Pemimpin kalah disaran tolak jawatan lantikan, biar pasukan Hadi kemudi PAS

ZULKIFLI SULONG
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mendapat pasukan beliau sepenuhnya dalam pemilihan PAS malam tadi dan pihak yang kalah dicadangkan supaya menolak tawaran jawatan lantikan, kata seorang perwakilan.

Shazni Munir Mohd Ithnin, perwakilan dari Sekijang berkata ini untuk memberikan peluang kepada Hadi dan pasukannya untuk menentukan hala tuju PAS.

"Kita berharap pemimpin yang kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima sebarang pelantikan," kata Shazni yang juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Sekijang.

 Bekas pemimpin mahasiswa itu berkata, barisan pimpinan yang terpilih membayangkan semua yang tidak senang dengan cara Hadi memimpin PAS disingkirkan.

Apa yang berlaku dalam pemilihan semalam seperti disebut Hadi ketika memberikan ucapan penutup Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat tahun lalu.

"Jika nak jadi imam juga, cari tanah sendiri, buat masjid sendiri dan jadi iman sendiri," kata Hadi ketika memberikan amaran kepada pengkritiknya.

Kini, apa yang dikehendaki presiden PAS itu menjadi realiti. Mereka yang dilihat tidak bersamanya disingkirkan malam tadi.

Hanya seorang saja daripada senarai pasukan profesional progresif kekal dalam pemilihan kali ini iaitu Mazlan Aliman.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof yang turut kalah dalam pemilihan semalam berkata beliau masih belum pasti akan menerima atau tidak jika ada ditawarkan untuk apa-apa jawatan.

"Saya bimbang kalau-kalau ada tawaran, itu hanya amalan PR saja. Saya nampak besar kemungkinan tidak akan ada tawaran untuk saya.

"Jika ditawarkan jawatan, saya akan berfikir sama ada untuk menerima atau tidak kerana yang menang hari ini adalah atas kehendak pihak tertentu.

"Ini kerana, ketika saya dan kawan-kawan difitnah, apa yang dikesali adalah, pemimpin tertinggi hanya diam seolah-olah mengiakannya," kata Mujahid kepada The Malaysian Insider ketika ditanya apakah beliau akan menyertai semula pasukan pimpinan PAS jika mendapat tawaran.

Mengimbas kembali cara pemilihan yang dibuat malam tadi, Mujahid berkata, para perwakilan mengadu kepadanya mereka diberikan senarai calon yang perlu diundi ketika berbaris untuk mengundi semalam.

"Ada perwakilan mengadu, semasa mereka berbaris, mereka diberikan 'cai' calon yang perlu diundi. Mereka pula memangkahnya di luar kawasan mengundi sambil berbincang sesama mereka," kata Mujahid ketika dihubungi.

Perwakilan beratur untuk mendaftar dan mengundi calon pilihan masing-masing dalam pemilihan di muktamar tahunan parti Islam itu semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Jun, 2015.Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata apa yang berlaku dalam PAS sekarang fenomena suram untuk PAS.

"Ia satu fenomena suram dalam PAS selepas sebelum ini kita mendakwa Umno mengundi dengan cara yang sama," kata Mujahid.

Beliau sendiri tidak pasti apakah ia melambangkan kemajuan atau kemunduran untuk PAS dan apa nasib Pakatan Rakyat (PR) selepas ini.

"Saya tidak pasti adakah ia akan memberi kesan kepada kemajuan untuk PAS atau tidak," katanya.

Perwakilan PAS dikesan berbincang sebelum mengundi dengan kertas undi dan 'cai' di tangan mereka. – Gambar Facebook, 5 Jun, 2015.Dalam pemilihan yang diumumkan tengah malam tadi, Hadi menang besar apabila mendapat 928 undi manakala pencabarnya Ahmad Awang hanya mendapat 233 undi.

Timbalan presiden Mohamad Sabu pula tewas di tangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila mendapat hanya 278 undi berbanding pencabarnya 881 undi.

Bagi jawatan naib presiden pula, semuanya dibolot pasukan konservatif dengan Idris Ahmad mendapat undi tertinggi iaitu 942, Datuk Iskandar Abdul Samad (801) dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (778).

Penyandang jawatan Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa serta bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar tewas.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan