Kanak-kanak 2 tahun bersendirian di tepi jalan jam 4 pagi disangka makhluk halus (Gambar)

Disangka makhluk halus
BANDARAYA MELAKA: Seorang buruh binaan terkejut apabila sekujur tubuh disangka makhluk halus yang dijumpai bersendirian di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Tun Perak, kira-kira jam 4 pagi semalam sebenarnya seorang kanak-kanak.
Ridzwandean Razali, 27, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Ayer Keroh Heights sebelum terserempak dengan kanak-kanak berkenaan.

Katanya, ketika terserempak dengan Mohd Faqhrul Radzee, 2, dia kelihatan tidak terurus dan ketakutan malah matanya bengkak dipercayai akibat menangis terlalu lama serta kelaparan.

"Dalam samar-samar, saya nampak kelibat macam makhluk halus (toyol) di tepi jalan sebab tubuhnya kecil. Saya panggil dia, tapi dia tak pandai cakap, hanya sebut mama...mama.

"Saya bagi dia minum air mineral dan bagi makan nasi ayam sebab dia nampak macam betul-betul haus dan lapar," katanya.

Tambah Rizdwandean, dia menunggu kira-kira setengah jam di kawasan itu sekiranya ada individu yang mengenali kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun kata Rizdwandean, dia mengambil keputusan membawa pulang kanak-kanak itu ke kediamannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh, kira-kira jam 6.30 pagi selepas berbincang bersama ibu serta kakaknya mengenai perkara itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Bakar berkata, kanak-kanak itu dijaga oleh jirannya selepas ibunya berusia 31 tahun ditahan polis sejak 21 Jun lalu kerana membawa kenderaan curi.

"Faqhrul Radzee adalah anak keempat dari lima beradik. Dia dan adik bongsunya berusia lapan bulan dijaga ibunya sementara tiga lagi berumur dua hingga enam tahun dijaga neneknya di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

"Bagaimanapun, semasa kejadian, jirannya membawa kanak-kanak ini bersahur pada jam 3 pagi tetapi dia ditinggalkan bersendirian di situ dan wanita berkenaan menghilangkan diri,” katanya.

Menurut Razali, pihaknya akan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 sekiranya terdapat unsur pengabaian terhadapnya dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan