Ini jawapan isu video Rosmah yang dipakaikan kasut yang menjadi viral


"Lutut tak berapa nak kuat... tak boleh nak tunduk..." demikian penjelasan Datuk Rizal Mansor, pegawai kepada isteri perdana menteri berhubung sebuah video yang menunjukkan Rosmah Mansor dilayan seperti dongeng Cinderellah yang menjadi perhatian di media sosial.

Malah, Rizal juga menjelaskan Rosmah bukan lagi seorang wanita muda dan isteri perdana menteri itu memerlukan bantuan untuk dipakaikan kasut memandangkan usianya kini sudah 64 tahun.

"Kalau isteri PM (perdana menteri) itu umur 25 tahun kena pakaikan kasut sebegitu, bolehlah mu nak pelik, ini umur dah 64 tahun," kata Rizal dalam Facebooknya.

Malah beliau juga menempelak individu yang merakamkan video berkenaan dengan mengandaikan bahawa individu tersebut kurang kasih sayang dan tidak pernah memakaikan kasut kepada ibunya.

Ini kerana, menurut Rizal menjadi perkara biasa sekiranya seseorang memakaikan kasut kepada individu yang lebih tua.

"Yang jadi isu bila orang yang rekod video ini kurang kasih sayang atau dia tak pernah pakaikan kasut untuk mak dia ke, makcik dia ke, nenek dia ke.

“Bagi yang biasa dan pernah pakaikan kasut untuk mak, ini adalah sesuatu yang biasa," kata Rizal lagi.

Justeru itu, Rizal meminta supaya semua pihak bersangka baik di bulan Ramadan memandangkan terdapat isu lain yang lebih penting perlu diambil peduli berbanding isu pemakaian kasut kepada isteri perdana menteri.

"Orang kita ini dah tak ada isu lebih penting nak ambil peduli. Isu air di Selangor tak nak pula dia bincang, isu longkang tersumbat punca denggi meningkat tak pula kakitangan Karangkraf ini nak ambil kisah. Isu pakai kasut lebih penting bagi dia.

"Bersangka baik - bulan Ramadan syaitan semua dah kena ikat. Yang tak kena ikat itu nafsu, akal dan hati," tulis Rizal.

Hari ini, video menunjukkan seorang wanita memakaikan kasut kepada Rosmah menjadi perhatian di media sosial.

Video sepanjang selama 31 saat yang dimuat naik di Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial itu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan