqa ini disamping ramai lagi yang hadir secara tidak rasmi.
Objektif utama Multaqa ini ialah bagi membincangkan langkah terbaik dan praktikal untuk membangkitkan kesedaran seluruh dunia Islam mengenai isu Palestin.
Berbeza dengan mana-mana program yang pernah saya hadiri sebelum ini yang biasanya sarat dengan pembentangan kertas kerja panjang lebar, Multaqa ini dipadatkan dengan perbincangan dalam kumpulan yang dijalankan dalam bentuk bengkel.
Malam pembukaan Multaqa dimulakan dengan ucapan mufti besar Palestin yang menyentuh tentang peristiwa Israk Mikraj.
Kami beruntung dapat mendengar secara langsung bicara ulamak agung ini yang menceritakan signifikan peristiwa agung Israk Mikraj sebagai bukti sejarah yang menghubungkan Masjidil Haram Mekah dengan Masjidil Aqsa Palestin.
Pada keesokannya program dimulakan dengan ucapan pengenalan daripada tujuh pertubuhan yang diberi perhormatan untuk menyampaikan ucaptama.
Antaranya ialah Persatuan Ulamak Sedunia Cawangan Malaysia sendiri, Persatuan Ulamak Sedunia Untuk Pembebesan Palestin Beirut dan Jemaah Ulamak Pakistan.
Langkah praktikal
Setelah itu, semua peserta Multaqa dibahagikan kedalam kumpulan bengkel mengikut pilihan masing-masing. Saya telah memilih kumpulan yang diamanahkan untuk membahaskan langkah-langkah praktikal bagi memupuk kesedaran sejagat mengenai isu Palestin.
Bengkel ini telah berlangsung dari pagi sehingga petang dengan hanya berselang waktu rehat untuk solat dan makan.
Semasa slot perbincangan umum pula, saya berpeluang mengemukakan 20 usul yang merupakan resolusi yang dicapai dalam konvensyen di Shah Alam tahun lalu.
Saya membangkitkan semula sikap khianat pihak British yang menyerahkan Palestin kepada negara haram Israel sedangkan pada waktu itu British hanya memegang mandat untuk melindungi tanah Palestin, bukan empunya milik Palestin!
Multaqa juga mencapai resolusi - yang pada pandangan saya - sangat praktikal untuk dimajukan kepada badan-badan Islam di Malaysia seperti MAPIM dan pertubuhan Islam lain seperti PUM dan ABIM.
Resolusi tersebut ialah, 'Multaqa mencadangkan supaya anak-anak atau pemuda-pemuda Palestin dibawa ke Malaysia untuk diberi peluang belajar sama ada di Sekolah Rendah, Sekolah Menengah mahupun Universiti'.
Dalam masa yang sama, anak-anak ini akan menjadi duta rakyat Palestin di Malaysia yang akan menjadi jambatan penghubung segala perihal perkembangan perjuangan rakyat Palestin dan kekejaman yang berlaku ke atas mereka.
Saya amat tersentak apabila rakan daripada Pertubuhan Nahdatul Ulamak Indonesia terus menyambut resolusi ini dan mencadangkan supaya ia dimulakan seawal tahun ini. Saya tertanya-tanya apakah yang mendorong Nahdatul Ulamak begitu yakin untuk menyambut resolusi ini.
Namun persoalan itu terjawab setelah saya dimaklumkan bahawa Nahdatul Ulamak memiliki 250,000 Maahad (Sekolah) yang dilengkapi asrama di samping mempunyai kekuatan 60 juta ahli berdaftar.
Apabila dipandang kepada Malaysia, saya cuma mangatakan kepada mereka bawah Pertubuhan yang saya wakili ini hanyalah pertubuhan kecil yang hanya mampu untuk menampung seorang anak Palestin.
Tetapi di sebalik jawapan itu, saya juga berfikir jika resolusi ini dipanjangkan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia, sudah pasti lebih banyak perkara yang boleh diusahakan.
Di Malaysia kita memiliki MAPIM yang menjadi sentral kepada sekurang-kurangnya 70 pertubuhan Islam. Jika setiap NGO bersedia untuk menanggung seorang, kita sudah mampu untuk memberi sinar baru kepada 70 anak-anak Palestin!
Dalam sesi perbincangan sampingan pula, saya sempat berbincang dengan rakan ulamak dari Indonesia berhubung usahasama strategik berkaitan isu Palestin ini.
Saya juga mencadangkan supaya Indonesia menubuhkan Persatuan Ulama Sedunia cawangan Indonesia yang disambut baik malah sangat dialu-alukan oleh mereka.
Secara kebetulan, Persatuan Ulama Sedunia Cawangan Malaysia sememangnya sudah merancang untuk membuat lawatan ke Indonesia yang dijadualkan selepas Ramadhan tahun ini.
Lawatan ini sudah pasti akan dimanfaatkan untuk memanjangkan lagi perbincangan yang dimulakan semasa Multaqa.
Antara resolusi lain yang bercaya dicapai dalam Multaqa ini ialah, 'menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran atau hebahan mengenai isu-isu Palestin'.
Resolusi ini boleh dilaksanakan dengan memastikan isu Palestin tidak lagi menjadi bahan ceramah bermusim, tetapi disusun secara bersiri sebagai langkah penerangan jangka panjang.
Resolusi ini bertepatan dengan deklarasi yang diputuskan dalam konvensyen di Shah Alam tahun lalu iaitu semua masjid perlu menyediakan satu sudut penerangan Palestin atau disebutkan juga sebagai ‘Palestine Corner’.
Di sudut itulah pameran segala bahan-bahan berkaitan perjuangan pembebasan Palestin untuk tatapan semua masyarakat yang hadir ke masjid dapat diperlihatkan. Cadangan ini sangat relevan dan bersesuaian dengan konsep 'mewajahkan Palestin sebagai hak seluruh umat Islam'. Palestin tidak wajar hanya sekadar dimiliki masyarakat arab.
Pengajur tak sangka saya boleh cakap Arab
Antara pengalaman yang paling saya syukuri ialah apabila dapat bertemu Mufti Besar Palestin dan menerima hadiah langsung daripada beliau berupa buku karangan beliau sendiri yang berjudul ‘Ar Rasul’.
Beliau memaklumkan yang beliau juga pernah hadir ke Malaysia lebih kurang 10 tahun yang lampau. Rata-rata rakan yang saya temui dalam Multaqa ini memberikan respon amat baik terhadap intipati ucapan yang saya sampaikan semasa hari pertama program.
Mereka memaklumkan bahawa mereka tertarik apabila saya secara langsung menyentuh mengenai konsep 'hak Palestin sebagai Hak Umat Islam' seperti yang diwahyukan dalam Al-Quran melalui Surah Ali Imran.
Ada juga yang melucukan apabila pihak penganjur sendiri tidak menyangka yang saya boleh berbahasa Arab sehingga mereka menyediakan penterjemah untuk saya! Hal ini kerana semasa berhubung untuk urusan jemputan, kami hanya berkomunikasi dalam medium bahasa Inggeris.
Bersatu dalam kepelbagaian
Saya juga bersyukur kerana menerusi Multaqa ini, saya telah berkesempatan untuk melihat serta merasai kesatuan jiwa dan fikrah atas paksi perjuangan mengembalikan tanah suci Baitul Maqdis kepada umat Islam.
Walaupun yang menghadiri Multaqa ini adalah para ulama dari pelbagai aliran mazhab seperti Sunni, Sufi, Salafi, ‘Ibadi, Syiah dan banyak lagi, namun perbezaan ini tidak langsung menimbulkan rasa kekok untuk para peserta bergaul dengan kasih sayang demi Palestin.
Saya merasa insaf apabila melihat bagaimana profesionalnya para ulama dari Tunisia, Maghribi, Sudan dan beberapa negara Afrika yang sedang mengalami pergelokan di tanah air masing-masing, namun masih dapat hadir berhimpun dan bersatu dengan mengenepikan perbezaan yang wujud.
Perkara ini mengingatkan saya tentang perkembangan gerakan Islam di Malaysia. Dalam konteks Malaysia, kita sudah ada majlis perundingan badan-badan NGO Islam yang besar dan kukuh serta diiktiraf.
Ini merupakan satu ruang yang perlu dimanfaatkan oleh semua pertubuhan Islam di Malaysia untuk duduk semeja, mengenepikan perbezaan dan berbincang mengenai perkara-perkara berkait kepentingan umat Islam amnya.
Dalam hal ini, saya sebagai aktivis PAS melihat terlalu banyak peranan yang boleh dimainkan oleh parti Islam di Malaysia ini sekiranya jaringan yang strategik dapat dibina bersama pertubuhan-pertubuhan NGO Islam yang ada.
Walaupun PAS sebuah parti politik, PAS seharusnya boleh mencari ruang untuk berganding bahu bersama badan-badan NGO ini untuk membolehkan hal ehwal umat Islam ditangani secara bersepadu.
Syor tubuh Unit Palestin
Dalam soal perjuangan pembebasan Palestin ini, PAS merupakan antara organisasi yang mempunyai hubungan baik dengan Hamas.
Saya masih ingat suatu ketika dahulu setelah Hamas memenangi pilihan raya Palestin menewaskan Fatah, tidak lama selepas itu berlangsung persidangan OIC di Malaysia.
Malangnya, penyertaan wakil Hamas telah ditolak, sebaliknya wakil Fatah pula diterima ke persidangan OIC tersebut sedangkan mereka sudah tidak lagi memiliki mandat pemerintahan.
Jika kita masih ingat, Hamas telah memanjangkan hal ini kepada PAS yang secara langsung telah membuktikan betapa mereka menghormati dan mengiktiraf PAS sebagai pendokong kuat perjuangan umat Palestin.
Oleh itu, PAS seharusnya menjadi agen utama dalam mengangkat agenda perjuangan Palestin di negara ini. Kita seharusnya mempunyai program khusus berkaitan isu Palestin.
Jika boleh, saya suka untuk mencadangkan agar ditubuhkan satu unit di bawah bidang kuasa presiden atau timbalan presiden yang bertanggungjawab menggerakkan kempen pembelaan Palestin secara konsisten.
Unit ini bukan sekadar bertindak memacu kempen kesedaran mengenai keadaan di Palestin sahaja, tetapi turut mengambil tanggungjawab membantu pelarian Palestin yang berhadapan dengan perlbagai rencam permasalahan.
Secara umumnya, saya melihat PAS perlu memimpin dan memperkasa gerakan Islam tanah air. Bukanlah sikap PAS untuk mengambil isu-isu umat Islam secara bermusim dan sambil lewa.
Jika perspektif kita hanya bersifat ‘one-off’ iaitu bantuan tatkala musibah semata-mata, sudah pasti menerusi Umno - yang merupakan parti pemerintah di negara ini - yang miliki seribu satu kekuatan material sudah mampu melaksanakannya. Justeru, apa perlunya PAS sebagai gerakan Islam tanah air?
PAS perlu menjadi peneraju yang memikul isu-isu umat Islam secara konsisten, khususnya isu Palestin dan isu-isu lain membabitkan umat Islam yang tertindas seperti pembantaian umat Islam Rohingya mutakhir ini.
Walaupun kita belum memerintah, tetapi kita perlu sentiasa kehadapan untuk membela masyarakat yang tertindas.
Jika sebelum memerintah Malaysia pun PAS mampu memimpin perjuangan membela golongan tertindas, sudah pasti apabila memerintah nanti (insyaAllah) lebih banyak agenda kebajikan PAS akan dapat direalisasikan.
Pupuk adab berbeza pendapat
Apabila menyebut mengenai peluang untuk memerintah, saya melihat Umno/BN pada ketika ini sedang berada pada kedudukan sangat lemah apabila Perdana Menteri merangkap Presiden Umno - Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berhadapan dengan konflik dari dalam partinya sendiri.
Inilah peluang untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa kini masanya untuk kita menolak Umno/BN setelah lebih 50 tahun mereka gagal memanfaatkan nikmat hasil kekayaan yang Allah kurniakan di bumi bertuah Malaysia ini dengan penuh amanah dan bijaksana.
Dalam keadaan ini, rakyat sudah pasti meletakkan harapan kepada PAS dan pastinya Pakatan Rakyat untuk merealisasikan perubahan. Pakatan Rakyat pula perlu terus mempercayai PAS memandangkan PAS sudah diterima oleh segenap masyarakat termasuk daripada rakan-rakan bukan Islam.
Dalam masa yang sama, rakan-rakan dari parti komponen Pakatan Rakyat perlu faham bahawa PAS mempunyai dasar perjuangan yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah sepertimana termaktub dalam perlembagaan PAS itu sendiri.
PAS sudah membuktikan dengan kuasa yang diperolehi di Kelantan, tidak ada masyarakat bukan Islam yang tertindas. Malah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah menunjukkan satu contoh yang luar biasa apabila beliau menyantuni dan melawat sendiri ke Wat Sami Buddha terbesar di Asia yang terbina di Tumpat Kelantan.
Ini menunjukkan betapa sistem pentadbiran Islam sangat terbuka dan menghormati hak masyarakat untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
Inilah corak pentadbiran Islam yang mengamalkan wasatiyah (kesederhanaan). Tanpa wasatiyah, gerakan Islam akan terjurus kepada radikalisme seperti IS yang pada pandangan saya sudah bertindak diluar batasan Islam.
Kita juga tidak mahu wasatiyah seperti tafsiran Umno yang hakikatnya bertindak mengikut jalur ekstrim perkauman. Bahkan kerakusan Umno/BN yang melahap hasil kekayaan negara sehingga rakyat menjadi mangsa, juga tidak perlu lagi saya ungkapkan.
Akhir sekali, mengambil semangat dan pengajaran yang saya perolehi daripada Multaqa di Beirut, saya melihat PAS perlu segera melakukan anjakan dalam usaha memupuk kembali silaturrahim dan menyemai semula adab dalam berkhilaf.
Jika kita terus hidup dalam perbezaan yang membawa perbalahan, maka langkah PAS untuk menjadi gerakan Islam yang mampu menaungi perjuangan umat Islam di peringkat global adalah masih jauh. Seharusnya semua perbezaan ini diselaraskan segera dengan menghalatujukan matlamat yang satu.
Apabilah kita mempunyai ‘Ghayah’ atau halatuju yang jelas, sudah pasti kita akan faham untuk sekurang-kurangnya mengkoordinasi perbezaan seterusnya membina persefahaman yang kukuh dan kuat.
Persefahaman atau Wahdah inilah yang akan memastikan PAS terus relevan bagi mempersadakan perjuangan Islam di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
AHMAD AWANG calon presiden PAS dan bekas anggota Majlis Syura PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan