Faekah dakwa pegawai MB Selangor ‘sibuk menjayakan’ projek perumahan RM10 bilion

Pegawai khas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin berkata kredibiliti Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali selama 9 bulan mengendalikan negeri itu sepatutnya dipertikaikan. – Gambar ihsan Selangorku, 29 Jun, 2015.Pegawai khas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin berkata kredibiliti Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali selama 9 bulan mengendalikan negeri itu sepatutnya dipertikaikan.
Pegawai khas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin membela bekas menteri besar Selangor itu dengan mempertikaikan adakah masyarakat merasai “kemakmuran” selepas Darul Ehsan Investment Group (DEIG) ditubuhkan di bawah pentadbiran Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar yang baharu.

Faekah juga mendakwa pegawai menteri besar dalam DEIG dikatakan sibuk berbincang “di atas meja mahupun di bawah meja” dengan pelbagai pihak untuk menjayakan projek perumahan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10 bilion.

Beliau juga mempertikaikan sama ada rakyat menikmati “kemakmuran” secara saksama dengan pendirian berbeza mengenai lebuh raya bertol Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) di Kinrara/Petaling Jaya/Damansara/Subang yang kononnya dibatalkan sedangkan EKVE, projek dianugerahkan kepada Ahmad Azri Resources Berhad di Ukay Perdana/Bukit Antarabangsa diluluskan.

Faekah berkata demikian sebagai tindak balas terhadap kritikan Azmin kepada Khalid dalam isu kegagalan memuktamadkan penstrukturan semula industri air di negeri itu.
Katanya, kredibiliti Azmin selama 9 bulan mengendalikan negeri itu sepatutnya dipertikaikan kerana dalam isu penstrukturan semula industri air itu, menteri besar sepatutnya hanya perlu melaksanakan terma dan syarat perjanjian utama yang termeterai hasil rundingan kompleks dan holistik selama 5 tahun dalam lebih 60 sesi mesyuarat dan perbincangan di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Faekah berkata Azmin tidak sewajarnya menyalahkan Khalid dalam kegagalannya memuktamadkan perjanjian itu.

"Apatah lagi apabila aspek paling penting dan rumit dalam proses penstrukturan semula ini yang melibatkan struktur dan kerangka kewangan disempurnakan Tan Sri Khalid selepas menolak perkhidmatan bank pelaburan antarabangsa, sekali gus menjimatkan kerajaan negeri daripada membayar fi dan caj bernilai sekurang-kurangnya RM20 juta," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata segala tuduhan liar PKR terhadap Khalid berkaitan penyelesaian luar mahkamah dengan Bank Islam, Kidex atau mana-mana dakwaan salah guna merupakan tuduhan berniat jahat, tidak berasas dan berunsur fitnah.

"Perkara itu dibawa ke mahkamah melalui saman malu yang difailkan Tan Sri Khalid terhadap PKR.

"Setakat hari ini, meskipun beberapa dokumen utama difailkan PKR termasuk pernyataan pembelaan, tidak ada satu bukti pun yang mampu diketengahkan berkenaan tohmahan dan fitnah tersebut," katanya.

Faekah juga mengulangi gesaan Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang sebelum ini supaya memberikan jawatan menteri besar kepada individu lebih layak kerana menganggap Azmin mensia-siakan peluang yang diberikan untuk membuktikan keupayaannya.

"Adakah ‘kemakmuran’ yang dikecap bersandarkan kegagalan demi kegagalan Azmin untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan bekalan air bersih sehinggakan sekitar 600 penduduk Selangor berarak ‘bersenjatakan’ gayung dan baldi ke Bangunan SUK di Shah Alam baru-baru ini?"
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan