Kos belanja perkahwinan dan kos sara hidup yang meningkat punca membunuh apabila diajak kahwin?

Kes seorang ibu tunggal beranak empat yang dibunuh oleh kekasihnya kerana sering mendesak untuk berkahwin, menarik perhatian ramai.

Apatah lagi kekasihnya itu merupakan seorang guru agama yang belum berkahwin dan lebih muda daripadanya.

Turut pernah dilapor ialah kes seorang wanita dibunuh tunangnya dengan dicekik dan dihumban dari atas jambatan. Pada wanita tersebut turut terdapat nota yang menceritakan masalah yang dihadapinya.

Diminta mengulas terutama mengenai kes membunuh kerana diajak berkahwin, pendakwah bebas Halim Din berkata dengan tidak mengambil kira faktor-faktor khusus yang tidak diketahui puncanya, secara umum kejadian mungkin disebabkan krisis emosi yang melibatkan masalah dalaman.

"Mereka ada kalanya bukan tidak mempunyai iman (dalam kes guru agama), tetapi disebabkan dorongan nafsu amarah atau nafsu binatang (bahimiah)," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata tertekan kerana kos dan belanja perkahwinan yang kian meningkat juga boleh menjadi bebanan kepada pasangan yang mahu berkahwin.

"Namun hakikatnya, jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu sepatutnya dipermudahkan, bukan disusahkan dengan perkara-perkara seperti hantaran yang tinggi dan sebagainya," katanya.

Tak masuk akal

Dari sudut psikologi, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Teknologi MARA, Prof Dr Osman Che Bakar menyifatkan tindakan membunuh berpunca daripada ketidakmampuan manusia mengawal kemarahan dan emosi.

Beliau berkata individu yang mempunyai masalah psikiatrik akan mudah marah dan membuat keputusan yang tidak masuk akal.

"Mereka ini (apabila gagal mengawal emosi marah), tidak terfikir pun bahawa tindakan mereka akan membawa mereka ke tali gantung. Inilah yang dikatakan impulse control disorder yang bermaksud tergerak untuk membuat sesuatu perkara yang memudaratkan.

"Terdapat juga individu yang tidak tahu mengenal pasti masalah mereka dalam keadaan marah. Mereka ini gagal mengawal tekanan dan kemarahan dan inilah yang dikaitkan dengan masalah psikiatrik," katanya.

Osman tidak menolak keadaan semasa terutama membabitkan kos sara hidup yang kian meningkat mungkin antara faktor penyumbang kepada permasalahan, namun ia bukan alasan konkrit untuk mana-mana pihak bertindak di luar jangkaan sehingga sanggup membunuh.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan