PAS bina Umno roboh: Tragedi ‘hitam’ Masjid Bujal dalam kenangan (video)

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

TANGGAL 26 Mei 2005 lalu, kira-kira jam 2.30 petang. Ketika itu langit tiba-tiba menjadi mendung setelah panas terik seolaholah ingin “menangis.” Namun, bagi “sang penguasa” ketika itu tidak ada yang peduli.


Kerajaan BN Negeri Terengganu dengan rakus telah merobohkan sebuah masjid di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kijal dengan dibantu jentera jabatan kerajaan dan anggota polis.

Tragedi “hitam” itu, bukanlah kemuncak kezaliman kerajaan BN Terengganu yang dipimpin oleh Menteri Besarnya ketika itu, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang baharu setahun lebih memerintah negeri.

Manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal ketika itu dan hingga kini adalah Dato’ Seri Ahmad Said. Kedua-dua pemimpin Umno Terengganu itu pernah dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu tetapi hanya untuk satu penggal sahaja.

Selepas peristiwa pe robohan “rumah Allah” itu, disusuli pula dengan beberapa tragedi hitam yang mencengkam rakyat antaranya perobohan rumah di RTB Belimbing Api, Jabi.

RTB Padang Landak, Besut dan banyak lagi.

Masjid Bujal di RTB tersebut juga dinamakan dengan “Masjid Desa Makmur” hasil sumbangan derma orang ramai. Namun, akhirnya menyembah bumi menjadi mangsa nafsu rakus Umno Terengganu.

Kisah saksi mata

Penulis ketika itu, antara orang yang pernah menjadi saksi mata bagi melihat sendiri tragedi perobohan Masjid Bujal dan sekali gus sempat merakamkan detikdetik bersejarah itu melalui lanser kamera.

Pada sebelah pagi itu, operasi bersepadu oleh beberapa jabatan kerajaan dengan rakus merobohkan kira-kira 10 buah rumah peserta RTB Bujal yang masih dalam kerangka pembinaannya.


Masjid RTB Bujal itu dibina di atas lot PT 3294 yang dikhususkan sebagai tapak surau dalam Pelan Susunatur Perumahan Kampung Bujal sebagaimana diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 3 Ogos 2003. Ketika itu, kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS Terengganu dan Menteri Besarnya, Datoí Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Manakala, satu lot tanah lagi dikhaskan pembinaan surau ialah di PT 3297. Pelan susunatur tersebut menyediakan 363 unit kediaman untuk diisi peserta dan ianya jauh melebihi daripada 40 orang yang menjadi syarat untuk mendirikan solat Jumaat.

Para pesertanya membina masjid tersebut dengan niat untuk dijadikan masjid, untuk beriktikaf dengan adanya mihrab di bahagian hadapan dan sebuah kolah tempat mengambil wuduk serta susunatur jubin lantainya membentuk saf sembahyang.

Rundingan demi rundingan dibuat antara pemimpin PAS tempatan ketika itu, bekas Adun Air Putih, Ismail Harun dengan pihak pegawai Pejabat Daerah Kemaman.

Namun begitu, “ibarat mencurah air ke daun keladi” seolah-olah perbuatan sia-sia berunding dengan “sang penguasa” yang mempunyai dendam kesumat terhadap rakyat dan PAS.

Adun Chukai, Hanafiah Mat ketika itu merupakan Setiausaha PAS Kawasan Kemaman turut mencerita pengalaman yang tidak dapat dilupakannya berhadapan dengan peristiwa tersebut.

Katanya, pada hari kejadian beliau ditugaskan memimpin satu himpunan secara aman di Padang Astaka, Chukai bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Daerah Kemaman.

Menurutnya, satu kumpulan lagi dikerah berhimpun di lokasi tapak RTB Bujal bagi mempertahankan masjid tersebut daripada diroboh kan oleh pihak berkuasa negeri.

Merayu agar jangan diroboh

“Saya tiba di lokasi RTB Bujal kira-kira jam 10.30 pagi dan orang ramai memenuhi sekitar masjid itu sambil melaungkan takbir dan merayu supaya masjid tidak dirobohkan.

“Akhirnya, tindakan meroboh dibatalkan apabila pemandu jentolak pihak Majlis Daerah Kemaman seperti “ketakutan” dan lemah semangat hingga terpaksa dipapah oleh orang ramai.

“Keputusan tidak jadi roboh Masjid Bujal pada pagi itu cukup menggembirakan dan masing-masing (orang ramai dan pihak berkuasa) pulang meninggalkan lokasi RTB Bujal,” jelasnya.

Malah, beliau pernah ditangkap dan di lokap di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kemaman selama empat hari berkaitan dengan siri-siri ceramah bantahan bagi menentang kezaliman tersebut.

Namun, “disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari.”

Sekitar jam 2.30 petang, tiba-tiba gerombolan “sang penguasa” tadi datang kembali serta menceroboh rumah Allah tersebut.

Jeritan demi jeritan kedengaran apabila puinpuin kayu dan batu-bata binaan Masjid Bujal ditolak secara paksa dengan menggunakan dua buah jentolak milik Pejabat Daerah Kemaman.

Selepas peristiwa perobohan masjid tersebut, rombongan demi rombongan dari seluruh negara datang bagi melawat kesan keganasan kerajaan BN Terengganu itu sehingga akhirnya pada 7 Julai 2015, kesan runtuhan itu terpaksa dihapuskan sama sekali bagi menghilang kan bukti serta menutup kejahatan pemerintah meroboh sebuah masjid.

Kini setelah 10 tahun berlalu, adakah umat Islam di negeri ini khususnya di Kemaman merasa sensitif dengan tragedi tersebut?

Mengenai RTB Bujal, semasa Kerajaan PAS memerintah Terengganu, hanya 125 daripada 363 lot kediaman telah dibahagikan kepada mereka yang layak setelah membuat permohonan untuk mendapatkan tanah tapak rumah.

Kerajaan PAS mengagihkan lot tapak kediaman di kawasan itu kepada mereka yang sudah berkeluarga dan layak tanpa mengira fahaman politik sekaligus menolak tuduhan pemimpin Umno, yang mengatakan PAS membahagikan tanah di kawasan tersebut kepada para penyokong parti itu sahaja.

Sekiranya pemimpin Um no beranggapan sedemikian, maka mereka yang berkuasa boleh mengagihkan lot-lot yang masih kosong kepada penyokong mereka (Umno) tanpa merobohkan rumah yang telah dibina oleh peserta yang mendapat tanah secara sah di situ daripada kerajaan PAS sebelum ini.

Ini kerana, berdasarkan pelan cadangan susunatur perumahan tersebut luas keseluruhan RTB Bujal itu adalah 64.4056 hektar di mana 40.4608 hektar adalah untuk petak kediaman.

Selain surau, lot-lot untuk kedai, balai raya, tadika, padang bola, klinik desa, kubur, taman permainan kanak-kanak, tangki air dan pencawang elektrik juga telah disediakan dalam pelan cadangan susunatur yang berasaskan pandangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri.

Natijah dari peristiwa perobohan Masjid Bujal itu, pelbagai protes dan bantahan dibuat sehingga ledakan kemarahan rakyat itu diterjemahkan melalui demonstrasi aman di hadapan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 19 Jun 2005 yang disertai sekitar 10,000 orang.

-Detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan