MESTI BACA!! PAS dan tragedi sebuah kesombongan

"Bagi pemerhati dan penganalisis yang mengikuti perkembangan dalam PAS secara neutral, agak sukar untuk tidak berasa sedih apabila melihat perkembangan yang berlaku dalam Muktamar PAS ke-61 yang baru berlangsung.

Hal ini lebih dirasakan apabila seseorang mengikuti dengan lebih dekat dan menyaksikan sendiri muktamar yang berlangsung selama tiga hari itu. Pergelutan kuasa yang berlaku sekian lama antara kem agamawan dan kem progresif menemui penamatnya dengan penguasaan menyeluruh kem agamawan.Bagi pemerhati dan penganalisis yang mengikuti perkembangan dalam PAS secara neutral, agak sukar untuk tidak berasa sedih apabila melihat perkembangan yang berlaku dalam Muktamar PAS ke-61 yang baru berlangsung.

Hal ini lebih dirasakan apabila seseorang mengikuti dengan lebih dekat dan menyaksikan sendiri muktamar yang berlangsung selama tiga hari itu. Pergelutan kuasa yang berlaku sekian lama antara kem agamawan dan kem progresif menemui penamatnya dengan penguasaan menyeluruh kem agamawan.

Di sebalik semua label dan alasan ketidaksenangan yang dimomokkan terhadap golongan progresif ini, tidak ada faktor yang dianggap lebih berperanan penting selain “kesombongan”. Kesombongan merupakan faktor yang menggarisbawahkan keterpinggiran golongan progresif ini dalam PAS.

Kaedah kempen, pola pengundian dan perjalanan muktamar yang berlangsung dapat dianggap sebagai kemuncak kepada manifestasi kesombongan. Kerana sombong dan terlalu berbangga dengan dominasi terhadap ilmu agama, maka mereka yang tidak sealiran diketepikan.

Kesombongan menyebabkan sukar bagi golongan agamawan untuk mengiktiraf kebolehan dan keupayaan yang dimiliki golongan progresif. Kesombongan menyebabkan pemimpin-pemimpin progresif seperti ini tidak langsung dihargai walaupun merekalah yang memainkan peranan signifikan dalam meletakkan PAS ke kedudukan sekarang.

Kesombongan menyebabkan fitnah dan tuduhan palsu dibenarkan dijaja dan dibenarkan berleluasa. Kempen yang berlangsung seakan-akan menghantar mesej yang “tidak mengapa berbuat sedikit kejahatan dengan maksud untuk mengekang kejahatan yang lebih besar”.

Mengejutkan apabila diktum seperti ini diamal dan dipraktikkan secara meluas dalam pemilihan yang berlangsung. Sekian lama pegangan Machiavelli ini hanya hidup subur dalam Umno. Apabila lawan jatuh, maka tindakan seterusnya bukanlah berhenti tetapi terus memijaknya. Kini, PAS juga kelihatan amat ghairah untuk menginstitusikan kesombongan seperti ini.

Kerana sombong, PAS tidak dapat lagi melihat secara rasional mana kaca dan mana permata. Bukan sahaja mereka menyingkirkan tenaga intelektual yang merupakan aset berharga parti, tetapi juga menghantar mesej yang “kami tidak memerlukan pengetahuan ilmu moden dan bantuan kaum-kaum lain untuk mentadbir negara”. Kesombongan menyebabkan PAS mahu menoleh semula ke belakang sedangkan dunia sudah jauh bergerak ke hadapan.

Kesombongan menyebabkan PAS masih mahu berpegang pada Islamisme sedangkan dunia sedang bergerak ke arah pasca Islamisme. Kesombongan menyebabkan apa sahaja idea-idea yang bertentangan dilihat sebagai ancaman dan bukan sebagai kelainan.

Tidak ada ruang untuk berbeza pendapat. Kerana sombong dan tidak mahu menerima kelemahan diri, apa jua alasan cuba dihamburkan bagi menutup pembersihan yang berlaku.

Sebagai contoh, penegasan yang yang parti itu masih mempunyai golongan profesional seperti pensyarah walaupun kumpulan progresif ini tersingkit. Tetapi profesional bukan sekadar dilihat dari segi status pekerjaan. Ia juga dicerminkan kepelbagaian ideologi, keterbukaan, kemahuan berbeza pandangan dan dekat dengan kemodenan.

Bagi yang mengikuti secara dekat muktamar yang berlangsung selama tiga hari, kesombongan adalah bahasa badan yang paling menonjol terpapar. Dalam bentuk pengendalian muktamar yang jelas menampakkan kecondongannya pada ideologi semasa, dalam bentuk laungan takbir yang dikhususkan hanya untuk perwakilan-perwakilan pro-agamawan, dalam bentuk wajah beberapa pemimpin tertinggi PAS yang amat ketat dan tidak langsung pernah tersenyum, dalam bentuk sorakan sindiran yang tidak putus-putus ditujukan kepada golongan progresif yang berucap dan sehinggalah kepada kehilangan suasana kesedihan yang sewajarnya dirasakan berikutan kepergian golongan progresif ini dari parti.

Tangisan Hanipa Maidin dan juga nyanyian melankolik Mohamad Sabu hanya mampu mengheningkan suasana tetapi tidak mampu membuatkan mana-mana perwakilan untuk bangun memujuk atau menahan keputusan beliau yang ingin meletakkan jawatan dari semua jawatan yang disandangnya. Bahasa badan yang ditunjukkan bukan sahaja melengkapkan pembersihan yang berlaku tetapi semacam menghantar mesej “jika boleh, kami tidak mahu lagi kamu kembali di sini”.

Apa yang berlaku dalam Muktamar PAS 61 adalah tragedi sebuah kesombongan. Sombong dengan kekuatan diri dan lantas menjadi taksub dan narsistik. PAS seperti seorang suami yang baru mendapat “isteri kedua” yang kaya, cantik dan berpendidikan. Tetapi apabila jatuh sakit, isteri pertama yang tua dan kurang cantik yang sering dicari untuk menjaga si suami kerana isteri kedua tadi rupanya tidak boleh diharapkan.

Kesombongan menyaksikan kapal Titanic karam walaupun dianggap sebagai kapal yang tidak akan karam. Kesombongan membuka jalan kepada tragedi 9/11 di Amerika Syarikat. Kesombongan jugalah yang kini menjadikan Umno terumbang-ambing.

Muktamar PAS menyarankan yang kesombongan merupakan nilai yang kini menjadi virtue dalam parti tersebut. Kesombongan yang wujud dalam PAS amat menakutkan dan lebih menakutkan dari kesombongan Umno. Dalam mana golongan ini sering mengkritik keangkuhan kuasa Umno, mereka terlupa untuk menyelak kesombongan diri sendiri.

Benarlah kata-kata tokoh revolusi Poland, Lech Walesa yang mengingatkan tentang kewujudan pemimpin yang menghasilkan sistem dan kepimpinan yang lebih buruk (dibaca: lebih sombong) selepas menggulingkan sistem yang mereka tentang sebelum itu.

Ironinya, kesombongan ini seolah-olah hanya disedari wakil DHPP yang bukan beragama Islam apabila menyatakan kejutannya terhadap kebejatan yang berlaku. Untuk wakil DHPP ini, pertimbangkan logik ini. Jika kesombongan seperti ini boleh dilakukan terhadap saudara seagama mereka, adakah anda merasakan yang mereka akan berfikir dua kali untuk melakukan kesombongan yang serupa kepada mereka yang bukan seagama?

Tahniah sekali lagi kepada PAS. Gunakanlah "cakaran", "siku", "lutut" (dan juga laungan takbir) itu sebaik mungkin. – 7 Jun, 2015.

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan