Langkah Tabung Haji jual semula tanah menjengkelkan, permainkan rakyat - Husam Musa

Susulan keputusan Lembaga Tabung Haji (TH) menjual semula tanah yang dibeli dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di projek Tun Razak Exchange (TRX), Datuk Husam Musa bertanya sama ada langkah itu diambil semata-mata atas nasihat perdana menteri (PM).

Naib presiden PAS itu berkata, penjelasan Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung perkara itu pada satu sidang media pagi ini hanya menambahkan luka dan mempermainkan rakyat Malaysia.

"Kononnya bagi menghormati perasaan pencarum, tanah berkenaan akan dijual dalam 1 atau 2 minggu ini dengan keuntungan RM5 juta.

"Katanya, atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang diterimanya pagi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil mengingatkan yang Najib juga pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Pada masa sama, penjualan itu diluluskan TH walaupun pada asalnya ia enggan menjual tanah berkenaan," katanya mengulas kenyataan Azeez yang tanah yang dibeli pada harga potongan RM188.5 juta itu akan dijual bagi menjaga sensitiviti pendeposit TH.

Husam berkata, pengumuman Azeez itu menimbulkan banyak persoalan, termasuk berhubung integriti TH dan kredibiliti ahli Parlimen Baling itu.

"Bilakah mesyuarat lembaga yang meluluskan penjualan itu bersidang? Jika sebelumnya ia enggan menjual, tetapi selepas mendapat nasihat perdana menteri pagi ini, ia mengubah pendiriannya dengan bersetuju menjual.

"Jika bersidang, adakah dalam tempoh sesingkat itu, 1 kertas yang lengkap sebagai asas pertimbangan keputusan dibuat dapat disiapkan?

"Adakah dengan ‘nasihat perdana menteri’, sebuah lembaga boleh menukar keputusannya sebegitu mudah?

"Jika itu kedudukan TH, bagaimana kita boleh meyakini ia membuat keputusan pembelian itu sebelum ini tidak semata-mata hanya atas ‘nasihat perdana menteri’?" soalnya.

Husam berkata, rakyat Malaysia kecewa dengan “penjelasan” TH hari ini yang disifatkannya hanya satu pengesahan yang ia melaksanakan “tugas sucinya” membayar RM188.5 juta kepada 1MDB.

Beliau dipercayai merujuk tindakan TH yang dianggap menyelamat atau “bailout” 1MDB.

"Tidak ada pembatalan transaksi, tidak ada kekesalan dan permohonan maaf.

"Bahkan tidak ada penjelasan kenapa bayaran penuh dilunaskan pada masa perjanjian jual beli itu dimeterai dan bayaran yang begitu tinggi diluluskan.

"Juga isu lain yang terdapat dalam dokumen yang dibocorkan," katanya merujuk dokumen yang didedahkan sebuah blog yang dikenali sebagai "The Benchmark".

Pada masa sama, Husam juga menulis surat terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, meminta beliau “menyelamatkan TH” sebagai menteri bertanggungjawab hal ehwal agama.

Beliau memohon Jamil mengambil langkah membatalkan transaksi antara TH dan 1MDB tersebut, menamatkan perkhidmatan Azeez dan merombak semula seluruh ahli lembaga dan pengurusan kanan yang terlibat dengan transaksi itu.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, keputusan menjual balik tanah 1MDB itu "sangat menjengkelkan" kerana katanya, TH perlu membatalkan pembelian tanah dan bukan menjualnya kepada pihak lain.

"Rakyat marah kerana duit TH disalurkan kepada 1MDB yang bermasalah apabila mereka di TH yang membuat keputusan membeli tanah daripada 1MDB juga memegang jawatan penting dalam 1MDB.

"Menjual tanah kepada pihak lain bukanlah penyelesaian dan tidak akan dapat menutup bangkai hutang 1MDB.

"Kerana, ini bukan tindakan pembetulan, ini tindakan menutup kesilapan tanpa memikirkan bagaimana perkara ini boleh dielak daripada berulang," katanya dalam satu kenyataan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mahu isu itu segera dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan demi kepentingan hak rakyat.

Katanya, perdana menteri sendiri harus menjelaskan kepada semua ahli Parlimen berhubung perkara itu dan membentangkan hasil bedah siasat terperinci terhadap audit kewangan 1MDB.

"Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi dengan isu 1MDB ini serta terus menanggung beban pelbagai salah urus tadbir kewangan yang pernah berlaku sebelum ini.

"Langkah sumbang TH dan 1MDB ini bakal mengundang malapetaka besar bagi negara lantaran ketidakpedulian kerajaan terhadap teguran Jabatan Audit Negara selama ini.

"Apatah lagi yang terpalit dalam isu ini ialah Tabung Haji yang selama ini diyakini rakyat jelata untuk tabungan khas mereka," katanya
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan