Dr Mahathir ucap ‘selamat bersara dengan aman’, Sempena ulang tahun Najib

MD IZWAN
Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Datuk Seri Najib Razak akan bersara daripada jawatannya sebagai perdana menteri dengan aman. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Datuk Seri Najib Razak akan bersara daripada jawatannya sebagai perdana menteri dengan aman.
Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ucapan selamat hari lahir kepada Datuk Seri Najib Razak secara sinis dengan mengharapkan perdana menteri bersara dengan aman dan menikmati persaraannya.
Najib yang kini sedang berdepan kemelut dengan pentadbirannya dan terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyambut ulang tahunnya ke-62 tahun semalam.

"Saya harap beliau bersara dengan aman dan menikmati persaraannya," kata Dr Mahathir kepada pemberita apabila ditanya mengenai ucapan ulang tahun kepada Najib di Hotel Berjaya malam tadi.

Dr Mahathir malam tadi diraikan sahabat-sahabatnya dalam sebuah majlis dengan ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Mengenai harapan sempena sambutan hari lahirnya, Dr Mahathir mengharapkan kemelut yang melanda negara ketika ini diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap semua ini diselesaikan dengan cepat," katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar dengan ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dalam majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.
Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar dengan ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dalam majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.


Dr Mahathir tiba kira-kira jam 8.45 malam dengan berpakaian sut warna hitam ala Ejen 007 James Bond disambut ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dan anaknya, Datuk Seri Robert Tan.
Anak Dr Mahathir, Datuk Mokhzani yang ditemani isteri turut hadir sama bagi menyambut ulang tahun bapanya itu.

Di hadapan dewan utama Manhattan, pihak penganjur membina pintu gerbang dengan tulisan "A Night of Stars" dan potret Dr Mahathir bersama isterinya juga diletak di depan yang dibuat ala menyambut malam gala.

Sebuah potret Dr Mahathir yang diubahsuai berpakaian sama seperti Ejen 007 dalam filem Skyfall juga diletak di hadapan pintu gerbang.

Beberapa tetamu undangan kenamaan juga dilihat hadir dalam majlis tertutup tersebut akan tetapi pihak media tidak dibenarkan untuk masuk membuat liputan.

Sementara itu, pengikut setia Najib, Ketua Bahagian Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee juga turut dilihat menghadiri majlis malam tadi

Menteri Kabinet Tan Sri Joseph Kurup dan presiden MIC yang sedang berdepan kemelut dalam parti, Datuk Seri G. Palanivel juga bersama-sama tetamu VIP yang hadir.

Dr Mahathir merupakan pengkritik tegar pentadbiran Najib yang dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan sarat hutang 1MDB, Syed Ali antara pengikut setia yang lantang mempertahankannya.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times Datuk A Kadir Jasin yang sering mengkritik Najib juga hadir bersama dalam majlis sambutan tadi.

Bekas menteri Kabinet semasa zaman pentadbirannya, Datuk Seri Samy Vellu juga dilihat hadir bersama.

Tetamu VIP lain yang hadir antaranya bekas pemimpin DAP, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Kumpulan Ambank Tan Sri Azman Hashim, peguam terkemuka Rosli Dahlan, artis komedi Harith Iskandar dan penyanyi Anuar Zain.

Dr Mahathir sempat menyapa ringkas para pemberita yang menunggu ketibaannya di lobi hotel.
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah dan beberapa tetamu kehormat yang turut hadir di majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah dan beberapa tetamu kehormat yang turut hadir di majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.

Dr Mahathir menyambut hari kelahirannya ke-90 tahun pada 10 Julai lalu.
Sejak kebelakangan ini, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu sering mengkritik isu-isu yang berkaitan dengan skandal 1MDB dan keborosan di bawah pentadbiran Najib, malah mendesak peletakan jawatannya.

Dr Mahathir menjawat jawatan perdana menteri pada 1981 sebelum membuat keputusan meletak jawatan selepas 22 tahun memerintah negara pada 2003.

Beliau turut dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia" kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian yang disegani di kalangan negara membangun.

Tempoh 22 tahun sebagai perdana menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan di Asia Tenggara selepas Presiden Indonesia Suharto.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan