Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana seorang tokoh yang pernah mendapat pertolongannya kini mengambil upah untuk memburuk-burukkan beliau.
Tanpa menamakan individu tersebut, Mahathir berkata “rakannya” itu turut memberi amaran agar berhenti menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tidak lagi membangkitkan mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd.
“Beliau memberi amaran, jika saya teruskan, saya akan meninggalkan nama buruk. Saya beritahu dia, apa yang orang fikir tentang legasi saya, jika ada sedikitpun, ia tidak penting.
“Saya bimbang dengan apa yang berlaku dalam negara. Nama baik kita sedang tercalar,” kata Mahathir lagi dalam tulisannya di blog chedet.cc.
Walau tidak menamakan mana-mana individu, tulisan itu dipercayai merujuk kepada tokoh pengiklanan, Tan Sri Lim Kok Wing.
Lim dilantik menjadi penasihat khas kepada PM bulan lalu.
"Beliau diberi tugas untuk memburuk-burukkan saya, untuk menjahanamkan apa yang dipanggil nama baik saya.
"Saya fikir, beliau dan bos beliau percaya bila saya akan jadi tidak popular, kutukan saya ke atas segala cacamarba melibatkan 1MDB tidak akan dipedulikan orang," tulisnya lagi.
Beliau juga menjangka kempen yang lebih agresif akan dilancarkan untuk memburuk-burukkan beliau dan bagi menggilap imej Najib.
"Nyatalah jumlah wang yang besar dibelanjakan untuk kempen ini. Sahabat saya itu dilantik ke Pejabat Perdana Menteri dan berusaha keras untuk menyembunyikan kesalahan 1MDB," kata Mahathir. - Mkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan