Faizal Tahir layak ganti ahli parlimen PAS di Shah Alam?

Lokman Mustafa
Saya telah menjadi pengundi berdaftar di Shah Alam sejak tahun 1995. Kali pertama saya memenuhi tanggungjawab politik saya di ibu negeri Selangor adalah apabila saya mengundi dalam PRU10 pada tahun 1999.

Pada zaman Reformasi, Shah Alam menyaksikan persaingan sengit antara Ezam Mohd Nor dari PKR dan calon BN, Mohd Zin Mohamad.

Mohd Zin muncul pemenangnya, tetapi dengan majoriti tipis.
Pada tahun 2004, BN berjaya mempertahankan kerusi itu dengan selesa di PRU11 dengan meletakkan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Aziz Shamsuddin.

Khalid SamadKhalid Samad
Namun empat tahun kemudian, penduduk Shah Alam mengundi untuk perubahan dengan memilih calon PAS, Khalid Samad sebagai ahli parlimen mereka.

Bekas jurutera Petronas itu, yang juga adik kepada veteran BN Shahrir Samad, mengalahkan Aziz dengan majoriti 9,314 undi.

Khalid kemudian mengulang kejayaannya dua tahun lalu dalam PRU13 dengan mematahkan cabaran daripada peguam kelahiran Kedah, Zulkifli Nordin yang mewakili BN.

Baru-baru ini, konflik dalaman PAS telah menyaksikan kumpulan progresif yang turut menampilkan Khalid, digulingkan oleh kem ulama semasa muktamar PAS awal bulan ini.

Oleh itu, masa depan Khalid dalam PAS masih tidak menentu.

Bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin progresif lain parti Islam itu yang menggelarkan diri mereka G18, khabar angin bertiup bahawa Khalid mungkin akan membentuk sebuah parti politik baru untuk meneruskan perjuangan mereka.

Ini seterusnya, akan mewujudkan kemungkinan yang tidak berkesudahan untuk perebutan untuk kerusi parlimen Shah Alam.

Bagaimanakah parti Islam itu akan bertindak balas?

Jika PAS akan mencalonkan seorang calon lain dalam PRU14 tiga tahun dari sekarang, saya percaya yang menantu presiden PAS, Zaharuddin Muhammad perlu dipilih bagi menggantikan Khalid.

Zaharuddin adalah antara pemimpin dari kumpulan ulama yang lantang bersuara menentang dakwaan khianat Khalid terhadap presiden, Abdul Hadi Awang.

Ketua penerangan pemuda PAS itu juga pernah berkhidmat sebagai ketua agama sebuah syarikat milik negara semasa pentadbiran Khalid Ibrahim, dan memainkan peranan penting dalam pertandingan tiga penjuru di antara PAS, BN dan PSM bagi kerusi DUN Kota Damansara semasa PRU13.

Oleh itu, pengundi di sini mungkin dapat melihat pertandingan antara kem konservatif PAS dan Umno-BN.

Tetapi, setelah kerjasama Pakatan Rakyat mereput, parti-parti lain juga berkira-kira untuk bertanding di Shah Alam.

PKR harus mempertimbangkan untuk mencalonkan Nik Nazmi Nik Ahmad, 33 tahun, yang kini merupakan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor.

Nik Nazmi adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Kelana Jaya, dan menetap di Denai Alam, sebuah bandar di Shah Alam.

Seorang pemimpin muda pintar yang lulus dari King College London, Nik Nazmi telah dipilih sebagai ketua Angkatan Muda Keadilan (pemuda PKR), dan akan menjadi pilihan yang popular di kalangan pengundi-pengundi muda di sini.

Selain itu, DAP juga boleh mengambil langkah menampilkan salah seorang tokohnya.

Mungkin DAP boleh meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud, seorang bekas pelajar undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang sememangnya sinonim dengan Shah Alam.

Dyana tumpas kepada ahli politik veteran, Mah Siew Keong dari BN di kerusi parlimen Teluk Intan tahun lepas, tetapi mungkin lebih sesuai untuk kawasan ‘alma mater’ beliau.

Walau bagaimanapun, Shah Alam terdiri daripada 60 peratus pengundi Melayu, dan 40 peratus pengundi Cina dan India.

Oleh itu, parti-parti lain seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) perlu mencuba nasib mereka dengan meletakkan calon tanpa mengira kaum.

Secara peribadi, saya percaya calon-calon bebas yang berkelayakan juga perlu dialu-alukan di sini.

Dan saya teruja jika penyanyi Faizal Tahir, seorang penduduk tempatan, mengambil keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Faizal mendapat tumpuan berita apabila muncul dalam pertandingan nyanyian "One in A Million", dengan memakai lambang Superman pada T-shirt dan tali pinggangnya.

Dia kalah pada peringkat akhir kerana penonton TV mengundi Suki, tetapi dari segi populariti, Faizal, 36 tahun, sudah pasti disayangi oleh ramai orang.

Di samping itu, Faizal mengikuti politik tempatan seperti yang dibuktikan oleh tweet beliau: "Keluarga saya dan saya adalah penduduk di Shah Alam. Kami benar-benar merasa terhina dengan penamaan calon yang ditawarkan kepada warga Shah Alam," yang mungkin merujuk kepada Zulkifli Nordin semasa PRU lalu.

Faizal Tahir sebagai Ahli Parlimen Shah Alam? Okay juga tu.

Saya akhiri nukilan saya ini dengan meminjam tajuk dari sebuah lagu Faizal Tahir.

Assalamualaikum Dunia
-antdaily-

3 ulasan:

  1. faizal bukan ust... dia tetap jebon

    BalasPadam
  2. Kenapa,

    Khalid Samad tidak baguskah menguruskan kawasan Parlimen beliau, makanya beliau perlu ditukar? Alangkah bagusnya jika Khalid Samad VS Din Ayam and others including UMNO/BN to step aside ...just to allow the whole country to see siapa yang rakyat pilih diantara dua puak dalam Pas; Progressive atau Ulamak Conservative.

    BalasPadam
  3. Mungkin Herman Tino pun nak bertanding juga. Aisyah pun apa kurangnya. Mawi pun x kurang juga populariti nya. Alang2 taruk Amy Search sekali baru lah meriah. Dah mcm pertandingan nyanyi je....

    BalasPadam