Jakim tarik sijil halal Secret Recipe

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menarik sijil pengesahan halal Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd disebabkan pelanggaran prosedur pensijilan melibatkan kesalahan kebersihan dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) yang serius.
Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Hab Halal jabatan Hakimah Mohd Yusoff menegaskan penarikan sijil itu bukan disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk itu.
Penarikan sijil tersebut berkuatkuasa 7 Mei lalu.

Katanya, bahagian tersebut telah memanggil syarikat itu dan mereka berjanji akan melakukan tindakan segera terhadap kesalahan yang dilakukan sehingga menyebabkan sijil halal ditarik balik.

"Jakim amat memandang serius perkara ini dan mengingatkan kepada setiap pemegang sijil pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian persijilan Halal Malaysia dari masa ke semasa.

"Tindakan akan juga diambil tanpa kompromi kepada mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran terhadap pematuhan piawaian persijilan halal setelah memiliki sijil pengesahan Halal Malaysia," kata Hakimah.

Hakimah juga berkata penarikan sijil tersebut tidak menghalang syarikat tersebut untuk memohon semula sijil halal setelah tindakan pembetulan dibuat dan mematuhi piawaian pensijilan.

Menurutnya lagi, bahagian itu akan membuat penilaian semula terhadap permohonan tersebut berdasarkan pemeriksaan dan pematuhan ke atas ISO (Standard Malaysia): 1500:2009 dan manual prosedur persijilan Halal Malaysia 2014.

"Jakim jiga ingin menasihatkan pengguna agar tidak membuat andaian pelbagai dan menyebarkan isu ini secara salah," katanya.

Sementara itu, Secret Recipe ketika dihubungi Malaysiakini berkata mereka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan