WALAUPUN jarang muncul di media, namun namanya tetap dikenali sehinggakan beliau berjaya kekal memegang jawatan sebagai Naib Presiden Pas selama tiga penggal.
SALAHUDDIN AYUB, yang juga bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata beliau bukan mahu mengambil langkah selamat dengan berdiam diri dalam isu semasa namun, mengamalkan konsep damai sebagai asas perjuangan kerana tidak mahu menghangatkan lagi suasana yang tengah tegang.
Sekali lagi beliau menawarkan diri untuk duduk di kerusi naib presiden, namun muktamar kali ini dianggp sengit apabila mendapat cabaran hebat daripada empat calon yang lain.
Beliau bersedia jika tidak dipilih lagi sedia berikan laluan kepada muka baharu, namun apa yang dibimbangi adalah cai undi atau undi kelompok tertentu sahaja yang boleh memusnahkan parti Pas yang telah berdiri sejak 64 tahun lalu.
Ikuti laporan yang disediakan wartawan Robiatuladawiyah Abd Rashad dan jurukamera, Md Nizam mengetahui apakah formula yang digunakan untuk kekal dalam arena politik tanah air.
Boleh Tuan kongsikan apakah sebab mempertahankan jawatan kali ini?
Pencalonan yang saya dapat agak meyakinkan jumlahnya. Itu asas saya untuk tawar diri sekali lagi, dalam tempoh masa tiga penggal saya dipilih naib presiden ada beberapa misi belum selesai. Daripada jumlah pencalonan diterima itu mesej jelas dari akar umbi untuk saya bertanding lagi.
Melihat nama-nama bertanding dalam naib presiden pertembungan kali ini di anggap sengit, bagaimana Tuan melihatnya?
Saya positif dengan perkembangan parti kali ini. Sudah lebih 30 tahun saya lihat dan ada banyak potensi baru, seperti YB Iskandar Samad, rakan baik saya Ustaz Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar (Nik Abdullah) sememangnya mereka layak dan punya potensi untuk dapat jawatan naib presiden. Ini ruang cukup sihat Pas setiap kali ada pemilihan memiliki barisan pemimpin yang banyak kerana apabila diberi peluang mereka mampu menggalas tanggungjawab dari masa ke semasa.
Komen Tuan apabila dianggap sebagai calon pilihan?
Dalam pertandingan kali ini, faktor itu tidak perlu untuk jadikan ukuran. Saya lihat kemampuan tokoh baharu punya kekuatan sendiri dan telah menempatkan diri mereka di persada politik dan track record yang baik.
Saya sudah tiga penggal saya ukur prestasi saya sendiri dan cuba lakukan terbaik.
Saya ambil sikap tidak rasa sempurna dan memikirkan apakah nilai tambah untuk saya baiki di masa akan datang kerana pemimpin perlu terus relevan. Semua dalam parti kita ada veteran harus di hormati dan generasi Y dan perli kita baca minda mereka.
Sepanjang tiga penggal duduk di kerusi naib presiden, apakah perubahan Tuan lakukan dan apakah perkara baharu yang ingin lakukan sekiranya dipilih lagi?
Selama diamanahkan kekuatan pada diri saya ialah untuk menjadi duta menghubung dan membina kekuatan parti untuk dikongsi bersama masyarakat. Saya cuba tonjolkan imej parti untuk boleh berkomunikasi dengan baik dengan semua dalam keperluan negara kita.
Dalam masyarakat majmuk pelbagai agama dan kaum, tugas saya bersama kepimpinan parti supaya Pas dapat posisi kedudukannya dan berjaya beri alternatif kepada rakyat merasa minat bersama Pas. Dalam konteks PR, saya cuba yang terbaik memurnikan hubungan terutama dalam suasana kritikal seperti sekarang. Yang paling penting Pas harus terus dilihat mampu menerajui PR.
Dalam hubungan dengan NGO misi besar harus kekal dan cari lagi rakan baharu supaya dapat menambah kelompok pro Pas. Kita merintis hubungan baru dengan kumpulan masyarakat supaya hampir dengan Pas, ini yang cuba saya lakukan selama enam tahun sebagai naib presiden.
Ada lagi yang tidak selesai untuk kita pastikan perhubungan. Untuk tingkatkan kecekapan Pas di mata masyarakat Malaysia, pendekatan komunikasi korporat perlu diperkasakan, ini saya rasa masih belum diisi sempurna bagi masa depan Pas.
Bagaimana pula dengan keberadaan Tuan mampu menjernihkan krisis dalaman Pas?
Dengan keberadaan saya paling tidak boleh damaikan apa-apa isu, ahli Pas mahu Pas melonjak lebih baik setelah Pas menjangkau 64 tahun.
Dalam tempoh itu, Pas tidak pernah kurang dengan pengalamanKalau orang bimbang dengan krisis hari ini akan runtuhkan Pas, saya tidak teruja dengan dakwaan itu kerana berbekalkan apa yang pernah berlaku Pas berjaya harungi detik yang mencemaskan itu, malah berjaya bawa parti ke kedudukan yang baik dalam politik tanah air.
Bagi saya apa yang berlaku hari ini perlu diatasi dan di urus sebaik mungkin kita capai sesuatu yang lebih baik.
Pandangan Tuan apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menerima cabaran pemilihan ini?
Pas bukan sahaja mahu jadi mahaguru dalam kita memimpin masyarakat untuk perkenalkan Islam dalam dasar syariat Islam. Pas mahu jadi murabi umat dengan apa yang juga masyarakat mahukan.
Pas perlu jadi guru demokrasi supaya kita jadi tauladan pada yang lain baharu, kita cukup demokratikkan dalam soal kebebasan bersuara dan pandangan dalam parti. Dari sudut lain bagaimana kita harus jadikan parti contoh tauladan kepada orang lain.
Saya lihat pada tahap ini kita perlu raikan pandangan semua. Saya harap muktamar ini jadi medan terbaik untuk tunjukkan pada rakan lain bertapa harmoninya pemilihan ini berlaku.
Menyentuh soal kerjasama dengan PR, akhir-akhir ini dilihat DAP tidak sehaluan apabila banyak perkara yang Pas bawakan ditentang, malah Presiden Pas diserang bertubi-tubi, apa komen Tuan tentang situasi ini?
Saya tidak boleh berbohong untuk tidak akui adanya konflik dalam PR antara Pas dan DAP. Serangan terhadap presiden, kita telah jawab kita tidak mahu perkara ini berlarutan. Macam mereka suruh kita memisahkan dengan presiden, pandangan itu bukan membantu, malah menimbulkan ketegangan dalam parti. Jika berterusan tidak baik untuk PR.
Saya percaya, kita punya kaedah dan pendekatan bagaimana kita harmonikan perselisihan faham dalam parti. Hari ini, kita terus berkembang, Alhamdulillah kita ada ahli lebih 1 juta. Bagi saya dunia politik ini sangat dinamik.
Orang kata seni yang serba mungkin, hari ini tidak selesai, esok boleh selesai. Itu dunia politik. Hari ini kita bersengketa, esok boleh selesai. Maknanya masa menentukan. Cabaran terus datang apatah lagi PR baru lima tahun. Kita perlu lihat jauh ke hadapan dan terima semua keadaan ini untuk selesaikan isu. Selagi ada bulan dan matahari saya yakin apa yang berlaku dapat diselesaikan.
DAP ada memberi gambaran jika Abdul Hadi kekal menerajui Pas, PR akan terbubar, adakah Tuan melihat muktamar kali ini jalan terbaik untuk Pas nyatakan pendirian?
Saya tidak boleh diyakinkan dengan kenyataan DAP itu, Pas punya acuan sendiri, kita punya cara sendiri bagaimana harus mengurus kedudukan dalam PR. Mana-mana pihak tidak perlu mengikat kita dengan pandangan begitu, ini pengalaman kita.
Apa yang penting adalah hormat menghormati antara satu sama lain. Semua orang boleh buat silap, tetapi yang penting kita perlu bangun daripada kesilapan itu untuk kepentingan bersama pada masa akan datang.
Harapan Tuan sempena Muktamar kali ke-61 ini, supaya perwakilan memilih barisan kepimpinan terbaik dan membawa usul terbaik bagi masa depan parti?
Saya sangat hormat pada perwakilan kini, perwakilan Pas dari kumpulan yang merdeka dan berdikari, mereka faham parti yang mereka wakili dan siapa pemimpin yang mereka akan pilih.
Berdasarkan pengalaman sejak saya memasuki pertandingan bermula dari era pemilihan AJK Pemuda Pas sehingga ke naib presiden. Perwakilan ini meletakkan semua golongan di atas pentas daripada ulama, profesional dan aktivis berdekad lamanya memperkukuh Pas.
Sebenarnya tidak ada satu pengasingan daripada penyertaan semua golongan ini, kita bekerjasama dan saling hormat menghormati. Justeru saya harap perwakilan kekalkan tradisi ini. Tetapi sekiranya kita pergi ke muktamar dengan arahan orang lain bersama senarai nama yang diberikan orang lain, ini akan musnahkan parti.
Saya fikir semua perwakilan sudah cukup matang untuk pilih pemimpin mereka, kenal dan rasakan siapa mampu untuk galas perjuangan ini. Saya harap tidak berlaku cai undi, sebab ia akan beri kesan sangat besar pada parti.
Sama ada boleh buat kerja atau tidak, sama ada anak lakukan tugas dengan baik atau tidak, asalkan daripada puak kita, kita undi mereka. Ini bukan tradisi perwakilan Pas yang saya kenal hampir 35 tahun saya bersama Pas.
Saya harap perwakilan menilai segala khidmat yang diberikan dan pada yang baharu juga kenal sama ada pemimpin itu punya kelayakan atau tidak.
Tuan antara pemimpin kurang kontroversi, kurang menonjol berbanding naib presiden lain yang lebih vokal, namun berjaya kekal selama tiga penggal, mungkin boleh dikongsikan apakah ‘rahsia’ kekal di kerusi ini?
Prinsip yang saya pegang dalam perjuangan ini, pertama, apakah niat kita sebenarnya dalam mendepani isu dalaman dan luar parti. Pada saya tidak semua perkara kita harus bercakap.
Kadang-kadang lagi banyak kita cakap, lagi banyak kesilapan kita buat, saya memilih masa dan topik yang sesuai untuk bercakap. Itu prinsip saya amalkan untuk diri saya.
Kedua saya berniat mendamaikan apa juga konflik. Itu teras akhlak Rasulullah SAW. Mendamaikan itu lebih baik daripada mengapi-apikan. Parti perlu kekal imej Islam, bila kita bercakap tentang dasar Islam, bagaimana kita tidak mampu pamerkan akhlak Islam.
Ketiga, saya berpegang pada pendekatan sederhana. Saya perhatikan orang yang melampau dalam tindakan tidak kekal lama dalam parti. Situasi itu bukan di dalam Pas sahaja. Itulah konsep kesederhanaan dalam Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan