Penghuni asrama gempar, pelajar perempuan berusia 15 melahirkan anak

Bersalin
Miri:Tangisan bayi dari sebuah bilik asrama sebuah sekolah di bandar raya di sini, membongkar rahsia kelahiran bayi perempuan masih bertali pusat yang dilahirkan seorang pelajar tingkatan tiga hingga menggemparkan pengurusan sekolah berkenaan, kelmarin.

Kejadian jam 10.50 malam itu disedari rakan remaja terbabit selepas terdengar pelajar perempuan berusia 15 tahun itu mengerang kesakitan disusuli tangisan bayi di dalam biliknya.

Sumber berkata, sebaik mendekati katil pelajar berkenaan, dia tergamam melihat keadaan katil dipenuhi darah dan ada bayi di sebelah rakannya itu.

Menurutnya, keadaan fizikal pelajar berkenaan sangat lemah selain kelihatan cemas dengan kejadian berkenaan selepas melahirkan bayi di sekolah.

“Bimbang dengan keselamatan pelajar itu, rakan sebilik remaja berkenaan memaklumkan kepada pihak sekolah sebelum mendapatkan bantuan ambulans.

“Pelajar terbabit dikatakan ada mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, namun rakan lain menyangka remaja terbabit hanya sakit senggugut, malah sebelum itu tiada siapa menduga pelajar itu sedang mengandung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, remaja berkenaan mengaku pernah terlanjur dengan teman lelakinya yang berusia 20 tahun dan mengenali lelaki itu sejak di sekolah rendah lagi.

“Remaja terbabit tidak mengetahui kediaman teman lelakinya itu, bagaimanapun dipercayai dia menetap di Batu Niah.

“Polis kini sedang mengesan teman lelakinya itu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Miri berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta pihak sekolah tampil memaklumkan kejadian itu kepada PPD Miri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan