Ke mana hilangnya Husam Musa

Hj Osama
Muktamar baru berlabuh. Kekalahan menyeluruh pemimpin-pemimpin yang dianggap jebon di hampir setiap sayap, dan AJK PAS pusat menjadi bualan di setiap kedai kopi dan alam siber.

Dalam kesibukan dan kerancakan muktamar, kita sebenarnya hampir terlupa dengan insan yang bernama Datuk Husam Musa ini.

Bekas naib presiden yang pernah dicanang sebagai susuk yang akan melawan Presiden Pas ini hilang dalam radar PAS.

Menurut beberapa sumber terdekat, beliau sakit. Sakit jenis apa, tiada yang dapat mengesahkannya. Ada yang kata kena strok, ada yang kata kena jantung. Malah lebih jahat, ada yang kata terkena tulah kerana mahu melawan presiden.

Yang pasti Husam tidak hadir semasa mesyuarat agung kawasan Kubang Kerian dan ceramah bersama Lim Kit Siang di Padang Perdana yang menjadi isu gempar kerana Lim Kit Siang memperlekehkan hudud di Serambi Mekah.

Seperti yang diketahui, Husam kalah untuk mempertahankan jawatan naib presiden dalam muktamar terbaru, namun ketiadaan Husam di dalam kehangatan muktamar seolah-olah tidak dipedulikan.

Merupakan salah seorang perwira di zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Husam dilihat sebagai "pergi" bersama pemergian Nik Aziz. Tenggelam dan ditenggelamkan.

Apa pun situasi dan keadaan Husam ketika ini, muktamar bersuara, Husam dan geng-gengnya kini tidak lagi diperlukan. Segala jasa dan bakti selama ini hanyalah mungkin berada di dalam lipatan sejarah.

Semoga Husam tabah dengan ketentuan ini. Saya pasti ramai merindui susuk ini dalam politik Malaysia.
-detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan