Muktamar PAS ke 61 keliru dan celarukan ramai

Subky Latif
KEPUTUSAN pemilihan pimpinan tertinggi PAS 2015-2017 memang sudah diduga tetapi Muktamar itu umumnya mengeliru dan mencelarukan ramai, baik dalam parti itu mahupun orang luar. Hingga pengulas termasuk TV Awani dan tetamunya Dr. Mazlee dari UIAM pun tak tahu terjadi dan apa akan jadi pada parti itu.

Pertama, ramai sangat yang mengharapkan Ustaz Ahmad Awang dapat mengalahkan TG Abdul Hadi Awang sebagai Presiden tetapi tidak menang. Jika ia mengelirukan ia adalah kekeliruan sendiri, bukan dikelirukan oleh Muktamar kerana sekalipun parti itu dilihat bergolak, tetapi mengubah pimpinan itu masa ini adalah tidak mungkin.

Kemudian perwakilan menggugurkan hampir kesemua Anggota Parlimennya yang ada dalam Jawatankuasa Pusat dulu. Yang tinggal Presidennya Ustaz Hadi, Ustaz Idris Ahmad, Dr. Khairudin Aman Razali, Nasarudin Hasan Tantawi dan Nik Abduh, Ketua Dewan Pemuda baru.

Yang terlucut itu adalah MP yang lantang dan terkedepan atau MP yang ada kelas. Mahfuz Omar, Khalid Samad dan Hanipa Maidin terlucut. Demikian juga Siti Zailah Yusuf, Dr. Mariah, Dr. Hatta Ramli dan Datuk Kamaruddin Jaafar pun tak nampak.

Nampak macam mereka tidak dinilai. Tetapi itulah PAS boleh membuat keputusan yang orang tertanya-tanya. Hujung tahun 70-an Adun Kelantan mengundi tidak percaya kepada Menteri Besarnya Datuk Mohd Nasir. Dalam tahun 1982 pimpinan baru PAS yang diketuai oleh Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor memecat 13 ahli Jawatankuasa Pusatnya termasuk Datuk Asri.

Datuk Asri orang yang membangunkan PAS Kelantan dan Terengganu, 11 tahun jadi Presiden dan sekian lama jadi Menteri Besar Kelantan, berani dipecat dengan nekad. 13 pemimpin itu dipecat oleh pemimpin baru, manakala MP yang tidak terpilih sebagai Jawatankuasa Pusat yang terbaru itu adalah oleh perwakilan.

Ia mengeliru an mencelarukan orang yang melihat. Apa punya celaru parti itu?

Apabila PAS dalam BN dihina oleh Umno hujung tahun 70-an dan PAS dikalahkan di Kelantan, orang sangka PAS habis. Bercelaru dan keliru semua orang dalam dan di luar PAS. Dr. Mahathir yang bertanggungjawab menyingkir PAS dari BN dan perancang merampas kerajaan Kelantan untuk ditadbir di bawah kerajaan pusat apabila ditanya jawabnya:

PAS tak akan terkubur. Mereka akan bangun semula.

Benar, 11 tahun kemudian PAS ambil semula Kelantan ketika Mahathir masih Perdana Menteri dan Presiden Umno. Sehingga lebih 12 tahun Dr. Mahathir pun bersara, PAS masih menguasai Kelantan dan hampir menggugat Putrajaya bersama Pakatan Rakyat.

Hanya Dr. Mahathir saja tidak keliru dengan segala yang melanda PAS.

Ketika orang menyangka PAS akan tinggalkan Pakatan Rakyat termasuk sangkaan DAP, ucapan dasar Presidennya Beristiqamah Hingga Kemenangan menyarankan PAS kekal bersama Pakatan Rakyat. Cuma dilepaskannya Dewan Ulama membuat usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP, pengerusi usul menerimanya tanpa bahas.

Kesannya orang PAS kena tinggalkan kedudukannya dalam kerajaan yang dikuasai DAP. Ada protes dalam kalangan perwakilan.

Maka pimpinan PAS mentafsirkan keputusan Muktamar itu belum muktamad kerana ia memerlukan pengesahan Majlis Syura Ulama. Di bawah konsep kepimpinan ulama keputusan tahaluf siyasi diputuskan oleh Majlis Syura dan membatalkannya juga ditentukan oleh Majlis Syura.

Ada orang PAS sudah tinggalkan jawatan kerajaan di Pulau Pinang tetapi Majlis Syura belum putuskan sama ada putus diplomatik dengan DAP. Yang tegas PAS tak tinggal PR. Keliru orang, nak kekal dalam PR tapi hendak bercerai dengan DAP. Mengapa tidak berani tinggalkan saja PR?

Politik PAS ada seni fekahnya, jika tidak dapat semua, jangan tinggal semua. Nabi pesan, jangan tinggal Bukit Uhud! Orang keliru tetapi Dr. Mahathir tahu payah orang PAS tinggalkan jemaah. Jika ada mufarakah solat zuhur, apabila asar bermakmum semula

Tiada ulasan:

Catat Ulasan